Saturday, June 8, 2013

Cerpen : Teruslah menyulam harapan


Assalam. Currently in Malaysia. Dah dua minggu berada di rumah.

Dah lama nak kongsikan cerpen pertama ni tapi teragak-agak dan tak sempat dan selalu lupa .Banyak pula alasannya.

Inilah cerpen pertama yang lengkap aku buat. Yang lain separuh jalan. Cerpen ini dibuat semasa menyertai bengkel penulisan di Jordan tahun lepas, masa first year. Dihantar kepada Hilal Asyraf yang merupakan penceramah untuk bengkel itu. So, enjoy.!




TERUSLAH MENYULAM HARAPAN
By Hauri Islam


Darah merah mengalir perlahan dari luka pada hidungku.Abah panik. Segera dia berkejar untuk mendapatkan ubat gamat. Aku baring untuk menghalang darah daripada menitik.Tanganku penuh dengan darah. Mataku berair dek kepedihan yang dirasakan.

“Adik , kenapa baling pembaris ni kat kakak? Tengok habis berdarah hidung kakak,” marah Syahid sambil memegang pembaris tebal yang digunakan ibuku untuk menjahit.

Adik kecilku itu hanya tertawa lalu mendapatkan kereta mainannya tanpa melihat ke arahku.Sementara itu, abah datang lalu meletakkan sedikit ubat gamat pada lukaku.

”Tak payahlah marah dia.Dia tak tahu ,” bergetar suaraku menahan kesakitan.

Syahid senyap.Aku menangis.Terasa pedih sangat.Tak mampu aku tahan.

” Jangan nangis, kakak. Nanti makin sakit ,” abah cuba menenangkan aku.

Namun, apa dayaku menahan tangisan ini, luka ini terasa sangat pedih.Tak bisa digambarkan dengan kata-kata. Aku mengesat darah di tanganku dengan tuala yang dibawa Syahid, adik lelakiku yang kelihatan sangat bersimpati dengan kakaknya ini.

Aku memandang adik bongsuku yang khusyuk bermain dengan alat mainannya tanpa mengetahui dia telah mencederakan kakaknya ini.Bukan salah dia, salahku kerana tak memahami apa yang dimahukannya.Dia inginkan telur goreng, aku bawakan ikan goreng.Dia marah dan spontan , melemparkan apa yang berada di tangannya.

Aku mengeluh perlahan.Ingin aku memarahinya, tapi aku tak boleh.Ingin aku meluahkan betapa aku sakitnya luka ini, tapi aku tak boleh.Sebab? Sebabnya dia takkan faham apa aku cakap, dia tak boleh mendengar apa yang aku cakap.Ya, adik bongsuku itu insan istimewa.Tidak berupaya untuk mendengar sejak kecil lagi.

Masihku ingat nasihat doctor Amni,doctor yang menguruskan keadaan adikku ini,” Kita kena bersabar dengan kerenah dia, dia tak mampu nak luahkan perasaan  dengan kata-kata.Jadi, sebab itulah dia akan menjadi agresif.Dia zahirkan perasaan dia dengan kelakuan.Memang melayan kanak-kanak istimewa memerlukan kesabaran yang tinggi.Ingatlah, dia tak sesmpurna kita.Meskipun kita dah masukkan alat pendengaran ke dalam otaknya dan ditambah pula alat pendengaran external, kita kena biasakan mereka dengan bunyi dan kata-kata, jangan berkomunikasi dengannya dalam bahasa isyarat.Kita nak dia berlatih mendengar,”

"Dengan alat yang ada sekarang, berapa jangka masa untuk Aliya boleh mendengar?, tanya ibuku.

” 5 atau 4 tahun. Kita kena ingat yang alat dalam otaknya itu hanyalah ciptaan manusia, tidak akan sesempurna telinga kita.Jadi,mungkin cara dia mendengar dan kita mendengar berbeza.InsyaAllah, dengan terapi dan usaha kita, Aliya akan boleh bercakap.Jangan lupa mengharap pada Allah yang memberi nikmat pendengaran,” 

Terngiang-ngiang kata-kata itu di fikiranku.Kebetulan minggu lepas, aku berpeluang menemani ibuku ke hospital kerana aku masih menunggu tawaran universiti.

