Sunday, June 30, 2013

TMH : One litre of tears

One litre of tears.

Drama kekeluargaan Jepun ini sangat menusuk hatiku. Kisahnya seakan dekat dengan hidupku. Menontonnya bagaikan menyaksikan kehidupan keluargaku sendiri. Cuma yang penyakit yang berbeza. Bila mereka menangis, ku turut menangis bersama. Kesedihan mereka cukup ku fahami. Air mata pasti menjadi teman setia sekiranya hiba tak mampu ditahan.



Buat mereka yang belum pernah menyaksikan drama ini, ku berikan synopsis ringkas. Drama ini mengisahkan seorang remaja ceria, Aya disahkan  menghidap penyakit SPINOCEREBELLAR DEGENERATION. Penyakit yang belum ditemui penawarnya dan bias membawa kematian.  Antara symptom penyakit ini ialah ketidakseimbangan ketika berjalan yang kelamaan membawa kepada tidak boleh berjalan sepenuhnya, tidak boleh mengukur jarak dengan sempurna . Penyakit yang menyebabkan anggota badan tak boleh berfungsi dengan sempurna. Lama kelamaan tak boleh menulis, tak boleh berjalan dan juga tak boleh bercakap.

Keluarga Aya cukup sempurna, ibu bapa yang penyayang. Dia mempunyai seorang adik lelaki dan dua orang adik perempuan. Dia merupakan anak sulong yang sangat disayangi. Perjalanan hidup mereka digarap cukup sempurna . Daripada awal mereka sekeluarga mengetahui tentang penyakit Aya sehinggalah Aya menghembuskan nafas terakhir. Kisah  ini diangkat daripada sebuah kisah benar.




Sungguh ku terkesan melihat perjuangan mereka menerima takdir Tuhan. Ketabahan, kecekalan, kesedihan. Pendek kata , sebuah reality kehidupan.  Kesukaran untuk menerima kenyataan pada mulanya , dapat ku lihat melalui watak ayah Aya. Ketika ibunya mencadangkan untuk mendaftarkan Aya sebagai orang kurang upaya , ayahnya tidak bersetuju. Konflik untuk mengakui anaknya seorang kurang upaya.

Kenapa ku rasakan suasana keluarga sungguh dekat diriku ? 

Kerana melihatkan susunan keluarga mereka yang cukup sama dengan keluargaku. Anak sulong perempuan, anak kedua adik lelakiku dan di bawah adik lelakiku, ada dua adik perempuan. Perjuangan kami sama, perjuangan menerima sebuah takdir. Kisah kami sama, kisah ketabahan, harapan dan air mata. Cuma yang berbeza, penyakit yang dihidapi. Ku boleh katakana kisah Aya lagi tragis daripada kisahku kerana penyakitnya membawa maut . Dan yang menghidapi penyakit dalam keluargaku  atau lebih sesuai untuk ku katakan kurang upaya , adalah adik perempuan bongsuku. Dia mempunyai masalah pendengaran daripada kecil dan tidak bias bercakap daripada kecil lagi. Namun , dia telah menjalani pembedahan memasukkan alat pendengaran dalam kepalanya pada usia 5 tahun, dan alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, dia sudah boleh mendengar. Tetapi sehingga kini, dia masih lagi tidak mampu berbicara.




Doktor-doktornya sudah berusaha sehabis-habisnya. Mereka jadi buntu kerna setiap kali terapi, result adikku sangat baik. Respon yang diberikan memang membuktikan dia mendengar. Mereka pelik mengapa adikku masih tidak mampu bertutur. Mereka memberitahu mungkin ada masalah pada pemprosesan maklumat yang adikku dengar. Sungguh aku jadi kagum dengan doktor-doktor ini . Bekerja keras merawat pesakit mereka. 

Pabila ku menyaksikan tekanan yang dialami doktor Mizuno yang merawat Aya berusaha dan melakukan kajian untk mencari penawar buat penyakit Aya, pantas mindaku teringatkan doktor yang merawat adikku , pasti tekanannya sama. Menjadi tempat disandarkan harapan. Ku sangat suka memerhati pabila adikku menjalani terapi bersama doktornya.

