Sunday, January 3, 2016

" CIKGU AJAR TAK QURAN ? "

Aku membaca Al Quran usai solat jemaah dengan Syahida. Dia hanya melihat di sebelahku. Dia menguis bahuku. Aku berpaling. Dia mengeja Quran dengan bahasa isyarat.

Aku mengangguk tanda betul ejaanya. Sejak akhir-akhir ini, bila bertemu sesuatu benda ,aku akan memintanya mengeja untuk memastikan dia tahu. Aku cuba memperbanyak vocabnya supaya senang untuknya berkomunikasi. Rupanya tak semua benda ,ada bahasa isyarat. Jadi pilihannya, dengan mengeja.

Berbalik kisah tadi.

" Kat sekolah, cikgu ajar tak Quran?, " tanyaku dengan bahasa isyarat.

" Cikgu bagitahu adik tak boleh baca Quran sebab tak boleh mendengar dan bercakap. Cikgu ajar yang cacat penglihatan sahaja," jawabnya dengan bahasa isyarat.

Aku mengangguk perlahan ,isyarat memahami ceritanya. Sayu rasanya. Lama aku memerhati tingkah Syahida.Tiba-tiba, terasa nikmatnya boleh membaca Quran dan memahaminya. Ada yang mahu baca, tapi tak mampu ( ketidakupayaan kekal ). Kita, yang boleh baca kadang-kadang liat nak baca satu muka sehari. Liat nak belajar tentang Quran. Bukan tidak upaya, tapi malas!

Teringat ketika pergi ke Majlis Penyampaian Hadiah di sekolah Syahida, ada persembahan bacaan Quran dari pelajar cacat penglihatan. Dia membaca Quran Braille. Aduh, rasanya! Situasi yang jarang dilihat ,jadi kesannya menusuk. Tiada alasan untuk kita yang sempurna untuk bermalas-malasan menikmati indahnya kata-kata Tuhan iaitu Quran.

Moga Allah kuatkan iman.
Moga Allah kuatkan setiap yang berjuang. :)

TEST JPJ YANG MENGHARUKAN

Teringat kisah bulan lalu. Ketika menunggu giliran untuk test JPJ.

Duduk di sebelah dua orang kakak yang sudah berkahwin dan mempunyai anak. Kami berkongsi perasaan berdebar untuk test bersama JPJ. Cuak dia lain macam.Entah bagaimana tercerita tentang kehidupan berkeluarga.

" Akak pernah digantung tak bertali," kata Kakak A.

" Samalah saya kak, 4 tahun, sekarang dah bebas," sambung kakak B. Aku terpana sebentar.

" Masa akak mengandung, dia ada dan takde. Bila akak beranak, Allah takdirkan dapat anak tak sesempurna orang lain.Dia tak mampu terima anak bongsu dilahirkan sumbing dan ada masalah lelangit. Dia takde pon di samping akak masa beranak , dia tak pernah dukung anak dia , hanya sentuh beberapa kali dengan hujung jari. Akak cakap kat dia, abang, saya terima ni rezki Allah bagi kat kita, takkanlah abang nak tinggalkan anak abang. Abang, kalaulah abang tinggalkan saya dan kahwin lain , dan dia lahirkan anak dengan masalah yang serupa, abang akan tinggalkan dia juga macam abang nak tinggalkan saya?," cerita Kakak A. Riak wajahnya sama. Tak berubah. Tabah. Barangkali sudah lali menghadapi ujian ini.

" Suami akak balas, ikut akulah anak aku. Dia tinggalkan akak ketika anak berusia belasan hari. Dia kemas barang-barang setelah dia cakap nak kahwin lain, dan hari itu , malam raya. Akak beraya tanpa dia, dalam keadaan berpantang. Hari -hari ,masa berpantang, akak menangis,"

Banyak kali hatiku beristighfar . Terkejut dengan lagak suaminya. Umpama tiada perasaan. Rasa tak percaya.

" Alhamdulillah, akak tak meroyan. Anak akak ingat bapa saudara dia ayahnya. Bila saja lihat bapa saudaranya, dia gembira sangat," katanya lagi.