“Sabar, Anis.Dia bukan seperti kau,” hatiku berkata.
…………………………………………………………………………………………………

“Kakak, tolong mandikan adik,” Aku memimpin tangan Aliya. Namun, dia ingin didukung.Aku tersenyum.”Nak bermanja dengan kakaklah ni? Umur 6 tahun, nak suruh kakak dukung lagi,” kataku sambil mendukungnya.Dia tersengih-sengih.

Tanda gembira keinginannya dituruti.Aku bercerita itu ini padanya sambil menuju ke bilik air.Biarpun dia tak memahami, aku ingin biasakan dirinya dengan percakapan.

”Nanti kakak dah masuk uni,dah takde orang nak dukung dan mandikan adik macam ni,”ngomelku sambil menjirus air pada badannya. 

Seperti kanak-kanak lain, Aliya sangat suka bermain air.Tanpa ku sedar, dia membuka pili air lalu menghalakan padaku.

Aku terkejut.Habis basah kuyup bajuku.

Dia ketawa sambil mengangkat tangannya tanda kemenangan. Aku turut sama ketawa.Lalu aku membalasnya dengan jirusan air.Namun, dia pandai mengelak.Berlakulah “perang air “ antaraku dengannya.Kakak berumur 18 tahun sedang berperang air dengan adik perempuan yang umurnya 6 tahun. Begitulah aku dengan Aliya setiap hari.

Sementara menunggu tawaran universiti, aku ditugaskan oleh ibuku untuk menjaga Aliya.Akulah yang mengejutkannya daripada tidur, memandikannya,  memakaikan pakaian , menyikat rambutnya, menyuapkan makanan dan juga semestinya bermain dengannya.

“Adik, kakak nak sikat rambut ni,” kataku sambil mendekatinya.

Dia memandang sikat yang ada di tanganku lalu melarikan diri.Begitulah reaksinya setiap kali aku ingin menyikat rambutnya.Sengaja dia ingin bergurau dan ingin aku mengejarnya

.Jadi, bertukarlah aku menjadi kanak-kanak kecil bermain “kejar-kejar”.Aku mengejarnya sehingga ke ruang tamu.Aku memeluk belakangnya dan dia tertawa.

Aku mengangkat sebelah tanganku tanda kemenangan.Aku turut sama tertawa. Aku menyikat rambutnya.Dia cuba memberitahuku dengan isyarat tangannya, dia ingin makan.

“Aliya nak makan ye. Nanti lpas sikat rambut dan pakai alat telinga, kakak ambilkan makanan.Ok,” kataku sambil mengenyitkan mata.

Dia masih lagi menggerakkan tangannya dan menunjukkan perutnya,tanda lapar. Entah kenapa,tiba-tiba, aku rasa sebak.Sebak melihatkan ketidakupayaannya untuk mengatakan “Kakak,Aliya nak makan”.Mataku bergenang dengan air mata.Aku terlalu ingin dia memanggilku, “Kakak”.

Aku terlalu ingin dia berpaling apabila aku memanggil namanya.Terlalu ingin! Air mataku mengalir laju. Ya Allah, permudahkanlah untuk adikku mendengar.. Hatiku mengharap.

”Nanti bila Aliya dah boleh dengar, Aliya panggil kakak ea.Kakak nak sangat dengar,”  tersekat-sekat aku meluahkan kata sambil menahan sebak.

Aliya memerhatikan pipiku yang basah dengan air mata.Redup matanya menambahkan kepiluan di hatiku.Air mata terus membanjiri kelopak mataku.Aliya mengesat air mataku dengan tangannya.Seakan memahami perasaanku.Perbuatannya itu menambahkan gelora sedih di jiwa.

“Dah siap pakai baju? Ibu dah siapkan makanan,” tegur ibuku. Aku segera membelakangi ibuku.Tak mahu dia melihat tangisanku ini.

”Dah, nak siap dah,” aku pura-pura membetulkan baju Aliya.

Tanganku pantas menyeka air mata.Ibuku berlalu ke dapur.Aku lega.Aku mengesat air mata yang bersisa lalu menuju ke dapur.Aliya pula berada di hadapan televisyen, menonton kartun kegemarannya, Upin Ipin.

