Monday, January 21, 2019

AIB YANG DIBUKA

Bahayanya media sosial yang wujud sekarang membuatkan kita terleka dan terlalai akan buruk dan dosa yang sengaja dikongsikan untuk tatapan semua orang.

Ya, kini semuanya nak dikongsi.
Semua tentang hidup kita.
Apa yang kita buat, siapa yang kita jumpa, di mana kita berada.

Berlumba update dan share.
Sampai lupa apa sebenarnya yang kita share tu.

Share ootd kita yang tak kurang sempurna menutup aurat , kita tahu dosa  tapi kita tutup mata demi nak berkongsi. Tiada segan , tiada rasa serba salah memperlihatkan apa yang perlu ditutup.

Share gambar bersama boyfriend dan tunang yang kadang-kadang lebih dari lagak suami isteri, kita tahu tak betul, tak berkat hubungan ini tapi kita tutup hati dan mata. Tidak lagi segan menunjukkan kasih ,rindu pada dia yang belum menjadi suami pada khalayak manusia.

Share gambar berparti, bergaul tanpa batasan, pergi ke tempat yang kurang baik untuk kaki jejakkan kaki ( konsert, kelab, etc ).

Dulu kita segan dan malu nak berkongsi benda yang kurang betul kita buat, tapi sebab ramai yang buat, kita terikut.

Ada perkara yang kita tahu kita buat salah, dosa atau keburukan, tapi tak mampu lagi nak berhenti, janganlah berkongsi dan tunjukkan pada manusia.
Jangan ditambah berat dosa yang kita lakukan.
Cukuplah aib kita, biar kita yang tahu.

Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasalam bersabda;
.
” Setiap daripada umatku diampunkan melainkan golongan mujahirin. Antara perbuatan mujaharah ialah di mana seorang lelaki melakukan satu amalan pada waktu malam kemudian dia bangun pada waktu pagi dalam keadaan Allah telah menutup apa yang dilakukannya pada waktu malam. Lalu dia berkata : Wahai fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan ini dan perbuatan itu. Sesungguhnya dia tidur dalam keadaan Allah menutup aib yang telah dia lakukan lalu dia bangun pagi dan mendedahkan apa yang Allah tutup darinya.” (Riwayat al-Bukhari(6069)
.
al-‘Aini menyatakan bahawa perbuatan mendedahkan dosa yang dilakukan adalah perbuatan yang gila. (Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari (32/225)
.
Ini bermakna, jangan sesekali mendedahkan dosa yang dilakukan jika ianya bertujuan untuk berbangga dan memperkecilkan dosa. Simpan dan sembunyikanlah ia. Biar ia menjadi rahsia antara kita dengan Allah. (Rujuk Fath al-Bari (10/486)



Kuatkanlah hati dan iman untuk simpan.
Kita tak tahu berapa ramai yang lihat dan terkesan.
Lebih teruk, ada yang mencontohi.
Bayangkan bertambah lagi berat keburukan yang kita buat.

Kita buat, kita tunjuk, ada yang ikut.
Allah..
Kasihanilah diri kita sendiri.

Cuba kita bayangkan.
Kita tiba-tiba takde, Allah tarik nyawa.
Orang akan lihat timeline fb,tweet, atau gambar ig.
Itulah kehidupan kita selama ini.

Itulah.
Yang kurang berkat, kita kongsi.
Yang salah, kita tunjuk tanpa malu.
Yang kurang betul, kita share tanpa rasa bersalah.

Ruginya kita.
Allah tutup aib, kita buka sendiri.

Jom refresh soc med kita.
Cuba padam yang buat hati kurang tenang.
Padam yang salah dan dosa.
Simpan sendiri, tutup rapat-rapat.
Cuba tahan untuk tak kongsi.

Masih tak boleh dan tak kuat nak berhenti buat yang buruk.
Doa dan usaha.
Doa dan usaha.

Ingatlah, banyak sungguh yang kita tunjuk kat manusia, nanti bila dah putus nyawa, banyak tak kita nak tunjuk dekat Tuhan?

Moga Allah kuatkan kita untuk jaga aib dan dosa kita.
Moga Allah kuatkan kita untuk tinggalkan dosa dan benda yang tak berkat.
Moga Allah kuatkan kita untuk buat banyak kebaikan dan pahala.

Wan Nur Syakira

Tuesday, January 15, 2019

JANGAN GOPOH MENILAI TAKDIR

Beriman pada Qadha' dan Qadar.

Ramai yang gagal melakukan.

