Klik! Bunyi tetikus ditekan. Sebuah artikel selamat diterbitkan di
blognya. Rayyan tersenyum puas. Dua hari
menghadap laptop untuk menyiapkan artikel tersebut. Dia menggeliat,
melonggarkan sendi-sendi yang terasa sangat kejap. Kepalanya digerakkan ke kiri
dan ke kanan. Menghilangkan lenguh akibat terlalu lama duduk tegak di
kerusi meja belajarnya. Buku –buku
kelihatan sedikit berselerak di atas mejanya. Buku-buku itu digunakan untuk
menjadi rujukan pembikinan artikelnya. Begitulah kebiasaannya.
“ Alhamdulillah,
siap pun artikel ni. Dah naik kejang mata ini menghadap laptop dan buku-buku ni semua, “ bisik Rayyan perlahan
sambil menyandar pada kerusi. Mata terarah pada jam di dinding.
“Ya Allah,
dah pukul 1 pagi rupanya! , “ Rayyan terkejut. Keasyikannya menulis membuatkan
dia tidak sedar akan masa yang berlalu. Laptopnya dimatikan. Tangan Rayyan
mencapai buku-buku dan meletakkannya di rak buku yang terletak di ruang
keluarga.
Adiknya,
Raihana serta ibunya sudah lama dibuai mimpi. Perlahan-lahan, Rayyan melangkah.
Takut bunyi lantai papan rumahnya itu mengejutkan ibu dan adiknya. Sunyi malam
begitu terasa. Malam ini, tiada pula nyanyian serangga yang berkumandang
seperti biasa.
Setelah
selesai meletakkan buku-bukunya, tiba-tiba Rayyan teringat akan sesuatu.
“ Biasanya
masa inilah, ayah pulang daripada kerja , “ bisik Rayyan perlahan.Dia teringatkan ayahnya. Kerja ayah Rayyan sebagai pengawal keselamatan sekolah rendah di kampungnya itu
menuntut dia bekerja pada waktu malam. Shifnya berakhir pada waktu malam.
Rayyan menuju
ke pintu utama rumahnya lalu dibuka. Dia menjenguk ke luar. Melihat sekiranya
ayahnya sudah pulang. Ramalannya tepat. Kelihatan lampu motorsikal Pak Abdullah
semakin mendekat. Senyuman terukir di bibir Rayyan. Senyuman itu menyambut kepulangan ayahnya.
Pak Abdullah sedikit terkejut ketika mendaki anak tangga dek terlihat Rayyan
yang tercegat di hadapan pintu tanpa suara.
“ Rayyan
menakutkan ayah ke ? , “ Tanya Rayyan
sambil tergelak kecil.
Kelakar melihatkan gelagat ayahnya yang terkejut pabila
melihatnya. Pak Abdullah hanya diam. Malas melayan pertanyaan anaknya yang
sudah jelas jawapannya. Rayyan menghulurkan tangannya untuk bersalam. Tangan
Rayyan hanya disambut hambar. Hambar sekali. Sentuhan yang seakan terpaksa.
Senyuman Rayyan pudar pabila Pak Abdullah berjalan
melepasinya tanpa berbicara sepatah dengannya. Rayyan diam sebentar. Perlahan
nafas ditarik sedalam-dalamnya lalu dilepaskan perlahan-lahan.
“ Aku ok,
aku ok,” ucap Rayyan perlahan sambil tangannya berulang kali menepuk lembut
dadanya. Tepukan yang diharapkan mampu menenangkan jiwa yang bergelora.
Lantas
pintu rumah ditutupnya. Sebelum masuk ke biliknya, Rayyan menoleh melihat bilik
ibu dan ayahnya. Pasti ayahnya sudah tidur. Letih seharian bekerja.
“ Selamat
malam, ayah. Rayyan sayang ayah , “ bisik Rayyan perlahan. Berharap agar
bisikannya itu tiba di ruangan hati ayahnya dan tersemat di sana. Berharap satu
hari , ayahnya juga akan membalas kasih sayangnya. Dia pasti saat itu akan
tiba, cuma dia harus bersabar sikit lagi. Sabar Rayyan! Allah bersama
orang-orang yang sabar. Hatinya berkata-kata.