“Kakak nangis ke?,” Tanya ibuku sambil membasuh pinggan di singki.

Membelakangiku.Aku terpana.Macam mana ibuku boleh tahu?

“Taklah,mata masuk habuk tadi,” helah yang cukup lapuk.

Tapi itu sahaja yang terlintas di fikiranku.Aku juga dapat merasakan ibuku menangis.

” Ibu nangis ke?,” ku lontarkan kembali soalan yang sama.

”Taklah,tadi ibu potong bawang.Jadi, berairlah mata,” kata ibuku.

Ah, masing-masing cuba melindungi perasaan.Menipu diri sendiri.Namun aku dan ibu tahu benar kami berdua menangis.Rupanya ibu telah lama memerhatikan gelagat aku dan Aliya sebelum menegurku.
…………………………………………………………………………………………………


Ibu mengejutkan aku dari tidur.”Kakak, bangun.Dah pukul 5.30 pagi.Nanti lambat nak hantar adik ke sekolah,” Ibu menarik selimutku.

Rasa mengantuk masih kuat mencengkamku.Namun, ku memaksa diriku bangun dan bergerak ke bilik air.Inilah juga rutinku setiap pagi.Menemani ibu menghantar Aliya ke sekolahnya, Sekolah Pendidikan Khas Kuala Terengganu.Rumah kami terletak di daerah Setiu.Masa yang diambil untuk tiba di sekolah Aliya, satu jam setengah.

Oleh sebab itu, ibu mengejutkanku seawal 5.30 pagi.Ibuku enggan meletakkan Aliya di asrama sekolah itu.Aliya hanya berumur 6 tahun.Yang tak tahu nak menguruskan diri sendiri dengan sempurna.Sememangnya pihak sekolah ada menempatkan beberapa penjaga untuk mengawasi penghuni asrama.

Naluri ibu masih tidak sanggup melepaskan Aliya tinggal di asrama.Dia masih kecil! Jadi, setiap hari, 5 hari seminggu, ibuku akan berulang alik dari Setiu ke Kuala Terengganu.Begitu sekali pengorbanan seorang ibu yang ingin anaknya yang istimewa ini mampu belajar seperti kanak-kanak lain.Keletihan dan kepayahan dihadapi dengan tabah.Selalu juga dia menyuruhku mengurut badannya yang lenguh kerana terlalu kerap memandu kereta.

“Anis, cepat.Tolong dukung Aliya ni,” pinta ibuku.

Kelam kabut aku membetulkan tudung labuhku lalu mendapatkan begku.Segera menuju ke arah ibuku.Aliya masih lagi mengantuk walaupun sudah dimandikan dan dipakaikan baju sekolah.Aku tersenyum melihat telatahnya.

”Aliya mengantuk lagi ye,” kataku lalu mendukungnya.

Aliya menggeliat dalam rangkulanku lalu melentokkan kepalanya di bahuku.Masih mengantuk.

“Ibu, dah ambil beg dan kasut adik?,”tanyaku sambil meletakkan Aliya dalam kereta.

Aku membaringkannya dia atas bantal di tempat duduk belakang.

”Dah,semua dah ibu ambil,”ibuku sudah berada di tempat memandu.Aku mengambil tempat sebelah pemandu.


Tiba di sekolahnya, aku dan ibu memimpin Aliya sehinggga ke kelas pranya.Aku suka melihat kelasnya yang sangat ceria.Kami bersalam dengan cikgu Aliya.Lalu kami meminta diri.Tengahari nanti, kami akan kembali untuk mengambil Aliya.Smentara menunggu tengahari, kami ke flat yang berdekatan dengan sekolah Aliya .Rumah ini dibeli semata-mata untuk dijadikan tempat menunggu sementara Aliya pulang dari sekolahnya.

Ibu mengorbankan duit yang disimpannya untuk menunaikan haji untuk membeli rumah ini.Aku mengetahui tentang hal ini ketika terdengar perbualannya dengan bapa saudaraku di telefon.Ibuku menangis ketika itu.

