Friday, November 20, 2015

CERPEN : JALAN LAMBAT

Marisa menutup buku kuliahnya. Sudah dua jam dia mengadap tulisan buku yang memeningkan itu. Mata dan minda sudah tak mampu lagi meresap apa yang dibaca. Kaca matanya ditanggalkan seketika. Hujung jarinya menekan dahi . Terasa berdenyut , mungkin mendamba rehat sebentar. Marisa meraup mukanya lalu menyembam mukanya meja belajarnya yang mendatar.Terasa sejuk meja bagai mengurut dahinya yang berdenyut.

Bunyi pintu bilik mengejutkan Marisa. Marisa berpaling. Kelihatan Aina menghempaskan begnya ke katil. Wajahnya tegang. Kemungkinan besar menghadapi masalah. Kebiasaannya dia akan datang ke bilik Marisa bila punya masalah atau punya benda yang bahagia untuk dicerita. Aina merebahkan dirinya ke tilam empuk milik Marisa.


" Siapa yang bukakan pintu ?, " tanya Marisa. Dia langsung tidak mendengar pintu rumah sewanya diketuk.Dia menghadapkan dirinya pada Aina dengan memusingkan kerusi belajarnya.

" Amni yang buka, " jawab Aina malas. Berkali dia melepaskan keluhan berat. Sesak dadanya memikirkan masalah terbarunya. Marisa tersenyum melihat telatah Aina.

" Kali ini apa pula masalahnya ? Ada masalah dengan best friend forever ke ?," teka Marisa dan dia pasti tekaannya betul.

" Geram betul!, " serentak itu Aina bangun dari katil. Dia bersila di atas tilam. Bersedia untuk mencurah segalanya.

" Takkan benda kecil macam tu pun, nak terasa hati. Cepat betul sentapnya. Saya cakap kat dia, janganlah jalan lambat  sangat. Kita dah lambat nak ke kafe, nanti ramai orang, malas nak berebut. Dia suruh saya jalan dulu, saya pergilah dulu. Bila berjumpa dekat kafe, muka dia dah gloomy semacam, seharian dia tak bercakap dengan saya, " semangat Aina bercerita. Marisa mendengar dengan khusyuk sambil tersenyum.

" Kenapa awak senyum? Tak kelakar lah," Aina terasa bagai Marisa menganggapnya tidak serius dalam bercerita. Hatinya terasa geram dengan sifat keanak-anakan Mira. Dah besar panjang, takkanlah perkara sekecil itu , mahu disentapkan.

" Taklah kelakar juga kisah awak berdua ini. Asyik perkara yang sama je. Benda-benda yang kecil pula tu, " ucap Marisa sambil mengemas bukunya di atas meja. Dia pasti hari ini dia harus memberi kaunseling pada Aina. Selalunya begitu. Pendamai antara dua sahabat sehidup semati.

" Kan ? Pelik betul lah. Susah nak survive kalau asyik macam ni, " keluh Aina. Penat sudah dia melayan kerenah Mira.

Marisa diam seketika. Memikirkan apa yang harus ditanya pada Aina.

" Pernah awak tanya kenapa dia macam tu ? Sensitif pada perkara itu ,"

" Tak, sebab benda kecil je pun kan," acuh tidak acuh Aina menjawab.

" Kecil bagi awak, mungkin besar bagi dia ?," kata Marisa. Aina diam. Merenung kata-kata Marisa. Sel-sel otaknya berhubung , memproses pertanyaan Marisa. Mencari jawapan dan rasional di sebalik tindakan Mira.

" Awak pernah tanya tak?, Marisa cuba mendamaikan fikiran Aina dengan cara yang positif.
Cuba membuat Aina berfikir dari sudut pandang Mira tentang hal kecil begitu.