Moga Allah merahmati dan memberi kekuatan pada doktor-doktor ini. Ku juga teringatkan sahabat-sahabatku di Jordan yang mengambil bidang perubatan. Keadaan mereka ketika menjelang exam, pasti berhibernasi di rumah atau ke mana-mana sahaja bersama nota di tangan. Yelah, profesion pilihan mereka bukanlah main-main, profesion yang berkaitan dengan nyawa manusia. 




Dr. Mizuno

Ketika menonton drama ini, ku jadi kagum dengan ketabahan yang ditunjukkan Aya dan keluarganya terutamanya ayah dan ibunya. Tak dapatku bayangkan perasaan mereka menghadapi dugaan sebesar ini, menyaksikan penderitaan anaknya yang kehilangan upaya sedikit demi sedikit. Pasti memerlukan hati yang cukup cekal. Alangkah bahagianya jika mereka muslim, pasti segala yang mereka alami makin menguatkan iman kepada Allah. Redha dan sabar menghadapi semuanya.




Ku akui kadangkala ku sendiri putus asa daripada mengharap dan kadangkala hilang sabar bila berhadapan adikku ini. Iyalah, kanak-kana istimewa sebegini kebanyakan agresif dan tidak mendengar kata , kerana mereka tidak memahami apa yang kita katakan walaupun kita marah dan menakutkan mereka.Berbeza dengan kanak-kanak biasa. 

Tidak dapat ku nafikam kadangkala hilang sabar dan putus asa. Tika inilah, aku suka bersendirian dan mengambil semangat baru. Ya, ini ujian daripada Allah. Ujian yang mencurahkan pahala dan menguatkan iman jika ku berjaya hadapinya dengan sabar dan cekal. 

 “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” (”I am full of faith to Allah”) sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta.” 
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3 


 “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” 
- Surah Al-Baqarah ayat 286 


Ayat inilah yang menjadi peganganku. Sebagai manusia biasa, pastinya kadangkala terdetik beratnya ujian ini. Bila terkenangkan ayat cinta ini, hatiku jadi segar. Yakin dengan diri sendiri. Yakin akan janji Allah .

Cabaran paling besar, apabila kita berputus asa daripada mengharap. Menghidupkan harapan yang seakan mati , bukan senang. Harapan yang kelihatan mustahil pada manusia biasa, namun bisa terjadi dengan kuasaNYA. Mengharap  kadangkala ramai yang terkandas dalam perjuangan. Mungkin sudah letih berharap. Ku selalu berdoa , agar menjadikan aku hamba yang takkan berhenti berharap. Berharap akan pertolongan. Berharap sambil berusaha.


Apa pun, drama One Litre of Tears amatlah wajar ditonton. Bukanlah ku mempromosi pelakonnya , tapi mempromosi ketabahan, kecekalan yang terkandung dalam kisah itu.

sinopsis lebih mendalam :http://ms.wikipedia.org/wiki/1_Litre_of_Tears





Antara scene favouriteku.



Ujian yang datang kepada kita berbeda, mengikut kemampuan kita. Bersabarlah dalam menghadapinya.

Kadangkala ujian yang hadir ingin memberi kita sesuatu yang sering kita kehilangan iaitu , SABAR.

Dan bersyukurlah, mungkin ada insan lain yang lagi teruk ujiannya daripada kita.

Kepada semua yang mungkin mempunyai ahli keluarga seperti adik saya, jangan berputus asa. Berdoalah dan berusahalah. Bukan mudah tapi kita cuba sama-sama. Semuanya takkan sia-sia , Allah kira. :)

p/s : siapa yang mungkin ingin berkongsi kisah,bolehlah komen.:) kita sama-sama share. Hanya berkongsi untuk manfaat semua.

bebelanjiwa : sebulan sudah bercuti. tinggal dua bulan lagi.


Hauri Islam 
Terengganu


No comments:

Post a Comment