Rayyan sibuk menolong ibunya menghidangkan sarapan pagi di dapur. Bekas
yang berisi mihun goreng diletak cermat di atas meja. Hari ni, kali pertama ,
dia memasak sarapan pagi untuk keluarganya. Dia tersenyum puas seolah-olah
ianya satu kejayaan yang besar. Tanpa Rayyan sedari , ibunya, Mak Saadiah
memerhatinya samil mengeleng-geleng kepala.
“ Masak
mihun goreng, gembira sampai macam tu sekali, “ tegur Mak Saadiah. Tersentak
Rayyan dek teguran ibunya. Mak Saadiah tergelak melihat telatah anaknya yang
padanya melucukan .
“ Ala ummi
ni, ingat senang ke nak masak mihun goreng ni. Bukan main lagi Rayyan berlatih
masa kat Jordan masak ni tahu tak. Tapi kat sana , guna spageti sebab takde
mihun, “ berkobar-kobar Rayyan bermegah. Niatnya ingin bergurau dengan ibunya.
“ Apa dia ?
Pa.. ge.. ti , “ tergagap-gagap Mak Saadiah ketika cuba menyebutnya. Telatah
Mak Saadiah menggeletek hati Rayyan.
Terkekek-kekek Rayyan ketawa.
“ Spageti. Ummi
ni kelakarlah,” ujar Rayyan dengan ketawa yang masih tersisa. Mak Saadiah
tersenyum lebar. Gembira sekali mendengar ketawa Rayyan. Hampir setahun dia
menanti kepulangan Rayyan dari Jordan. Sungguh dia rindu dengan anak sulongnya
itu. Melihat Rayyan di hadapannya dengan telatahnya itu membuat hatinya cukup
berbunga bahagia.
“ Tapi kan
ummi…, “ Rayyan memandang ibunya.
“Tapi apa
?, “ tanya Mak Saadiah lalu duduk melabuhkan punggungnya di kerusi meja makan.
Rayyan mengambil tempat di sebelah ibunya.
“Agak-agak
ayah suka tak mihun goreng yang kak long masak ni ? Yelah, ummi pun tahu, ayah
kan cerewet pasal makan, “ ucap Rayyan sambil menongkat dagunya. Matanya
melihat mihun goreng yang dimasaknya.
“Mestilah
dia suka, sebab kak long yang masak , “ Mak Saadiah cuba menenangkan anaknya
walaupun dia tak pasti dengan
jawapannya.
Rayyan
tersenyum mendengar kata-kata ibunya.
“ Tapi kan ummi,semua benda yang kak long
buatlah, selalunya abah tak suka, “ hati kecil Rayyan berbicara.
Rayyan tahu
ibunya cuba menenangkan hatinya. Dari dulu pabila ayahnya memberi layanan
dingin padanya , pasti ibunyalah yang menjadi insan yang menggembirakan
hatinya. Ibunya sedaya upaya melimpahkan kasih sayang supaya tiada kurangnya
meskipun ayahnya seakan melupai kasih sayang yang harus diberikan padanya. Namun,
hati Rayyan tak mampu menafikan kasih sayang ayahnya menjadi dambaannya sekian
lama. Bukanlah menjadi insan yang tamak, mungkin boleh dikatakan insan yang
mendambakan haknya dipenuhi. Hak untuk diberi kasih sayang. Hak kasih sayang
yang sama sepertimana yang ayahnya berikan pada adiknya , Raihana.
Lamunan
Rayyan terhenti pabila terdengar suara ayahnya. Sedar-sedar, Pak Abdullah sudah
berada di meja makan. Sudah mula menyuapkan ke mulut mihun goreng yang
dimasaknya. Rayyan memerhatikan reaksi ayahnya.Selalunya kalau tidak kena
seleranya, pasti separuh sahaja dihabiskan ayahnya.
Suapan demi
suapan dihabiskan ayahnya. Senyuman Rayyan melebar. Pantas dia berpaling pada
ibunya. Mak Saadiah rupanya turut memerhatikan Pak Abdullah. Mak Saadiah
mengangkat-angkat keningnya pada Rayyan seraya tersenyum. Dia tahu Rayyan pasti
sangat gembira melihatkan betapa berselera suaminya itu makan.