" Ada orang yang melenting sebab perkara kecil sebab memang dia tak matang , tapi ada juga orang yang melenting sebab perkara kecil kerana perkara kecil itu sebenarnya besar pada dia, " jelas Marisa. Manusia pasti ada sebab di sebalik setiap tindakan. Dipengaruhi oleh sesuatu untuk bertindak sebegitu. Aina diam. Dalam diam, dia mengiakan kata-kata Marisa, mungkin ada sebab Mira bertindak sebegitu untuk perkara yang kecil begitu.

" Saya bagi satu contoh, awak tak suka semut ? Kenapa ? Bagi orang lain, ok je," Marisa cuba membuatkan Aina memahami dengan lebih dalam apa yang ingin dia sampaikan.

" Sebab masa kecil, saya kena gigit dengan ratusan semut sebab main kat semak," kata Aina perlahan. Setiap kali dia terlihat semut, kenangan pahit itu selalu saja tersiar ,bagaikan wayang besar di hadapan matanya. Dia memang ingin melupakannya. Sehingga sekarang, badannya sedikit menggeletar jika teringat tentang peristiwa itu. Masih segar, rasa semut-semut itu merayap di badannya dan rasa sakit digigit.

" Eeee... taknak saya ingat, macam baru je benda tu berlaku," Aina cuba memadam imej semut yang sudah mula bermain-main di kotak mindanya. Entah bilalah dia akan melupai kisah itu. Dah berbelas tahun.

" See? Awak ada sebab sendiri untuk benci pada semut. Padahal orang lain, tengok semut, tak rasa apa pun. Mungkin dia ada sebab untuk sensitif  sangat pada benda kecil macam tu, " terang Marisa. Kelihatan Aina mengangguk perlahan. Mungkin lebih memahami setelah diberikan contoh yang berkaitan dengan dirinya.

" Betul juga apa yang awak cakap, saya tak pernah terfikir macam tu. Mungkin saya kena tanya dia betul-betul apa sebab dia react macam tu ," kali ini, Aina kelihatan lebih tenang berbanding mula-mula dia meluah rasa tadi. Marisa tersenyum. Puas hati kerana dapat menenangkan Aina.Wajah Aina yang tegang sudah MULA KENDUR. Barangkali cuba memikirkan apa sebab Mira bertindak sebegitu.

" Marisa!, jerit Aina tiba-tiba.Marisa terkejut hingga terangkat bahunya.

"Ya Allah, apa dia Aina, kenapa sampai jerit macam tu," tanya Marisa sambil mengurut dadanya. Masih terkejut dengan nada suara Aina yang nyaring itu.
Aina tersengih. Terhibur melihat reaksi Marisa.

" Terima kasih ya," ucap Aina disusuli dengan ketawa. Tertawa  melihat wajah Marisa yang serius. Mendengarkan ketawa Aina, Marisa turut ikut ketawa.

" Sabar jelah dengan awak ni," kata Marisa. Aina memang begitu. Kadangkala perangainya seperti kanak-kanak. Terhibur juga sekali sekala melihatnya.



Mira membelek-belek buku yang baru dibelinya sambil tersenyum. Sudah lama dia ingin mememiliki buku itu. This Is My Road, Yoshizo Shimano. Sebuah biografi seorang ahli perniagaan Jepun yang berjaya. Cita-citanya ingin menjadi ahli perniagaan yang berjaya.

" Buku baru lagi?,

Suara itu mengejutkan Mira dari lamunannya. Suara yang amat dikenalinya. Dia berpaling. Kelihatan Aina tersenyum manis. Mira membalasnya dengan senyuman juga.
Aina duduk di sebelahnya.

" Aah, baru je beli tadi. Baru habis kelas?," tanya Mira sambil menutup buku yang dibeleknya.

" Baru je habis," jawab Aina pendek. Sebenarnya hatinya berkira-kira untuk bertanya apa yang dikatakan oleh Marisa kelmarin. Pandangannya dilempar ke sekeliling. Mencari kekuatan. Entah kenapa dia berdebar pula. Padahal benda kecil sahaja. Aina sendiri terasa pelik dengan dirinya.