Tangisan ibu sangat meruntun jiwaku.Air mataku turut sama mengalir.Ibuku juga sepertiku.Sangat menantikan kalimah keluar daripada mulut adik.Sangat menantikan panggilan “ibu”. Terasa sesak di dada menahan air mata yang ingin mengalir selari dengan  perasaan yang menekan jiwa ini.Tika itu, aku berlari ke bilik tidurku lalu menghamburkan tangisanku.

Ya Allah,kuatkanlah hati kami untuk terus mengharap dan tidah berhenti mengharap.Hanya padaMu kami sandarkan harapan.

……………………………………………………………………………………………………



Aku mengemaskan barang-barangku.Lusa, aku akan berangkat ke Jordan.Menyambung pelajaranku dalam bidang perubatan.Aku akan menaiki kapal terbang di KLIA.Jadi,esok kami akan bertolak ke Kuala Lumpur dan akan tidur di rumah bapa saudaraku.Keesokannya,kami akan ke KLIA.Ibuku masuk ke bilik.

“Banyak lagi barang tak kemas? Semua dah ada?,” Tanya ibuku.Begitu prihatin dengan anaknya yang bakal berjauhan dengannya.

“Sikit lagi.Nak masukkan baju pastu selesailah,”

“Anak ibu dah nak pergi jauh dah.Nanti dengan siapalah umi nak bermanja ni?,” ucap ibu sambil tersenyum.

“Ala,ibu ni.Bila masa ibu manja dengan Anis.Tempat brmanja ibu dengan abah, bukan dengan Anis,” aku tertawa sambil mencuit bahu ibuku.

Dia turut sama ketawa.Keadaan menjadi senyap seketika.

“Siapa nak teman ibu hantar adik? Siapa nak tolong ibu jaga adik? Siapa nak bagi semangat kat ibu kalu ibu nangis?,” ibu memecahkan kesunyian yang baru tercipta.Bergetar nada suaranya.

Aku berpaling.Matanya bergenang lagi.Ah, ibu.Kenapa kau hadirkan hiba di saat ini? Lantas , aku gapai tangannya.Memegang dengan kemas.Pipi ibu sudah basah dengan air mata.Aku jua begitu.

“Ibu, janganlah sedih macam ni.Kalau ibu sedih,Anis lagi sedih,”kesedihan makin mencengkam jiwaku.

”Ibu kena kuat.InsyaAllah, berkat doa,usaha dan terapi, adik akan dapat dengar.Ibu kena tabah.Nanti bila kakak kat Jordan, hari-hari ,kakak telefon umi ye.Jangan risau,”kataku sambil menyeka air matanya.Ibu turut melakukan perbuatan yang sama padaku.

“Nanti mesti ibu rindu kakak,”

“Ibu….,”aku tenggelam dalam pelukan ibu.Kami berdua menangis sepuas-puasnya.Hari ini, kami jujur pada diri sendiri.Tidak lagi menyembunyikan air mata.Tidak lagi melindungi rasa.Sungguh,tangisan ini tidak mampu ku tahan.Mengalirlah selaju nya wahai air mata… Hari ini, aku biarkan tanpa sekatan.Hari ini,kami berdua zahirkan duka lara.Menangislah….

Namun aku berjanji,esok aku tidak akan menitiskan air mata walau setitis pun.Aku berjanji!

……………………………………………………………………………………………………

Panggilan terakhir flight ke Jordan telah diumumkan.Tiba saatnya untuk aku berpisah dengan keluarga..Dengan ibu, abah, Syahid dan Aliya..Ku bersalam dengan ibu dan abah.Mereka merangkulku dengan kemas. Ku cuba membina kekuatan sepenuh jiwa sewaktu melihat mata abah dan umi jernih dengan air mata. 

Sekuat hati aku ukirkan senyuman buat mereka berdua.Aku ingin pergi dengan senyuman agar mereka tahu aku tabah.

”Belajar elok-elok.Jangan lupa agama.Jangan lupa jaga akhlak.Jangan lupa kami,”kata ibu.Ya Allah,takkan aku lupakan mereka semua.

”Ya ibu, abah.Kakak janji kakak akn belajar bersungguh-sungguh.Doakan ye,” ujarku.