Di sebalik takdir dan ujian, Allah akan hadirkan hikmah.

Mungkin tak terlihat di awalnya ,mungkin juga kan terzahir di tengahnya dan mungkin jua akan tersua di akhirnya.

Ramai yang tak sabar menanti hikmah. Ramai tergopoh gapah menafsir lekukan ujian yang datang tanpa menghiraukan ia datang dari Tuhan.

Kerana manusia inginkan kepastian yang segera dan dapat dilihat sekarang, terlupa hikmah itu pasti datang.

Jadi akhirnya dek kegopohan, hikmah yang datang asyik terhijab kerna terlalu banyak menyoal takdir daripada merenung takdir dalam-dalam.

Allah takkan datangkan sesuatu yang sia-sia.
Cuma yang kita terlalu gopoh menilainya.

#tipskoreksihati

Wan Nur Syakira

BERHENTI MELIHAT MEREKA

Sederhana menjalani kehidupan.


Hidup dikelilingi media sosial kadangkala membuatkan kita menyoal kehidupan sendiri.


Kenapa hidupku tak semewah mereka ?

Seselesa mereka ?

Seindah mereka ?

Sebahagia mereka?

Secantik mereka ?


Bergelumang dengan tayangan kehidupan insan lain, selalunya buat kita lupa akan keindahan kehidupan kita sendiri.


Membuatkan kita lupa hakikatnya sederhana itu lebih menenangkan dan membahagiakan.


Sederhana itu lebih dekat dengan redha Tuhan.
Sederhana itu lebih dekat dengan nabi junjungan.



Jangan terlalu percaya dengan apa yang kita lihat.
Kita tak tahu di sebalik kehidupan mereka.
Kita tak tahu kisah di sebalik hati mereka.


Usahlah terlalu memandang hidup mereka.
Membandingkan hidup mereka dengan kita hingga lupa banyaknya yang kita ada.


Lupa apa itu syukur.
Lupa apa itu cukup.
Lupa apa itu kaya yang sebenar.


Kaya itu cukup, kaya itu bila kita dilimpahi redha dan kasih sayang Tuhan, bukan semata kasih manusia , kaya itu bila kita mampu berkongsi, kaya itu bila kita bersederhana ,kaya itu bila kita bebas dari perasaan hasad dan riyak, kaya itu tidak membazir dan banyak lagi definisinya.


Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda: “Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati (jiwa)." (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Nah, definisi kaya dari baginda. 😊



Ingatlah punya harta yang banyak itu banyak tanggungjawab.

 Sabda Rasulullah SAW:

لاَ تَزُوْلُ قَدَمَا عَبْدٍ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ أَرْبَعٍ: عَنْ عُمْرِهِ فِيْمَ أَفْنَاهُ, وَعَنْ عِلْمِهِ مَا فَعَلَ بِهِ, وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيْمَ أَنْفَقَهُ, وَعَنْ جِسْمِهِ فِيْمَ أَبْلاَهُ.

“Tidak terlepas kaki seorang hamba sehingga ia akan ditanya tentang empat perkara (yaitu):Tentang umurnya untuk apa ia habiskan?;Tentang ilmunya untuk apa ia amalkan?; Tentang hartanya darimana ia dapatkan kemana ia belanjakan?; dan  Tentang badannya untuk apa ia gunakan?.Sunan Tirmizi


Pokoknya, memerhati, usah sampai lupa mensyukuri.
Memerhati, jangan sampai menyoal takdir sendiri.
Memerhati, biar tanpa hasad di hati.
Memerhati, biar bersama doa mengiringi.

#tipskoreksihati

Wan Nur Syakira

Sunday, January 13, 2019

BERDOALAH UNTUK KEKAL DALAM KEBAIKAN


Kadang-kadang bila kita melakukan kebaikan melalui perbuatan, cara kita hidup, cara kita berpakaian, Allah akan datangkan ujian untuk uji kekuatan kita melakukannya.


Mungkin Allah nak uji adakah kita lakukan semua tu kerna pandangan manusia atau pandangan Allah.

Sebab kadang-kadang, kita lakukan sebabkan nak impress mak ayah, family, kawan, suami atau sesiapa saja.

So last sekali, bila kita diuji dengan perginya manusia yang kita ingin dia kagumi kita, kita pun berhenti buat itu. Sebab dia dah tiada. Kenapa nak buat lagi benda baik tu?

Cuba tanya diri?
Pernah tak jadi macam ni?

"Itu" boleh jadi apa saja.
Boleh jadi cara kita bercakap, cara kita berpakaian, ibadah kita dan sebagainya.