Mira perasan akan kegelisahan Aina. " Kenapa ni? Ada benda yang tak kena ke?, tanya Mira. Pasti ada sesuatu yang tak kena melihatkan tingkah Aina yang tidak senang duduk.

" Saya nak minta maaf sebab kelmarin. Saya tahu awak tak suka jalan sorang-sorang kan, tapi saya tinggalkan awak jugak," ucap Aina perlahan. Mira ketawa.

" Lah sebab tu je ke, ok jelah Aina. Takkan lah saya nak marah untuk perkara kecil macam tu. Macam budak-budak kalau saya nak merajuk,"

" Tapi kelmarin awak merajuk kan. Saya kenal kalau awak sentap ke, marah ke," Aina kenal betul dengan perangai Mira. Kelmarin memang dia merajuk.

" Taklah, tak pon," nafi Mira walaupun hatinya mengiakan. Cuba mengelak dari menjelaskan tentang soal itu. Entah kenapa pertanyaan itu seolah-olah akan menyentuh perkara yang tidak ingin difikir apatah lagi disebut. Dia tahu banyak kali juga perkara yang sama berlaku. Dia cuba tidak menunjukkannya tetapi banyak kali juga gagal. Setiap kali dia gagal, dia sangat berharap Aina tidak menyebut tentangnya. Akhirnya, Aina menyedarinya.

" Awak jangan nak mengelak. Saya tahu. Bukan sekali tau, banyak kali dah awak sentap benda yang sama sampai saya rasa pelik kenapa. Kenapa awak tak suka kalau saya tinggal awak jalan seorang diri? Tapi awak yang jalan lambat. Pastu awak merajuk. Mesti ada sebab kenapa awak sentap sangat . Awak bukan ala-ala manja gitu. I know you. Cuba awak bagitau kenapa. Mesti ada sebab kenapa awak anggap benda ni besar kan," Aina cuba menjelaskan sebab dia bertanya. Jelas dari kata-katanya dia ingin tahu akan sebabbya.

Otak Mira ligat berfikir apa alasan yang harus diberikan. Bagaimana mahu menghapuskan topik ini daripada dibincangkan. Mira diam.

" Mira , awak dengar tak apa yang cakap ni?, "

Mira diam . Masih belum bertemu cara bagaimana mahu mengelak dari menjawab pertanyaan Aina. Perlakuan Mira hanya membuatkan rasa ingin tahu Aina membuak-buak. Dia pasti ada sesuatu yang tidak diceritakan oleh Mira . Mira melepas keluhan berat.

" Dengar. Takde papelah," Mira terus cuba mengelak.

" Saya tahu. Mesti ada," ujar Aina tanpa putus asa. Dia bertekad ingin tahu. Mesti ada sebabnya. Dia tak suka semut kerna ada sebabnya. Mesti Mira ada sebab yang munasabah kenapa dia rasa begitu.

Mira merenung jauh. Entah apa yang dilihatnya. Berkira mahu berterus terang atau tidak.

" Ceritalah Mira ,saya kan kawan awak," pujuk Aina perlahan dengan harapan Mira berlembut hati untuk bercerita. Sekali lagi, Mira melepaskan keluhan berat. Kali ini, kelihatannya dia akan mengalah dengan pujukan Aina.

" Apa awak rasa bila saya jalan lambat?. Jujur je , saya ok je," Mira memulakannya ceritanya dengan pertanyaan.

" Geram jugaklah kadang-kadang tu. Yelah, saya memang jenis jalan cepat kan. Saya tak suka lambat-lambat. Saya pelik , sebenarnya senang je kalau nak jalan laju, jalan je cepat-cepat, kalau berlatih, mesti boleh punya," jawab Aina. Bimbang juga dia kata-katanya terlalu terus terang tetapi itulah yang dia fikirkan. Memandangkan Mira ingin dia jujur, lebih baik dia berterus terang.