“ Sedap
pula mihun goreng hari ini. Lain daripada biasa.Kamu masak ni Diah ?,” tanya
Pak Abdullah setelah selesai suapan terakhir. Tangannya mencapai cawan teh
untuk diminum.
“ Kak long
yang masak ! , “ segera Rayyan menjawab soalan ayahnya. Suaranya kedengaran
sungguh ceria sekali.
Pak
Abdullah terkejut sebentar mendengarkan suara anaknya itu. Tangan Pak Abdullah
terhenti. Tak sempat meminum tehnya.
“ Kak long…
yang masak…., ayah, “ kali ini suara Rayyan mengendur namun jelas bernada
bahagia. Wajah Rayyan menunduk ke bawah. Senyumannya sukar lagi ditahan. Ya
Allah, gembiranya!
Pak
Abdullah terdiam.Hatinya terasa menyesal kerna memuji masakan Rayyan. Tak
sepatutnya dia beria-ia makan dengan selera. Sangkanya isterinya yang memasak.
Tak sangka anaknya itu begitu pandai memasak.
Pak
Abdullah berdehem lalu meminum teh sehingga habis. Berlagak seolah-olah tiada
apa-apa yang berlaku. Mak Saadiah menjadi pemerhati setia babak antara anak
sulongnya itu dan suaminya. Mak Saadiah menggeleng-gelengkan kepala melihat
tingkah suaminya itu. Ego sungguh!
“Diah,
abang nak keluar. Nak ke rumah Mail, ada kerja sikit, “ ucap Pak Abdullah
.Belum sempat Mak Saadiah mengangguk, Pak Abdullah beredar. Malas dia
berlama-lama di situ. Masih lagi menyesal memuji masakan Rayyan.
Mak Saadiah
membawa pinggan yang ditinggal Pak Abdullah
ke singki untuk dibasuh.
Setelah
kelibat ayahnya menghilang, Rayyan segera bangun lalu memeluk ibunya daripada
belakang. Mak Saadiah terkejut.
“Ummi,
tengah basuh pinggan ni, “ ujar Mak Saadiah. Tangannya penuh dengan sabun.
“ Ayah puji
masakan Rayyan! Yuhuu!, “ ujar Rayyan gembira. Mak Saadiah tersenyum. Lega dia
melihat anaknya yang ternyata sangat gembira .
“Yelah,
yelah. Nanti bulan puasa, kak long saja yang masak. Ummi goyang kaki, boleh ?
,” kata Mak Saadiah. Rayyan melepaskan rangkulannya. Berdiri di sebelah ibunya itu. Mak Saadiah terus dengan kerjanya , mencuci pinggan.
“ Aahlah,
minggu depan, dah nak puasa. Sekejap je kan, masa berlalu. Tup tup dah tiba
bulan puasa, “ ucap Rayyan. Dia betul-betul merasakan masa sungguh pantas
berlalu. Tahun lepas, dia menyambut 1 Ramadhannya di Jordan. Tahun ini, dia
nyata gembira dapat berpuasa bersama keluarganya.
“ Tulah,
sekejap je masa berlalu. Allah bagi nikmat bertemu lagi dengan Ramadhan. Alhamdulillah, “ sambung Mak Saadiah sambil menyudahkan bilasan terakhir. Dia
mengeringkan tangannya dengan menggunakan tuala yang tersangkut di tepi singki.
Rayyan
termenung. Bulan Ramadhan menyimpan sebuah memori yang ingin sekali dilupakan.
Memori yang menyakitkan.Memori itu punca kedinginan ayahnya.
Namun, tak
Rayyan nafikan , Ramadhan adalah bulan yang paling dia tunggu. Hadiah yang paling
berharga untuk orang-orang yang beriman. Pintu rahmat dibuka, pintu syurga
dibuka luas, ditutupkan pintu-pintu neraka, dibelenggu syaitan-syaitan. Anugerah
lailatul qadar yang bersamaan 1000 bulan. Solat terawih yang hanya ditunaikan
dalam bulan ini. Bulan di mana turunnya Al Quran. Begitu banyak keistimewaannya.
