Wednesday, July 10, 2013

Aku benci bulan puasa! EPI 1

Klik! Bunyi tetikus ditekan. Sebuah artikel selamat diterbitkan di blognya. Rayyan tersenyum puas. Dua hari  menghadap laptop untuk menyiapkan artikel tersebut. Dia menggeliat, melonggarkan sendi-sendi yang terasa sangat kejap. Kepalanya digerakkan ke kiri dan ke kanan. Menghilangkan lenguh akibat terlalu lama duduk tegak di kerusi  meja belajarnya. Buku –buku kelihatan sedikit berselerak di atas mejanya. Buku-buku itu digunakan untuk menjadi rujukan pembikinan artikelnya. Begitulah kebiasaannya.

“ Alhamdulillah, siap pun artikel ni. Dah naik kejang mata ini menghadap laptop dan  buku-buku ni semua, “ bisik Rayyan perlahan sambil menyandar pada kerusi. Mata terarah pada jam di dinding.

“Ya Allah, dah pukul 1 pagi rupanya! , “ Rayyan terkejut. Keasyikannya menulis membuatkan dia tidak sedar akan masa yang berlalu. Laptopnya dimatikan. Tangan Rayyan mencapai buku-buku dan meletakkannya di rak buku yang terletak di ruang keluarga.

Adiknya, Raihana serta ibunya sudah lama dibuai mimpi. Perlahan-lahan, Rayyan melangkah. Takut bunyi lantai papan rumahnya itu mengejutkan ibu dan adiknya. Sunyi malam begitu terasa. Malam ini, tiada pula nyanyian serangga yang berkumandang seperti biasa.

Setelah selesai meletakkan buku-bukunya, tiba-tiba Rayyan teringat akan sesuatu.

“ Biasanya masa inilah, ayah pulang daripada kerja , “ bisik Rayyan perlahan.Dia teringatkan ayahnya.  Kerja ayah Rayyan sebagai pengawal keselamatan sekolah rendah di kampungnya itu menuntut dia bekerja pada waktu malam. Shifnya berakhir pada waktu malam.

Rayyan menuju ke pintu utama rumahnya lalu dibuka. Dia menjenguk ke luar. Melihat sekiranya ayahnya sudah pulang. Ramalannya tepat. Kelihatan lampu motorsikal Pak Abdullah semakin mendekat. Senyuman terukir di bibir Rayyan.  Senyuman itu menyambut kepulangan ayahnya. Pak Abdullah sedikit terkejut ketika mendaki anak tangga dek terlihat Rayyan yang tercegat di hadapan pintu tanpa suara.

“ Rayyan menakutkan ayah ke  ? , “ Tanya Rayyan sambil tergelak kecil. 

Kelakar melihatkan gelagat ayahnya yang terkejut pabila melihatnya. Pak Abdullah hanya diam. Malas melayan pertanyaan anaknya yang sudah jelas jawapannya. Rayyan menghulurkan tangannya untuk bersalam. Tangan Rayyan hanya disambut hambar. Hambar sekali. Sentuhan yang seakan terpaksa.

Senyuman  Rayyan pudar pabila Pak Abdullah berjalan melepasinya tanpa berbicara sepatah dengannya. Rayyan diam sebentar. Perlahan nafas ditarik sedalam-dalamnya lalu dilepaskan perlahan-lahan.

“ Aku ok, aku ok,” ucap Rayyan perlahan sambil tangannya berulang kali menepuk lembut dadanya. Tepukan yang diharapkan mampu menenangkan jiwa yang bergelora.

Lantas pintu rumah ditutupnya. Sebelum masuk ke biliknya, Rayyan menoleh melihat bilik ibu dan ayahnya. Pasti ayahnya sudah tidur. Letih seharian bekerja.

“ Selamat malam, ayah. Rayyan sayang ayah , “ bisik Rayyan perlahan. Berharap agar bisikannya itu tiba di ruangan hati ayahnya dan tersemat di sana. Berharap satu hari , ayahnya juga akan membalas kasih sayangnya. Dia pasti saat itu akan tiba, cuma dia harus bersabar sikit lagi. Sabar Rayyan! Allah bersama orang-orang yang sabar. Hatinya berkata-kata.