Mira tersenyum. Dia sudah mengagak jawapan Aina. Bahkan dia juga merasa begitu. Apa yang susah sangat nak jalan laju. Hayun sahajalah kaki laju-laju. Tapi tak semudah itu bagi dia. Entah berapa kali dia cuba.

" Masa saya kecil dulu, saya tak ingat umur saya , masa tu, saya berjalan dengan abah saya, saya jalan depan dia. Tak sempat abah saya nak pegang tangan saya. Selalu macam tu. Hari tu macam biasa, saya pergi kedai depan umah dengan abah saya, dalam perjalanan balik, tak sempat abah pegang tangan saya, saya terus lintas jalan tanpa lihat kiri kanan. Rupa-rupanya ada kereta hampir langgar saya. Kalau saya lambat sikit, mesti kena langgar. Abah saya jerit nama saya. Kuat sangat. Saya takut, terus saya lari masuk rumah, bersembunyi belakang pintu, takut kena marah, tapi memang saya kena marah lah kan, " Mira mengimbas kenangan lama. Khusyuk Aina mendengar.

" Saya tak tahu kenapa sampai sekarang saya ingat pasal kejadian ini. Satu-satunya memori masa kecil yang jelas saya ingat, suasananya dan segalanya. Even cara abah saya jerit dan marah saya. Satu-satu saya ingat.Sejak itu, saya takut nak jalan laju-laju, bila saya jalan lambat-lambat, bila saya tengok awak kat depan saya, saya rasa selamat," perlahan-lahan Mira bercerita. Mira memandang Aina lalu tersenyum.

" Saya yakin , ada orang kat depan saya , teman saya, " sambung Mira tanpa mengalihkan pandangannya pada Aina. Tiba-tiba, Aina terasa bersalah . Begitu rupanya pandangan Mira pada dia. Jika Aina, pasti dia marah jika tertinggal di belakang. Aina mengalihkan pandangannya , tak betah bertahan melihat pandangan Mira.

" Tapi... lama-lama, saya rasa pelik, tak selesa. Rasa macam... tak selamat. Tiba-tiba, situasi itu seolah-olah saya ditinggalkan. Tiada orang yang mampu berjalan dengan saya. Tak mampu bertahan dengan saya kerna saya terlalu lambat. Tiba-tiba, saya rasa sedih sangat. Rasa keseorangan. Bila awak berada di depan, happy je boleh berbual dengan kawan-kawan kita yang lain. Saya tak dapat berbual siapa-siapa. Setiap kali kita keluar, setiap kali saya akan tertinggal di belakang dan awak di depan berjalan dengan kawan kita yang lain.Saya pun cuba mula jalan laju-laju, sebab nak berjalan bersama dengan awak, boleh berbual dengan awak sambil berjalan. Tapi ianya meletihkan, saya rasa bila kalau nak berjalan dengan awak, saya kena berlari. Saya tercungap-cungap nak kejar awak. Saya cuba bertahan, tapi akhirnya kaki saya yang mengalah. Jadi, perlahan-lahan saya tertinggal di belakang. Mungkin sebab dah bertahun saya berjalan lambat kerana fobia berjalan laju masa kecil-kecil dulu, susah nak ubah," Mira berhenti seketika. Mengambil nafas. Aina pula cuba meletakkan dirinya di tempat Mira jika dia melihat Mira yang meninggalkannya di belakang. Pasti sedih juga akhirnya.

