Wednesday, June 26, 2013

Mereka berdua.

Dalam tidak kita sedari , kadangkala kehadiran kita sangat bermakna untuk seseorang. Hanya memiliki kita di sisi, sudah mencukupi bagi mereka.




Melihat wajah kita membuat nafas mereka sentiasa segar.

 Melihat senyuman kita membuat mereka gembira tak terhingga.

Melihat kesusahan kita membuat mereka resah gelisah.

 Melihat air mata kita membuat hati mereka bergelora.

Mereka memahami diri kita lebih daripada kita sendiri. Mengenali kita sehingga ke dalamnya. Tanpa mereka , mungkin kita tidak menjadi seperti mana kita sekarang. Tanpa mereka , ramai yang hilang arah, tertekan atas kehilangan mereka. Memiliki mereka anugerah yang terindah yang kadangkala kita lupa akan kewujudannya.

Mereka sanggup bersusah demi kita. Tak pernah mengenal lelah dalam memberi keselesaan kita. Mengharap mereka mampu memberi kebahagiaan pada kita. Mengharap senyuman akan sentiasa menghiasi bibir kita. Mereka sanggup berbagi segalanya dengan kita.

Bercerita tentang kebaikan mereka, takkan tiba ke penghujungnya. Mereka tidak mengharapkan lebih , Cuma ingin kita sentiasa mengingati mereka sehingga akhir hayat. Melayan mereka dengan baik. Ingin kita sentiasa berada di sisi mereka.

Jika tidak mampu berada di sisi mereka selamanya, cukuplah dengan mengingati mereka dan berbuat baik pada mereka .

Siapa mereka ?

Mereka adalah IBU BAPA kita.

Hati ibu jika diselami dalamnya, mungkin kita takkan bertemu penghujungnya. Terlalu banyak rahsia yang tersimpan daripada kita dan mungkin terlalu banyak kasih sayang yang tersimpan untuk kita.

Hati ayah jika diselami dalamnya, mungkin kita akan sesat. Terlalu banyak perkara yang dia fikirkan untuk kita selaku ketua keluarga. Mungkin jarang mencurahkan kasih sayangnya pada kita sepertimana ibu melakukannya, namun kehangatan kasih sayangnya membuat kita rasa selamat. Kehadirannya memberi satu rasa yang melindungi kita.

Tidak dinafikan inilah yang ku jumpa setelah hampir sebulan berada bersama ibu bapaku. Ku semakin memahami mereka sedikit demi sedikit. Iyalah, semenjak tingkatan satu , ku tinggal di asrama. Dan bila masuk ke universiti, belajar di luar negara yang memerlukan ku berjauhan dengan mereka. Bukanlah aku tidak pernah memahami mereka, tapi mungkin kerna kematangan yang ku peroleh sejak ku tinggal di luar negara membuatku lebih memahami mereka.

Kerinduan, kasih sayang, ketabahan , kecekalan, kesabaran, semakin ku faham rasanya dan ertinya.

Ibu bapa takkan pernah ingin membuat anaknya merasa susah kecuali jika terpaksa.  Buat anak-anak, fahamilah , selamilah, dan cuba berkongsi suka duka ibu bapa kita.

Mungkin mereka tampak tenang seolah-olah tiada duka, namun setenang air di lautan, bila kita merasanya, masin tak terhingga. Wajah tenang, di hati siapa yang tahu.

Semakin ku faham hikmahnya , mengapa Islam itu begitu menyuruh kita memuliakan ibu bapa. Menghormati,mengasihi mereka.

Firman Allah yang bermaksud: Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibu bapa. (Surah an-Nisaa, ayat 36).


Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku ketika aku kecil. (Surah al-Isra, ayat 24).


Sedih sekali bila zaman sekarang , terbaca di akhbar , kisah anak yang mengabaikan ibunya. Moga kita menjadi anak yang membahagiakan ibu bapa kita.

Ya, jadi anak yang membahagiakan ibu bapa kita di dunia dan juga di akhirat.


AMIN.

Sayang umi dan abah!


Bebelanjiwa: menjadi anak sulung kadangkala serabut kena jaga adik. Mandikan adik, bersih bilik dia, n banyak lagi. Tapi bila semua dah pergi asrama,sepi juga rasanya. Mungkin ini yang umi dan abah rasa saatku di Jordan dan semua adikku ada di asrama. Hmmm..


No comments:

Post a Comment