Rayyan sibuk menolong ibunya menghidangkan sarapan pagi di dapur. Bekas yang berisi mihun goreng diletak cermat di atas meja. Hari ni, kali pertama , dia memasak sarapan pagi untuk keluarganya. Dia tersenyum puas seolah-olah ianya satu kejayaan yang besar. Tanpa Rayyan sedari , ibunya, Mak Saadiah memerhatinya samil mengeleng-geleng kepala.

“ Masak mihun goreng, gembira sampai macam tu sekali, “ tegur Mak Saadiah. Tersentak Rayyan dek teguran ibunya. Mak Saadiah tergelak melihat telatah anaknya yang padanya melucukan .

“ Ala ummi ni, ingat senang ke nak masak mihun goreng ni. Bukan main lagi Rayyan berlatih masa kat Jordan masak ni tahu tak. Tapi kat sana , guna spageti sebab takde mihun, “ berkobar-kobar Rayyan bermegah. Niatnya ingin bergurau dengan ibunya.

“ Apa dia ? Pa.. ge.. ti , “ tergagap-gagap Mak Saadiah ketika cuba menyebutnya. Telatah Mak Saadiah menggeletek hati  Rayyan. Terkekek-kekek Rayyan ketawa.

“ Spageti. Ummi ni kelakarlah,” ujar Rayyan dengan ketawa yang masih tersisa. Mak Saadiah tersenyum lebar. Gembira sekali mendengar ketawa Rayyan. Hampir setahun dia menanti kepulangan Rayyan dari Jordan. Sungguh dia rindu dengan anak sulongnya itu. Melihat Rayyan di hadapannya dengan telatahnya itu membuat hatinya cukup berbunga bahagia.

“ Tapi kan ummi…, “ Rayyan memandang ibunya.

“Tapi apa ?, “ tanya Mak Saadiah lalu duduk melabuhkan punggungnya di kerusi meja makan. Rayyan mengambil tempat di sebelah ibunya.

“Agak-agak ayah suka tak mihun goreng yang kak long masak ni ? Yelah, ummi pun tahu, ayah kan cerewet pasal makan, “ ucap Rayyan sambil menongkat dagunya. Matanya melihat mihun goreng yang dimasaknya.

“Mestilah dia suka, sebab kak long yang masak , “ Mak Saadiah cuba menenangkan anaknya walaupun dia tak pasti  dengan jawapannya.

Rayyan tersenyum mendengar kata-kata ibunya. 

“ Tapi kan ummi,semua benda yang kak long buatlah, selalunya abah tak suka, “ hati kecil Rayyan berbicara.

Rayyan tahu ibunya cuba menenangkan hatinya. Dari dulu pabila ayahnya memberi layanan dingin padanya , pasti ibunyalah yang menjadi insan yang menggembirakan hatinya. Ibunya sedaya upaya melimpahkan kasih sayang supaya tiada kurangnya meskipun ayahnya seakan melupai kasih sayang yang harus diberikan padanya. Namun, hati Rayyan tak mampu menafikan kasih sayang ayahnya menjadi dambaannya sekian lama. Bukanlah menjadi insan yang tamak, mungkin boleh dikatakan insan yang mendambakan haknya dipenuhi. Hak untuk diberi kasih sayang. Hak kasih sayang yang sama sepertimana yang ayahnya berikan pada adiknya , Raihana.

Lamunan Rayyan terhenti pabila terdengar suara ayahnya. Sedar-sedar, Pak Abdullah sudah berada di meja makan. Sudah mula menyuapkan ke mulut mihun goreng yang dimasaknya. Rayyan memerhatikan reaksi ayahnya.Selalunya kalau tidak kena seleranya, pasti separuh sahaja dihabiskan ayahnya.
Suapan demi suapan dihabiskan ayahnya. Senyuman Rayyan melebar. Pantas dia berpaling pada ibunya. Mak Saadiah rupanya turut memerhatikan Pak Abdullah. Mak Saadiah mengangkat-angkat keningnya pada Rayyan seraya tersenyum. Dia tahu Rayyan pasti sangat gembira melihatkan betapa berselera suaminya itu makan.