" Saya selalu cakap kat diri saya, tak payahlah difikirkan sangat pasal benda ini, kecil je pun, orang lain banyak lagi benda yang menyakitkan yang mereka kena hadapi. Takkanlah saya nak sakit hati pasal benda macam ini, itulah yang saya cuba bagitahu pada diri saya. Sebab masa sekolah menengah saya ok je kena tinggal. Tapi ... tiap kali, saya ditinggalkan awak di belakang, tiba-tiba rasa sedih tu datang sendiri. Mungkin awak kawan yang paling baik pernah saya ada. Saya pun cuba hilangkan rasa sedih tu dengan berjalan depan awak dan kawan-kawan kita yang lain. Laju saya jalan, tinggal awak kat belakang. Tapi saya rasa pelik pula, saya rasa macam saya seorang juga, tiba-tiba saya rasa meninggalkan lagi teruk rasanya daripada rasa ditinggalkan. Bila saya di belakang, saya dapat tengok awak, tapi bila saya di depan, saya langsung tak nampak awak. Jadi, saya tertanya-tanya, apa yang seronoknya?,"

Satu persatu kata-kata Mira seolah-olah membawa Aina jauh ke lautan fikiran. Mira dapat melihat apa yang tidak dapat dia lihat. Merasai apa yang tidak pernah dia rasa. Tak pernah langsung dia terfikir apa yang Mira fikirkan. Kelihatan kecil bagi Aina tapi besar bagi Mira.

" Entahlah, saya pun tak tahu apa penyelesaiannya, sebab itu, saya selalu jalan seorang diri dan mengelak jalan-jalan dengan awak, taklah saya terasa dan lepaskan pada awak, Awak pula, boleh happy jalan-jalan , tak perlu fikir tentang saya. Kadang-kadang saya fikir kalau saya buat macam tu, macam lari dari masalah, tapi itu kot yang terbaik untuk masa ini," ucap Mira. Kelihatannya bermacam cara sudah diusahakan untuk mengubat apa yang dia rasa dan mengubah fobianya.

" Tak sangka pula sebesar dan sedalam ini yang awak rasa dan lihat, " perlahan Aina menuturkannya. Kata-kata Mira banyak mengejutkannya.

" Bukan awak seorang je fikir macam tu, saya pun pelik dengan diri saya, mungkin sebab fobia dulu buat saya jadi macam ini. Saya marahkan diri sendiri sebab masih gagal nak hadapi fobia ni sampai menyusahkan orang. tak mengapalah, Benda yang kecil macam ini , lama-lama akan hilang kalau kita cuba lupakan, " kata Mira. Dia tahu betapa kecilnya perkara ini pada pandangan orang lain dan pada dia juga. Cuma,  dia perlukan masa untuk terus mengecilkan perkara ini.

" Fobia bukan benda kecil tau, ianya gangguan. Tengok saya, bukan saya tak pernah cuba hilangkan fobia pada semut. Saya tahu bagaimana rasanya. Kita menghadapi benda yang sama. Cuma kita kena cari macam mana nak hadapinya," ucap Aina. Dia ingin menaikkan semangat Mira yang kelihatan sudah putus asa. Kekurangan akan terus jadi kekurangan bila kita terima ianya adalah kekurangan. Melainkan kita menerima sebagai ketidaksempurnaan. Lain tafsirannya antara kekurangan dan ketidaksempurnaan pada Aina.

" Macam-macam benda saya buat nak hilangkan fobia saya pada semut. Kalau orang tahu, pasti mereka anggap saya tak betul agaknya," Aina mula teringat satu persatu cara yang dia lakukan. Tenung semut lama-lama, ikut semut. Semuanya masih tak menjadi lagi. Akhirnya, badannya menggeletar juga. Entahlah.

" Selama ini, saya fikir bila kita di depan, kita akan nampak semua benda , sebab kita yang lihat dulu. Yang berada di depan, akan dapat sesuatu dengan mudah dan cepat. Lambat, kita akan rugi. Tapi rupanya sekali sekala, kita kena juga berada di belakang, baru kita dapat lihat lagi luas," ujar Aina. Dia belajar sesuatu hari ini. Ya, dia belajar sesuatu dari perkara sekecil ini.

Mira ketawa. Ketawanya memecah kesunyian sementara antara mereka berdua.

" Kenapa pula awak ketawa ?," tanya Aina hairan.

" Siapa sangka perbincangan kita yang serius yang tentang jalan lambat dan jalan cepat . hahaha ," Mira terasa lucu apabila terkenangkan falsafah mereka yang cukup serius tentang cara berjalan.