“Apalah
sangat kenangan pahit tu, berbanding keistimewaan yang Allah bagi dalam bulan
ini, “ Rayyan menenangkan dirinya. Memori itu akan cuba dia lupakan. Dia
pasti boleh lupakan. Cuma dia tak mampu pastikan sama ada ayahnya boleh
melupakan atau tidak.
Amar merebahkan dirinya di atas katil empuknya. Siling biliknya itu
direnung kosong. Hari ini, merupakan hari terakhir dia berada di universiti.
Esok sudah bermula cuti semester. Baru sebentar tadi, kertas peperiksaan
terakhirnya untuk semester ini berjaya dijawab dengan jayanya.
Pandangannya
dialihkan pada katil sebelah. Katil kepunyaan rakan sebiliknya, Wafi. Kelihatan
beg pakaian yang sudah siap diisi pakaian , hanya tunggu untuk dibawa pulang ke
kampong. Sejak minggu lepas, Wafi sudah berbicara keterujaannya untuk pulang ke
kampung. Wafi masih lagi tidak pulang ke rumah. Amar melihat jam tangannya.
Sepatutnya Wafi sudah pulang waktu ini. Mungkin pergi ke mana-mana, bergembira
kerna peperiksaan sudah tamat.
Amar
melepaskan keluhan yang berat. Fikirannya kusut. Dia amat benci bila harus
pulang ke kampung. Lebih-lebih lagi minggu depan sudah tiba Ramadhan.
“ Argh!
Tension aku macam ni, “ jerit Amar sepuas hati. Nasib baik semua rakan
serumahnya belum pulang. Kalau tak,pasti semua terkejut mendengar jeritan Amar.
Dia
mengimbas perbualan telefon bersama
kakaknya malam tadi. Perbualan itulah yang menjadi punca tekanannya sekarang.
SEMALAM.
“ Kakak nak
kau balik juga ! Puasa kat rumah, kakak tak kira,” Aina hilang sabar berbicara
dengan adiknya itu. Pada mulanya, dia memujuk dengan lembut tetapi melihatkan
pada kedegilan Amar, nada suaranya terpaksa ditinggikan.
“ Kakak,
kakak tak faham ke ? Ke buat-buat tak faham ? Kakak tahu kan, Amar benci puasa kat rumah. Yang
kakak nak Amar balik sangat ni kenapa ? Sebelum ni, ok jer, Amar tak balik
puasa kat rumah, “ balas Amar.
Nadanya juga tinggi, geram dengan desakan
Aina.Entah kenapa kakaknya itu begitu mendesaknya supaya pulang. Macamlah
kakaknya itu tidak tahu sebab dia tak mahu pulang berpuasa di rumah.
“ Kakak faham.Sebab kakak faham lah, tiga
tahun, kakak ikutkan sahaja kehendak kamu. Tiga tahun, kakak biarkan saja kamu
puasa kat lain walaupun kamu cuti .Akak biarkan saja kamu balik sehari sebelum
raya. Cukuplah tu, Amar. Hentikan semua ini. Sampai bila kau nak terus macam ni
?,” balas Aina. Tiga tahun yang diberikan, belum pulih lagikah luka di hati
Amar.
Amar diam.
Sampai bila pun dia sendiri tak tahu. Yang pasti, tiga tahun masih tidak cukup.
Melihatkan
kebisuaan Amar, Aina menghela perlahan.
“Kesianlah
kat ayah. Kesianlah dekat ibu. Sampai bila kau nak macam ni ?,” Aina memujuk lagi. Dia harap kali
ini adiknya itu mengalah.
" Jangan sebut pasal ibu, "
"Kenapa ? Sampai bila nak lari ?,"
“ Kakak
memang tak faham, “ balas Amar.
“ Kau tu
yang tak faham,”
“Apa yang
kakak faham ?,”
“Amar,kenapa
nak seksa diri sendiri ?,” Aina jadi marah. Sukar betul mahu melembutkan hati
Amar.