Aku masih kuat.Senyuman masih lagi menguntum di wajahku.Kuat, Anis! Sedikit pesanan kuhulurkan buat Syahid yang bakal menghadapi peperiksaan PMR pada tahun ini.Sekeras-keras adik lelakiku ini, menangis jua tatkalaku titipkan pesanan buatnya.

”Syahid, apa menangis ni?Tak macholah,”ku tertawa.

Dia mengesat airmatanya.Kuat,Anis! Aku memeluk Syahid lalu ku gosokkan belakangnya.

Tiba-tiba,ku terasa bajuku ditarik.Kelihatan Aliya tersengih-sengih.Dia membuat isyarat yang dia mahu makan,.Dia meletakkan tangannya di perutnya.Dia cuba mengheret tanganku.Ingin membawaku ke kedai yang ada dilapangan terbang.

Aku merendahkan badanku.Lalu ku selakkan rambutnya.

”Aliya, kakak dah nak pergi.Nanti makan dengan ibu ya.Kapalterbang dah panggil kakak,” kataku lembut lalu ku hadiahkan senyuman.

Perasaan hiba datang lagi.Kuat, Anis! Ibu dan abah sudah banjir dengan air mata.

Sebak melihat gelagat Aliya yang tak mengerti yang aku harus pergi.Tak mengerti aku tak mampu lagi nak mnyuapkannya makanan.Tak mampu lagi nak memandikannya.Menyikat rambutnya.

Aliya marah.Dia menarik-narik tanganku.Aku menggeleng.

”Aliya,tak boleh ,sayang,” aku cuba memujuknya.

Dia menangis.Anis,kuat! Melihatkan tangisannya, aku jadi lemah.Kekuatan yang ku bina tadi sekelip mata hilang ditiup angin.Ketabahan yang cipta tampak begitu rapuh sekali tatkala melihat tangisannya.Akhirnya, air mataku jatuh jua.Abah mengambil Aliya lalu didukungnya.Aliya meronta.Tangannya ingin menggapai diriku.

“Kakak, pergilah.Nanti lambat.Aliya tu lambat lagi berhenti menangis.Kawan-kawan kakak dah masuk,”ibu mengingatkanku.

Ya Allah,berat sungguh aku ingin meninggalkan Aliya.Langkah yang diatur menuju ke balai berlepas terasa amat payah.Tangisan Aliya masih kedengaran.Ketika aku ingin melangkah masuk ke balai berlepas, ku berpaling untuk kali terakhir.

Kelihatan ibu dan Syahid melambai-lambai ke arahku.Manakala abah sibuk melayan Aliya yang tidak henti-henti menangis. Aku meneruskan langkahku masuk ke balai berlepas.Aku kesat air mata yang bersisa.Aku kalah juga akhirnya.Kerana Aliya.

“ Aku janji aku akan belajar bersungguh-sungguh.Bila aku dah jadi doctor nanti, aku nak jadi macam doctor Amni.Aku ingin menguruskan kes kanak-kanak yang seperti adikku.Aku ingin membantu mereka mendengar.Aku ingin menyuntik harapan buat mereka untuk terus berusaha dan berharap .Aliya, kakak harap sangat , bila kakak balik nanti, Aliya boleh panggil kakak “kakak”.

Kakak akan terus mengharap dan takkan berputus asa.Kakak sentiasa doakan Aliya dapat mendengar dan bercakap.Aliya boleh cakap kat kakak, Aliya nak makan, Aliya nak mandi,Aliya tak nak sikat rambut.Aliya….kakak nak pergi ini.Nanti kakak balik ye,” hatiku berkata-kata.

Aku akan terus mengharap.Putus harapan itu bagai membunuh impian tanpa cuba merealisasikannya.



Aku akan terus menyulam harapan.Aku akan terus menunggu panggilan itu.”Kakak”…



“ Katakanlah,” Dialah yang menciptakan kamu dan menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati nurani bagi kamu.( Tetapi ) sedikit sekali kamu bersyukur “  67:23


Inspirasi sebuah realiti kehidupan.

Kehidupanku.

* rekaan 15 %
Hauri Islam
Terengganu

No comments:

Post a Comment