Aina turut sama ketawa.

" Tapi ada bagusnya kita bercakap tentang ini, ada benda yang saya belajar, saya belajar bagaimana berbezanya dua orang yang berbeza memandang satu perkara yang sama. Tiba-tiba saya rasa manusia ini hebat," Aina tersengih dengan telahannya.

" Apa pun, terima kasih sebab tanya. Terima kasih sebab cuba memahami," Mira menolak badan Aina perlahan lalu ketawa.Mira sangat menghargai. Terasa ringan bila berkongsi. Tak ramai yang cuba bertanya , ramai cuba menilai tanpa tahu punca.

" Sama-sama dan minta maaf kalau selama ini saya menyakitkan awak, " ikhlas Aina menuturkannya. Melihat pada telitinya setiap kata yang diungkapkan Mira, pasti sudah lama dia memikirkan hal itu.

" Taklah, saya pun minta maaf kalau perkara kecil ini mengganggu hubungan kita, "

" Taklah, benda ini bukan benda kecil , kecil pada orang lain, besar pada awak. Awak pun tahukan saya takut dan fobia pada semut yang kecil itu, " kata Aina. Mira mengangguk. Dia sudah lama tahu tentang fobia Aina itu. Terkejut besar dia bila Aina menjerit melihat sekumpulan semut di dalam bilik mereka. Jeritan Aina yang kuat itu bagaikan bertemu hantu yang akan memakannya.Aina sangat sensitif pada benda-benda yang boleh mengundang semut. Minuman manis, coklat dan seangkatan dengannya,jika sudah selesai memakannya, terus dibuangnya, bukan dalam tong sampah biasa tetapi tong sampah besar di hadapan blok asrama mereka. Aina sanggup turun dari tingkat 3 untuk membuangnya dan memastikan tiada seekor semut pun ada di dalam bilik mereka. Dalam erti kata lain, Aina seorang pembersih tegar.

" Bila awak sebut tentang fobia awak tu, saya rasa masalah awak lagi besar, hehehe, " Mira tersenyum.

" Lepas ini, awak dah tak perlu nak kisah sangat saya jalan lambat ke, awak jalan je, " jelas Mira. Dia tidak mahu perkara itu mengganggu fikiran Aina.

" Tak mengapa, lepas ini....," Aina memegang tangan Mira.

" Lepas ini, awak tak perlu nak jalan cepat sebab nak kejar saya dan saya tak perlu jalan lambat sebab tunggu awak, "

" Habis tu ?,"

Aina tersenyum.

" Kita jalan sama-sama, tiada sesiapa yang mengejar , tiada sesiapa yang menunggu. Macam hidup, tiada sesiapa yang mengejar, tiada sesiapa yang menunggu , kita hidup sama-sama, ," cadang Aina.

" Wah, dari mana awak baca kata-kata macam itu ? Goosebump," ujar Mira sambil menggosok bahunya sambil ketawa kecil.

" Tapi boleh ke macam tu? ," tanya Mira.

" Entah , saya bagitahu je, takpe kita cuba," serentak mereka berdua tertawa.

" Nanti saya tolong awak cari cara macam mana nak hilangkan fobia awak pada semut, " cadang Mira. Aina mengangguk.

" Jom!," Aina bangun. Bersemangat.

" Pergi mana?," tanya Mira.

" Praktis jalan sama-sama ," kata Aina sambil mengenyitkan sebelah matanya. Kenyitan mata itu spontan mengukir senyuman di bibir Mira. Kerana gembira. Mungkin selepas ini, dia dah boleh berjalan bersama Aina. Tak perlu lagi jalan seorang diri.


-wannursyakira-














Monday, November 16, 2015

Hati Yang Berdoa




Hari-hari kita takkan terlepas daripada terlihat suasana kehidupan orang lain.
Ketika kita berjalan, bekerja, memandu, tak terlepas bersua dengan kisah manusia.