Sebab itu, jangan tinggal doa sewaktu kita melalui hari dengan kebaikan.

"Ya Allah,ikhlaskan aku dalam melakukan kebaikan dan berikan kekuatan untuk istiqamah dalam melakukannya".

Salah satu doa yang sering dibaca nabi Muhammad.

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ وَ عَلَى طَاعَتِكَ
" Wahai yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu dan di atas ketaatan kepada-Mu".

Kita tak tahu masa depan.
Kita tak tahu sebesar mana ujian.
Boleh jadi nikmat juga buat kita gagal untuk istiqamah.

Yang boleh kita minta, semangat dan iman yang kuat untuk lalui bila mana ujian dan nikmat datang.

Jika pada mulanya, kita melakukan kebaikan kerana manusia, berusaha untuk jadikan amal itu kerana Allah,doalah pada Allah ,hadirkan ikhlas kerana Allah, bukan lagi manusia.

Kerana bila manusia pergi, kita masih teguh di situ.
Buat baik tanpa goyah.

Kerana kita buat kerna Allah.
Yang takkan pergi dan takkan mati.

#tipskoreksihati

Wan Nur Syakira

Thursday, January 3, 2019

HATI YANG SIHAT SUKAKAN NASIHAT

Tanda hati kita sihat dan sejahtera dengan iman adalah kita mampu mendengar nasihat daripada sesiapa sahaja.

Tanpa mengira sesiapa itu "siapa" .
Tanpa melihat jawatan, darjat, umur , mahupun harta.

Cuba kita renungkan mampukah kita merendah hati dan mendengar nasihat dari orang yang muda dari kita sama ada kanak-kanak, adik kita, atau anak kita.

Adakah kita mampu mendengar nasihat dari sahabat kita yang sama umur mungkin?

Jika kita terasa malas dan memandang rendah dengan nasihat sesiapa atas alasan mereka tidak sama dari segi sesuatu dengan kita, itu tanda hati kita bermasalah. Bimbanglah akan keadaan hati kita kalau kita rasa macam tu.

Mungkin kita kadang-kadang adore dengan penyampaian seseorang atau sesetengah ustaz atau ustazah, dan tidak menyukai cara penyampaian sesetengah pendakwah yang lain, tapi itu tak bermakna kita boleh memandang rendah pada nasihat yang mereka sampaikan.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda ;

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

“Tidak akan masuk surga seseorang yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji sawi. Ada seseorang yang bertanya, Bagaimana dengan seorang yang suka memakai baju dan sandal yang bagus ? Beliau menjawab, Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain”. (HR. Muslim no. 91).

Tak ingin mendengar nasihat salah satu tanda kesombongan yang ada pada diri. Moga dijauhkan hati kita daripada sifat ini.

Hati yang sedia menerima nasihat, ini adalah sesuatu yang sangat hebat kerana hati ini mudah dibentuk dan akan sentiasa ingin cuba berubah menjadi lebih baik dan baik. Tak kira kita tua atau muda, atau dah beruban sekalipun.

Jika hati mudah dibentuk meskipun umur sudah keemasan, insyaAllah sosok itu akan sentiasa berubah menjadi lebih baik dan baik.


Nak kongsi satu doa yang saya baru berjinak-jinak amalkan adalah " Ya Allah, jadikanlah hati aku mudah menerima nasihat dan mudah dibentuk.

Pada mulanya, saya doakan untuk memiliki anak-anak yang mudah dilentur dan dididik. Tiba-tiba saya terfikir, takkanlah mahu anak saja yang mudah ditegur dan dididik, sepatutnya diri sendiri yang sebagai ibu dan anak juga lagilah utama punya hati sebegitu.

Ye bukan mudah, ianya perlukan mujahadah nak lawan ego dan apa jua anasir negatif dalam diri, tapi nak tak nak ,kita kena lawan juga kan? 😊


Moga Allah kurniakan hati yang sejahtera sentiasa pada kita semua.
Bukanlah hati yang panas dan memberontak mendengar nasihat yang baik,
tetapi hati yang tenang dan bahagia mendengar nasihat dan peringatan.

Sebagaimana do’a Nabi Ibrahim (Alahissalam) yang didalam Surah As Syu ‘ara, ayat 87-89:

“Dan janganlah Engkau hinakan aku pada hari mereka dibangkitkan,(yaitu) di hari harta dan anak-anak laki-laki tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera ( Qalbun Salimun)".

#tipskoreksihati

Wan Nur Syakira