“ Sedap pula mihun goreng hari ini. Lain daripada biasa.Kamu masak ni Diah ?,” tanya Pak Abdullah setelah selesai suapan terakhir. Tangannya mencapai cawan teh untuk diminum.

“ Kak long yang masak ! , “ segera Rayyan menjawab soalan ayahnya. Suaranya kedengaran sungguh ceria sekali.

Pak Abdullah terkejut sebentar mendengarkan suara anaknya itu. Tangan Pak Abdullah terhenti. Tak sempat meminum tehnya.

“ Kak long… yang masak…., ayah, “ kali ini suara Rayyan mengendur namun jelas bernada bahagia. Wajah Rayyan menunduk ke bawah. Senyumannya sukar lagi ditahan. Ya Allah, gembiranya!

Pak Abdullah terdiam.Hatinya terasa menyesal kerna memuji masakan Rayyan. Tak sepatutnya dia beria-ia makan dengan selera. Sangkanya isterinya yang memasak. Tak sangka anaknya itu begitu pandai memasak.

Pak Abdullah berdehem lalu meminum teh sehingga habis. Berlagak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Mak Saadiah menjadi pemerhati setia babak antara anak sulongnya itu dan suaminya. Mak Saadiah menggeleng-gelengkan kepala melihat tingkah suaminya itu. Ego sungguh!

“Diah, abang nak keluar. Nak ke rumah Mail, ada kerja sikit, “ ucap Pak Abdullah .Belum sempat Mak Saadiah mengangguk, Pak Abdullah beredar. Malas dia berlama-lama di situ. Masih lagi menyesal memuji masakan Rayyan.

Mak Saadiah membawa pinggan yang ditinggal Pak Abdullah  ke singki untuk dibasuh.

Setelah kelibat ayahnya menghilang, Rayyan segera bangun lalu memeluk ibunya daripada belakang. Mak Saadiah terkejut.

“Ummi, tengah basuh pinggan ni, “ ujar Mak Saadiah. Tangannya penuh dengan sabun.

“ Ayah puji masakan Rayyan! Yuhuu!, “ ujar Rayyan gembira. Mak Saadiah tersenyum. Lega dia melihat anaknya yang ternyata sangat gembira .

“Yelah, yelah. Nanti bulan puasa, kak long saja yang masak. Ummi goyang kaki, boleh ? ,” kata Mak Saadiah. Rayyan melepaskan rangkulannya. Berdiri di sebelah ibunya itu. Mak Saadiah terus dengan kerjanya , mencuci pinggan.

“ Aahlah, minggu depan, dah nak puasa. Sekejap je kan, masa berlalu. Tup tup dah tiba bulan puasa, “ ucap Rayyan. Dia betul-betul merasakan masa sungguh pantas berlalu. Tahun lepas, dia menyambut 1 Ramadhannya di Jordan. Tahun ini, dia nyata gembira dapat berpuasa bersama keluarganya.

“ Tulah, sekejap je masa berlalu. Allah bagi nikmat bertemu lagi dengan Ramadhan. Alhamdulillah, “ sambung Mak Saadiah sambil menyudahkan bilasan terakhir. Dia mengeringkan tangannya dengan menggunakan tuala yang tersangkut di tepi singki.

Rayyan termenung. Bulan Ramadhan menyimpan sebuah memori yang ingin sekali dilupakan. Memori yang menyakitkan.Memori itu punca kedinginan ayahnya.

Namun, tak Rayyan nafikan , Ramadhan adalah bulan yang paling dia tunggu. Hadiah yang paling berharga untuk orang-orang yang beriman. Pintu rahmat dibuka, pintu syurga dibuka luas, ditutupkan pintu-pintu neraka, dibelenggu syaitan-syaitan. Anugerah lailatul qadar yang bersamaan 1000 bulan. Solat terawih yang hanya ditunaikan dalam bulan ini. Bulan di mana turunnya Al Quran. Begitu banyak keistimewaannya.