Jangan lupa untuk berdoa buat mereka. Tak rugi. Berdoa dalam hati.

Kita naik kereta, orang sebelah naik motor, doalah " Moga Allah murahkan rezeki dia supaya dapat naik kereta, terlindung dari hujan dan panas".

Kita terlihat pak cik tepi jalan menjual aiskrim, doalah " moga dimurahkan rezeki dan diberi badan yang sihat untuk berkerja ".

Kita terlihat budak sekolah dalam perjalanan balik ke rumah, jalan kaki, doalah " moga Allah selamatkan dan lindungi dia dari sebarang bahaya ".

Kita terlihat, ibu, ayah dan anak berjalan-jalan dengan gembira, doalah ," moga Allah kekalkan kebahagiaan mereka selama-lamanya".

Kita terlihat mak cik terhenjut bahunya, batuk tak berhenti-henti, doalah ," moga Allah sembuhkan batuk mak cik".

Kita menonton berita, dipapar kisah pembunuhan, doalah," moga Allah memberi kekuatan dan hati yang redha dengan ujian kepada keluarga mangsa".

Ini contoh-contoh kisah masyarakat kita, daripada kita bercakap entah apa-apa tentang apa yang kita lihat, atau bersimpati kosong, hulurkan secebis doa buat mereka.

Tak rugi berdoa. Mana tahu, doa kita itu membantu mereka dan membantu hidup kita. Tak mampu menolong dengan harta, bantulah dengan doa. Dengan cara itu, tenang sikit rasa hati , at least dapat membantu dengan doa. Cara ini juga boleh bersihkan diri kita daripada sifat pentingkan diri sendiri dan sombong.

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepada engkau tentang Aku, maka sesungguhnya Aku sangat dekat (kepada mereka). Aku perkenankan doa orang-orang yang mendoa apabila ia memohon (mendoa) kepada-Ku. Sebab itu, hendaklah mereka memenuhi (seruan)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk."

Surah Al-Baqarah, ayat 186.

Mohonlah (berdoalah) kamu kepada Tuhanmu dengan cara merendahkan diri dan cara halus, bahwasannya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas; dan janganlah kamu berbuat kebinasaan di bumi (masyarakat) setelah la baik; dan mohonlah (berdoalah) kamu kepada Allah dengan rasa takut dan loba (sangat mengharap); bahwasannya rahmat Allah itu sangat dekat kepada orang-orang, yang ihsan (Iman kepada Allah dan berbuat kebajikan)."

Surah Mu'min, ayat 60.


Kuasa doa, ramai yang meremehkannya.
Jadilah insan yang merasai kuasanya.

Hati yang berdoa, adalah hati yang tenang. Percaya pada Allah Yang Maha  Mendengar.

-wannursyakira-



Monday, November 9, 2015

Kaya itu cukup

Jika kamu kecewa melihat insan lain punya kereta lagi besar daripada kamu ,cuba kamu lihat mereka yang hanya punya motor buruk , meredah panas ,ribut mahupun hujan ,tanpa teduhan.


Jika kamu kecewa kehilangan salah satu kasut kesayangan kamu, cuba kamu lihat insan yang hanya pakai selipar jepun lusuh, dipakai bertahun tanpa merungut.


Jika kamu letih bekerja, cuba kamu lihat berapa ramai yang masih menganggur, mencari kerja, berulang kali kecewa kerana gagal temuduga.


Jika kamu merungut tentang lauk pauk yang tidak cukup rasa masin ,manis, cuba kamu lihat insan yang meminta sedekah , atau yang berada di tong sampah, mencari botol atau tin untuk dijual. Usahkan ingin merungut tentang lauk pauk, sesuap nasi belum tentu menjadi santapan diri.


Ku tidak menghalang kamu daripada kecewa atau memarahimu jika berperasaan sebegitu.
Itulah adalah norma jiwa.
Perasaan yang barangkali harian.
Tetapi bersederhanalah.
Bersyukurlah dengan hidupmu.