Aku pernah baca artikel tentang ibu meroyan. Bahaya jika terkena. Boleh memberi kesan sepanjang hidup. Jika mahu sembuh, perlu pada rawatan berperingkat. Antara sebab ditekankan supaya wanita berpantang dengan betul dari segi fizikal dan emosi.

" Kuatnya akak," sampuk Kakak B. Dia kagum. Wajahnya jelas menunjukkan dia sangat memahami perasaan Kakak A. Aku hanya mendengar. Dalam hati, ya Allah, besarnya dugaan!

" Pernah akak bawa dia pergi jalan-jalan, ada seorang kenalan akak tanya, kau tak malu ke bawa anak kau keluar,"

Aku dan Kakak B spontan beristighfar. Bagaimana seorang manusia boleh berkata begitu. Tiada perasaankah?

" Akak jawab, ni rezeki Allah bagi pada saya. Tak baik akak cakap macam tu. Saya terima seadanya. Ditakdirkan Allah, kenalan akak mengandung dan dia melahirkan anak sindrom down, kaki anaknya lembek. Dia jumpa akak dan dia minta maaf atas keceluparan mulutnya dahulu,"

Allah, tengok. Ditunjuk kuasaNya terus. Aku jadi takjub mendengar ceritanya.
Pengajarannya jelas.

" Alhamdulillah, umur anak akak setahun setengah. Dah selesai bedah untuk masalah sumbing. Tinggal nak selesai untuk masalah lelangit," katanya tersenyum. Dia menunjukkan gambar anaknya dalam telefon. Comel! Aku dan Kakak B memuji. Memang comel!

" Alhamdulillah, akak tak berseorangan. Adik beradik ada. Setakat ini, tak pernah tak cukup rezeki Allah bagi walaupun akak tak bekerja. Baju raya ada orang bagi, susu pampers, ada orang bagi. Cukup untuk anak-anak akak. Betullah, kalau orang cakap rezeki anak ni murah. Orang tanya akak, macam mana nak jaga anak ,kau tak tahu apa-apa, tak pandai buat apa-apa. Tapi rezeki sentiasa ada. Nak tahu nama anak akak apa?," tanyanya.

Kami berdua mengangguk.

" Muhammad Rizqi," ujarnya sambil tersenyum. Entah kenapa, ironinya kisah dan nama anaknya itu.Allah, memang hebat sungguh kisah hidup insan ini, hatiku berbisik.

" Memang rezeki dari Allah lah akak," kata Kakak B sambil tersenyum lebar. Aku turut sama senyum. Aku terfikir, mungkin dia mahu mendapatkan lesen memandu kereta untuk memudahkan jalan kehidupannya. Yelah, hidup tanpa suami. Pastinya harus bergantung pada diri sendiri. Ingin bergerak ke sana ,ke sini.

Kakak A mengangguk. " Entah kenapa hari ini ringan bercerita. Tak pernah luah pun," kata Kakak A. Mungkin tak pernah bercerita sedalam ini pada insan yang baru dikenali. Aku pasti ada hikmahnya, ringannya dia bercerita.

" Tak apa kak, seorang pergi, beribu yang datang.Akak berdua memang wanita besi. Hebat!," kataku sambil menyentuh tangan mereka berdua. Sungguh, aku kagum! Yang amat. Mereka tersenyum.

" Moga Allah terus beri akak berdua kekuatan," kataku lagi. Ikhlas aku menuturkan. Mahu menutur nasihat panjang, terasa tidak layak. Atau lebih tepat, aku tertampar dengan tabahnya mereka! Hingga terdiam.

Dan pegawai JPJ menghentikan perbualan kami. Kakak B dipanggil untuk duji.

Dipendekkan cerita, kami bertiga lulus. Kakak A menangis teresak-esak kerana lulus. Aduhai, hibanya melihat. Barangkali bangga atau tak percaya dirinya yang dianggap tak mampu berdiri sendiri kini mampu mendapatkan lesen kereta.