“Apalah sangat kenangan pahit tu, berbanding keistimewaan yang Allah bagi dalam bulan ini, “ Rayyan menenangkan dirinya. Memori itu akan cuba dia lupakan. Dia pasti boleh lupakan. Cuma dia tak mampu pastikan sama ada ayahnya boleh melupakan atau tidak.


Amar merebahkan dirinya di atas katil empuknya. Siling biliknya itu direnung kosong. Hari ini, merupakan hari terakhir dia berada di universiti. Esok sudah bermula cuti semester. Baru sebentar tadi, kertas peperiksaan terakhirnya untuk semester ini berjaya dijawab dengan jayanya.

Pandangannya dialihkan pada katil sebelah. Katil kepunyaan rakan sebiliknya, Wafi. Kelihatan beg pakaian yang sudah siap diisi pakaian , hanya tunggu untuk dibawa pulang ke kampong. Sejak minggu lepas, Wafi sudah berbicara keterujaannya untuk pulang ke kampung. Wafi masih lagi tidak pulang ke rumah. Amar melihat jam tangannya. Sepatutnya Wafi sudah pulang waktu ini. Mungkin pergi ke mana-mana, bergembira kerna peperiksaan sudah tamat.

Amar melepaskan keluhan yang berat. Fikirannya kusut. Dia amat benci bila harus pulang ke kampung. Lebih-lebih lagi minggu depan sudah tiba Ramadhan.

“ Argh! Tension aku macam ni, “ jerit Amar sepuas hati. Nasib baik semua rakan serumahnya belum pulang. Kalau tak,pasti semua terkejut mendengar jeritan Amar.

Dia mengimbas perbualan telefon  bersama kakaknya malam tadi. Perbualan itulah yang menjadi punca tekanannya sekarang.

SEMALAM.

“ Kakak nak kau balik juga ! Puasa kat rumah, kakak tak kira,” Aina hilang sabar berbicara dengan adiknya itu. Pada mulanya, dia memujuk dengan lembut tetapi melihatkan pada kedegilan Amar, nada suaranya terpaksa ditinggikan.

“ Kakak, kakak tak faham ke ? Ke buat-buat tak faham ? Kakak  tahu kan, Amar benci puasa kat rumah. Yang kakak nak Amar balik sangat ni kenapa ? Sebelum ni, ok jer, Amar tak balik puasa kat rumah, “ balas Amar. 

Nadanya juga tinggi, geram dengan desakan Aina.Entah kenapa kakaknya itu begitu mendesaknya supaya pulang. Macamlah kakaknya itu tidak tahu sebab dia tak mahu pulang berpuasa di rumah.

“  Kakak faham.Sebab kakak faham lah, tiga tahun, kakak ikutkan sahaja kehendak kamu. Tiga tahun, kakak biarkan saja kamu puasa kat lain walaupun kamu cuti .Akak biarkan saja kamu balik sehari sebelum raya. Cukuplah tu, Amar. Hentikan semua ini. Sampai bila kau nak terus macam ni ?,” balas Aina. Tiga tahun yang diberikan, belum pulih lagikah luka di hati Amar.

Amar diam. Sampai bila pun dia sendiri tak tahu. Yang pasti, tiga tahun masih tidak cukup.

Melihatkan kebisuaan Amar, Aina menghela perlahan.

“Kesianlah kat ayah. Kesianlah dekat ibu. Sampai bila kau nak macam ni ?,” Aina memujuk lagi. Dia harap kali ini adiknya itu mengalah.

" Jangan sebut pasal ibu, "

"Kenapa ? Sampai bila nak lari ?,"

“ Kakak memang tak faham, “ balas Amar.

“ Kau tu yang tak faham,”

“Apa yang kakak faham ?,”

“Amar,kenapa nak seksa diri sendiri ?,” Aina jadi marah. Sukar betul mahu melembutkan hati Amar.