Kaya itu bukan banyak
Miskin itu bukan sedikit.

Kaya itu merasa cukup. :)


-wannursyakira-

Thursday, November 5, 2015

KASIH , QASEH


Sang pencari menerima kasih
Takkan serupa rasanya dengan sudah lama menemui kasih
Rasanya seperti
Pabila gersang berbunga
Pabila rindu tandus mencium akar tumbuhan
Pabila kemarau memeluk hujan

Rasanya indah didamping
Sukma yang sekian lama merintih
Hilang air mata
Nikmatnya berpaut kasih
Selamat, tiada gentar bertakhta





-wannursyakira-

MEMORY THAT NEVER FADE

Mengenang memori.

Kadang-kadang bila bersendiri, sesekali teringat kenangan lalu. Bila tengok sesuatu, terus teringat kenangan yang tercipta bersama wujudnya sesuatu itu.

Saat ini, terkenang kenangan di Jordan bila mendengar lagu yang selalu didengari sewaktu di sana. Di sana , mahu ke mana-mana , aku lebih senang untuk berjalan. Malas nak naik teksi. Aku akan naik teksi bila ada mood untuk bergaduh dengan pemandu teksi, kerna akhir perjalanan, pasti minta lebih. Malas nak sakit hati. Bila ter”sakit” hati dengan Arab, lama juga proses healing tu.  Lagipun , memang aku suka berjalan sambil tengok suasana, perhati kehidupan orang. Jadi, selalunya ketika berjalan , selalu saja ku sumbat earphone di telinga mendengar lagu , instrumental. Bila berjalan , perhati kehidupan orang sekeliling, kononnya jadi muzik latarlah. Dan sebenarnya nak hilangkan ke”awkwardan” bila berjalan seorang diri. Banyak kali juga berjalan seorang sendiri, mahu ke kedai, mahu ke rumah syeikhah, mahu ke rumah kawan. Jadi, nak hilang sepi berjalan seorang jugalah sebenarnya.

Saat ini, tersenyum seorang diri bila terdengar lagu yang didengari dulu. Terbayang suasana di Jordan. Tersengih seorang diri. Dalam perjalanan,  yang setiap hari sama saja laluannya, melihat insan yang sama, kedai yang sama, tapi setiap hari ada watak dan cerita yang berbeza. Setiap kali , melalui syari’ jamiah ( jalan Universiti ) , melihat cerita sama cuma watak berbeza, kanak-kanak perempuan atau lelaki yang sering meminta sedekah dengan pejalan kaki dan ada juga yang menjual gula-gula getah. Sesekali aku menjadi pembeli. 

Perasaan kasihan hanya Tuhan yang tahu. Tapi tidaklah selalu aku membeli, nanti makin meminta-minta. Berpada-pada dalam memberi. Setiap kali, akhir perjalanan, sekiranya aku tidak membeli atau memberi, aku selalu bertanya pada diri sendiri adakah aku insan yang kejam, tak mengendahkan permintaan dan usaha kana-kanak itu. Kemampuan aku juga terbatas. Wang juga cukup-cukup makan. Doa aku hulurkan dek ketidakmapuanku untuk memberi. Bayangkan umur sebegini , 4 , 5 tahun, sepatutnya waktu pagi, berada di bangku sekolah, belajar dan bermain bersama rakan sekelas, mereka meredah dunia yang mencabar dengan mencari makan sendiri.


4 tahun aku di sana, 4 tahun menyaksikan kisah yang sama, 4 tahun menghadapi rayuan dan permintaan yang sama, 4 tahun berdoa perkara yang sama , moga mereka terkeluar dari kesempitan hidup dan dilimpah bahagia.

Pastinya tiap kali mengenang kenangan, kerinduan akan jadi teman.

Salam kerinduan buat Jordan dan seisinya.



First year trip.


-wannursyakira-