“ Kalau
Amar balik, Amar lagi terseksa! Kakak faham tak ?!,” Amar hilang sabar.
Intonasinya sukar dikawal lagi. Dadanya berombak menahan marah.
“ Ok, baik.
Duit biasiswa kau dah habis kan. Kakak takkan masukkan satu sen pun dalam akaun
. Pandai-pandailah kamu hidup sendiri. Kunci rumah teres tu pun kakak takkan
bagi kat kau. Kalau kau tak nak balik sangat, merempatlah kat mana-mana, “
ugut Aina. Dia tahu tanpa duit dan rumah
teres kepunyaan ayah mereka yang biasa menjadi destinasi Amar ketika Ramadhan,
Amar takkan mampu ke mana-mana.
“Apa ?!
Mana boleh macam tu ?,” Amar berang. Tanpa duit dan rumah, sah-sah dia akan
merempat. Nak menumpang di rumah kawan, dia memang tak mempunyai teman rapat
disebabkan sikapnya yang dingin. Hanya Wafi. Tapi Wafi tinggal di Sabah.
“ Kau tak
nak balik sangat. Rasalah. Kalau tak nak merempat, balik puasa kat rumah.
Muktamad, “ Aina memberi amaran terakhir lalu talian diputuskan.
“Ish,
geramnya aku.Argh!,” Amar meraup mukanya.
Perbualan
semalam berlegar di fikiran Amar. Dia memang tidak punya pilihan. Selama ini,
kakaknya yang menanggung segalanya ketika dia cuti. Duit biasiswanya pula sudah
habis di penghujung semester. Semester ini banyak menuntut dia menggunakan
duit.
Amar bangun
dari katilnya. Mundar mandir memikirkan ke mana dia mahu pergi. Ah! Semuanya
tampak mustahil tanpa duit. Duit yang ada di tangannya hanya cukup untuk makan sahaja. Habis perancangannya, kalau diikutkan, hari ini,dia akan pulang ke kampung dan mengambil kunci rumah daripada kakaknya. Dia duduk kembali di katilnya. Dia buntu. Matanya
dipejam, berharap ada idea yang mendatang.
Perlahan
kenangan pahit mengunjungi ruang ingatannya. Kenangan Ramadhan yang dibencinya.
Satu persatu peristiwa yang memedihkan terpapar di kotak fikirannya. Umpama
sebuah filem berkualiti tinggi. Dadanya berombak . Anak matanya bergerak dalam
pejaman.Terasa nafas tersekat. Terasa sesak sekali. Bunyi perempuan menjerit
terngiang-ngiang di telinganya. Jeritan yang menyeksanya.
Emosi Amar
hangat. Dahinya berpeluh.
“Ibu!,”
tiba-tiba dia menjerit. Pantas dia membuka matanya. Dia tercungap-cungap.
Seperti orang yang baru selesai berlari berpuluh-puluh kilometer. Dia menelan
air liurnya.
“ Ibu…
“ Ibu….,”
suaranya mengendur. Air mata mula bergenang. Luka lama berdarah kembali. Sakit
sekali.
“ Ibu…,”
Pipi Amar sudah basah dengan air mata. Sudah terlalu lama air mata ini
tersembunyi. Hari ini, air mata muncul kembali. Amar hanyut seketika dalam
kesedihannya.
“Amar benci
ibu! Amar benci bulan puasa! Argh!, “ jerit Amar.
Hari ini sudah beberapa kali
dia menjerit. Bantal dicapai lalu dilempar ke arah dinding. Dia bangun, meluru
ke arah meja belajarnya.Dia menjatuhkan semua barang di atas mejanya. Buku,
pen, dan barang lain berselerak di atas lantai. Beg belajarnya turut dilempar.
Hiba, kebencian menjadi satu. Hiba dan
kebencian yang ingin dilupakan kini kembali. Seakan tidak mahu pergi.
bersambung...
Salam Ramadhan semua! Moga taqwa yang didamba menjadi milik kita. InsyaAllah.
bebelanjiwa: Cubaan pertama nak buat novel bersiri. Moga bermanfaat dan menghiburkan.
Hauri Islam
Terengganu