“ Kalau Amar balik, Amar lagi terseksa! Kakak faham tak ?!,” Amar hilang sabar. Intonasinya sukar dikawal lagi. Dadanya berombak menahan marah.

“ Ok, baik. Duit biasiswa kau dah habis kan. Kakak takkan masukkan satu sen pun dalam akaun . Pandai-pandailah kamu hidup sendiri. Kunci rumah teres tu pun kakak takkan bagi kat kau. Kalau kau tak nak balik sangat, merempatlah kat mana-mana, “ ugut  Aina. Dia tahu tanpa duit dan rumah teres kepunyaan ayah mereka yang biasa menjadi destinasi Amar ketika Ramadhan, Amar takkan mampu ke mana-mana.

“Apa ?! Mana boleh macam tu ?,” Amar berang. Tanpa duit dan rumah, sah-sah dia akan merempat. Nak menumpang di rumah kawan, dia memang tak mempunyai teman rapat disebabkan sikapnya yang dingin. Hanya Wafi. Tapi Wafi tinggal di Sabah.

“ Kau tak nak balik sangat. Rasalah. Kalau tak nak merempat, balik puasa kat rumah. Muktamad, “ Aina memberi amaran terakhir lalu talian diputuskan.

“Ish, geramnya aku.Argh!,” Amar meraup mukanya.



Perbualan semalam berlegar di fikiran Amar. Dia memang tidak punya pilihan. Selama ini, kakaknya yang menanggung segalanya ketika dia cuti. Duit biasiswanya pula sudah habis di penghujung semester. Semester ini banyak menuntut dia menggunakan duit.

Amar bangun dari katilnya. Mundar mandir memikirkan ke mana dia mahu pergi. Ah! Semuanya tampak mustahil tanpa duit. Duit yang ada di tangannya hanya cukup untuk makan sahaja. Habis perancangannya, kalau diikutkan, hari ini,dia akan pulang ke kampung dan mengambil kunci rumah daripada kakaknya. Dia duduk kembali di katilnya. Dia buntu. Matanya dipejam, berharap ada idea yang mendatang.

Perlahan kenangan pahit mengunjungi ruang ingatannya. Kenangan Ramadhan yang dibencinya. Satu persatu peristiwa yang memedihkan terpapar di kotak fikirannya. Umpama sebuah filem berkualiti tinggi. Dadanya berombak . Anak matanya bergerak dalam pejaman.Terasa nafas tersekat. Terasa sesak sekali. Bunyi perempuan menjerit terngiang-ngiang di telinganya. Jeritan yang menyeksanya.

Emosi Amar hangat. Dahinya berpeluh.

“Ibu!,” tiba-tiba dia menjerit. Pantas dia membuka matanya. Dia tercungap-cungap. Seperti orang yang baru selesai berlari berpuluh-puluh kilometer. Dia menelan air liurnya.

“ Ibu…

“ Ibu….,” suaranya mengendur. Air mata mula bergenang. Luka lama berdarah kembali. Sakit sekali.

“ Ibu…,” Pipi Amar sudah basah dengan air mata. Sudah terlalu lama air mata ini tersembunyi. Hari ini, air mata muncul kembali. Amar hanyut seketika dalam kesedihannya.

“Amar benci ibu! Amar benci bulan puasa! Argh!, “ jerit Amar. 

Hari ini sudah beberapa kali dia menjerit. Bantal dicapai lalu dilempar ke arah dinding. Dia bangun, meluru ke arah meja belajarnya.Dia menjatuhkan semua barang di atas mejanya. Buku, pen, dan barang lain berselerak di atas lantai. Beg belajarnya turut dilempar. Hiba, kebencian menjadi satu.  Hiba dan kebencian yang ingin dilupakan kini kembali. Seakan tidak mahu pergi.

bersambung...

Salam Ramadhan semua! Moga taqwa yang didamba menjadi milik kita. InsyaAllah.

bebelanjiwa: Cubaan pertama nak buat novel bersiri. Moga bermanfaat dan menghiburkan. 



 Hauri Islam
Terengganu

No comments:

Post a Comment