Kami bertukar nombor telefon. Ingin ukhwah ini berpanjangan. Biarpun tak mampu menolong dari segi harta, cukup rasanya aku ingin menjadi pendengar bila diperlukan.Di sudut hatiku, moga Allah menjaga mereka dan keluarga mereka. Biar sentiasa di dalam rahmatNya.
Hari itu, anugerah terbesar untukku,bukanlah lulus test JPJ ,tetapi pengajaran dan ketabahan mereka mengajar aku sesuatu yang cukup besar! Sangat besar.

Tak rugi bertegur sapa, menjalin silaturrahim, sebaliknya kau akan untung. Untung mendapat sesuatu untuk diri kamu dan hidup kamu. Jujurnya, aku cuba tak melepaskan peluang untuk menjadi orang pertama memulakan perkenalan. Cuba mengenal sebanyak mungkin insan. Cuba menyebar indahnya cinta Tuhan. Kata mahu jadi daie kan. :)

Kesimpulan kisah kakak itu.
Jiwanya penuh iman.
Tanpa iman, pastinya tenggelam dalam dugaan.

#akakdahdapatlesen
#belajardariinsan

TOK SU HARUN

Tiap kali , aku menyapu halaman rumah hampir setiap pagi. Sesekali ,ku melihat sosok sudah lanjut usia memerhatikanku. Ku menggelarnya Tok Su Harun. Ku hanya melemparkan senyuman.

Begitulah setiap pagi, dia akan duduk di kerusi di beranda rumahnya yang betul-betul berhadapan rumahku. Tiap kali melakukan rutin pagi seperti menyapu halaman ,menjemur kain, dan membasuh tangga ( hidup di kampung, ayam memang suka menjadikan tangga sebagai tandasnya, ku rasakan ini sebabnya orang-orang tua sampai boleh bercakap dengan ayam ,tanpa ku sedar, ku bercakap dengan ayam, berpesan supaya membuang air di tempat lain) , tiap pagi ku kan dapat melihat raut tuanya.

Dia tinggal bersama isterinya , seorang anak dan seorang cucu di rumah itu. Banyak kenangan kanak-kanakku ,tersimpan memori bersama dia dan isterinya yang ku gelar Mok Su Nak. Biarpun sekadar menjadi sosok yang menghiasi filem kenanganku kerna kami tidak banyak berkomunikasi, bila melihatnya ,umpama melihat arkib kenangan yang masih kekal sehingga kini. Umpama melihat rumah lama ,di mana kita membesar ,yang penuh dengan nostalgia dulu. Yang membuat kita tersenyum sendiri.

Pagi ini, tika ingin menjemur kain, ku lemparkan pandangan pada kerusi yang biasa dia duduki. Kosong. Tidak berpenghuni. Tiada lagi raut wajah yang memerhatikanku seperti sebelum ini.

Ya,sudah tiga minggu dia pergi. Meninggalkan kerusi untuk selama-lamanya. Tak dapat ku melihatnya untuk kali terakhir, dia pergi ketika ku berada di Selangor. Di jauh sudut hati, dia sudahku anggap seperti datukku sendiri. Perginya dia menjentak tangkai hati.

Dan sesekali ku melihat , beberapa hari yang lalu, Mok Su Nak berada di kerusi itu. Aku jadi bimbang. Takut kerusi kan kehilangan penghuninya lagi. Entah bagaimana sedihnya aku jika dia juga pergi.

Melihat kepergian ini, aku sedar masa cukup tegar memintas manusia tanpa disedari minda. Aku sudah makin bertambah umurnya, begitu juga insan-insan lain.

Melihat kepergian ini, terikatan ini benar-benar sementara . Tak sempurna. Terikatan kita pada manusia pasti ada sulaman hujungnya. Terikatan kita pada Allah itu yang takkan fana, tidak ditelan masa , merentasi hingga alam sana.

Melihat kepergian ini, aku sedar hakikat pengakhiran itu tiada dustanya. Bila tiba, takkan berhenti. Sedetik pun. Walau sedalam kamu menafikan.

Apa yang berubah pada tahun ini dalam hidupku?

Kerusi itu tidak berpenghuni lagi.

Tahun baru. Hargai yang ada di sisi.
Saat dia diambil Pemilik , biar tiada hutang dan hak yang tak terlangsai ditinggalkan.

Ya Allah, redhai permulaan ,pertengahan dan pengakhiran hidup kami.