Sunday, January 3, 2016

TEST JPJ YANG MENGHARUKAN

Teringat kisah bulan lalu. Ketika menunggu giliran untuk test JPJ.

Duduk di sebelah dua orang kakak yang sudah berkahwin dan mempunyai anak. Kami berkongsi perasaan berdebar untuk test bersama JPJ. Cuak dia lain macam.Entah bagaimana tercerita tentang kehidupan berkeluarga.

" Akak pernah digantung tak bertali," kata Kakak A.

" Samalah saya kak, 4 tahun, sekarang dah bebas," sambung kakak B. Aku terpana sebentar.

" Masa akak mengandung, dia ada dan takde. Bila akak beranak, Allah takdirkan dapat anak tak sesempurna orang lain.Dia tak mampu terima anak bongsu dilahirkan sumbing dan ada masalah lelangit. Dia takde pon di samping akak masa beranak , dia tak pernah dukung anak dia , hanya sentuh beberapa kali dengan hujung jari. Akak cakap kat dia, abang, saya terima ni rezki Allah bagi kat kita, takkanlah abang nak tinggalkan anak abang. Abang, kalaulah abang tinggalkan saya dan kahwin lain , dan dia lahirkan anak dengan masalah yang serupa, abang akan tinggalkan dia juga macam abang nak tinggalkan saya?," cerita Kakak A. Riak wajahnya sama. Tak berubah. Tabah. Barangkali sudah lali menghadapi ujian ini.

" Suami akak balas, ikut akulah anak aku. Dia tinggalkan akak ketika anak berusia belasan hari. Dia kemas barang-barang setelah dia cakap nak kahwin lain, dan hari itu , malam raya. Akak beraya tanpa dia, dalam keadaan berpantang. Hari -hari ,masa berpantang, akak menangis,"

Banyak kali hatiku beristighfar . Terkejut dengan lagak suaminya. Umpama tiada perasaan. Rasa tak percaya.

" Alhamdulillah, akak tak meroyan. Anak akak ingat bapa saudara dia ayahnya. Bila saja lihat bapa saudaranya, dia gembira sangat," katanya lagi.

Aku pernah baca artikel tentang ibu meroyan. Bahaya jika terkena. Boleh memberi kesan sepanjang hidup. Jika mahu sembuh, perlu pada rawatan berperingkat. Antara sebab ditekankan supaya wanita berpantang dengan betul dari segi fizikal dan emosi.

" Kuatnya akak," sampuk Kakak B. Dia kagum. Wajahnya jelas menunjukkan dia sangat memahami perasaan Kakak A. Aku hanya mendengar. Dalam hati, ya Allah, besarnya dugaan!

" Pernah akak bawa dia pergi jalan-jalan, ada seorang kenalan akak tanya, kau tak malu ke bawa anak kau keluar,"

Aku dan Kakak B spontan beristighfar. Bagaimana seorang manusia boleh berkata begitu. Tiada perasaankah?

" Akak jawab, ni rezeki Allah bagi pada saya. Tak baik akak cakap macam tu. Saya terima seadanya. Ditakdirkan Allah, kenalan akak mengandung dan dia melahirkan anak sindrom down, kaki anaknya lembek. Dia jumpa akak dan dia minta maaf atas keceluparan mulutnya dahulu,"

Allah, tengok. Ditunjuk kuasaNya terus. Aku jadi takjub mendengar ceritanya.
Pengajarannya jelas.

" Alhamdulillah, umur anak akak setahun setengah. Dah selesai bedah untuk masalah sumbing. Tinggal nak selesai untuk masalah lelangit," katanya tersenyum. Dia menunjukkan gambar anaknya dalam telefon. Comel! Aku dan Kakak B memuji. Memang comel!

" Alhamdulillah, akak tak berseorangan. Adik beradik ada. Setakat ini, tak pernah tak cukup rezeki Allah bagi walaupun akak tak bekerja. Baju raya ada orang bagi, susu pampers, ada orang bagi. Cukup untuk anak-anak akak. Betullah, kalau orang cakap rezeki anak ni murah. Orang tanya akak, macam mana nak jaga anak ,kau tak tahu apa-apa, tak pandai buat apa-apa. Tapi rezeki sentiasa ada. Nak tahu nama anak akak apa?," tanyanya.

Kami berdua mengangguk.

" Muhammad Rizqi," ujarnya sambil tersenyum. Entah kenapa, ironinya kisah dan nama anaknya itu.Allah, memang hebat sungguh kisah hidup insan ini, hatiku berbisik.

" Memang rezeki dari Allah lah akak," kata Kakak B sambil tersenyum lebar. Aku turut sama senyum. Aku terfikir, mungkin dia mahu mendapatkan lesen memandu kereta untuk memudahkan jalan kehidupannya. Yelah, hidup tanpa suami. Pastinya harus bergantung pada diri sendiri. Ingin bergerak ke sana ,ke sini.

Kakak A mengangguk. " Entah kenapa hari ini ringan bercerita. Tak pernah luah pun," kata Kakak A. Mungkin tak pernah bercerita sedalam ini pada insan yang baru dikenali. Aku pasti ada hikmahnya, ringannya dia bercerita.

" Tak apa kak, seorang pergi, beribu yang datang.Akak berdua memang wanita besi. Hebat!," kataku sambil menyentuh tangan mereka berdua. Sungguh, aku kagum! Yang amat. Mereka tersenyum.

" Moga Allah terus beri akak berdua kekuatan," kataku lagi. Ikhlas aku menuturkan. Mahu menutur nasihat panjang, terasa tidak layak. Atau lebih tepat, aku tertampar dengan tabahnya mereka! Hingga terdiam.

Dan pegawai JPJ menghentikan perbualan kami. Kakak B dipanggil untuk duji.

Dipendekkan cerita, kami bertiga lulus. Kakak A menangis teresak-esak kerana lulus. Aduhai, hibanya melihat. Barangkali bangga atau tak percaya dirinya yang dianggap tak mampu berdiri sendiri kini mampu mendapatkan lesen kereta.

Kami bertukar nombor telefon. Ingin ukhwah ini berpanjangan. Biarpun tak mampu menolong dari segi harta, cukup rasanya aku ingin menjadi pendengar bila diperlukan.Di sudut hatiku, moga Allah menjaga mereka dan keluarga mereka. Biar sentiasa di dalam rahmatNya.
Hari itu, anugerah terbesar untukku,bukanlah lulus test JPJ ,tetapi pengajaran dan ketabahan mereka mengajar aku sesuatu yang cukup besar! Sangat besar.

Tak rugi bertegur sapa, menjalin silaturrahim, sebaliknya kau akan untung. Untung mendapat sesuatu untuk diri kamu dan hidup kamu. Jujurnya, aku cuba tak melepaskan peluang untuk menjadi orang pertama memulakan perkenalan. Cuba mengenal sebanyak mungkin insan. Cuba menyebar indahnya cinta Tuhan. Kata mahu jadi daie kan. :)

Kesimpulan kisah kakak itu.
Jiwanya penuh iman.
Tanpa iman, pastinya tenggelam dalam dugaan.

#akakdahdapatlesen
#belajardariinsan

No comments:

Post a Comment