Wednesday, July 10, 2013

Aku benci bulan puasa! EPI 1

Klik! Bunyi tetikus ditekan. Sebuah artikel selamat diterbitkan di blognya. Rayyan tersenyum puas. Dua hari  menghadap laptop untuk menyiapkan artikel tersebut. Dia menggeliat, melonggarkan sendi-sendi yang terasa sangat kejap. Kepalanya digerakkan ke kiri dan ke kanan. Menghilangkan lenguh akibat terlalu lama duduk tegak di kerusi  meja belajarnya. Buku –buku kelihatan sedikit berselerak di atas mejanya. Buku-buku itu digunakan untuk menjadi rujukan pembikinan artikelnya. Begitulah kebiasaannya.

“ Alhamdulillah, siap pun artikel ni. Dah naik kejang mata ini menghadap laptop dan  buku-buku ni semua, “ bisik Rayyan perlahan sambil menyandar pada kerusi. Mata terarah pada jam di dinding.

“Ya Allah, dah pukul 1 pagi rupanya! , “ Rayyan terkejut. Keasyikannya menulis membuatkan dia tidak sedar akan masa yang berlalu. Laptopnya dimatikan. Tangan Rayyan mencapai buku-buku dan meletakkannya di rak buku yang terletak di ruang keluarga.

Adiknya, Raihana serta ibunya sudah lama dibuai mimpi. Perlahan-lahan, Rayyan melangkah. Takut bunyi lantai papan rumahnya itu mengejutkan ibu dan adiknya. Sunyi malam begitu terasa. Malam ini, tiada pula nyanyian serangga yang berkumandang seperti biasa.

Setelah selesai meletakkan buku-bukunya, tiba-tiba Rayyan teringat akan sesuatu.

“ Biasanya masa inilah, ayah pulang daripada kerja , “ bisik Rayyan perlahan.Dia teringatkan ayahnya.  Kerja ayah Rayyan sebagai pengawal keselamatan sekolah rendah di kampungnya itu menuntut dia bekerja pada waktu malam. Shifnya berakhir pada waktu malam.

Rayyan menuju ke pintu utama rumahnya lalu dibuka. Dia menjenguk ke luar. Melihat sekiranya ayahnya sudah pulang. Ramalannya tepat. Kelihatan lampu motorsikal Pak Abdullah semakin mendekat. Senyuman terukir di bibir Rayyan.  Senyuman itu menyambut kepulangan ayahnya. Pak Abdullah sedikit terkejut ketika mendaki anak tangga dek terlihat Rayyan yang tercegat di hadapan pintu tanpa suara.

“ Rayyan menakutkan ayah ke  ? , “ Tanya Rayyan sambil tergelak kecil. 

Kelakar melihatkan gelagat ayahnya yang terkejut pabila melihatnya. Pak Abdullah hanya diam. Malas melayan pertanyaan anaknya yang sudah jelas jawapannya. Rayyan menghulurkan tangannya untuk bersalam. Tangan Rayyan hanya disambut hambar. Hambar sekali. Sentuhan yang seakan terpaksa.

Senyuman  Rayyan pudar pabila Pak Abdullah berjalan melepasinya tanpa berbicara sepatah dengannya. Rayyan diam sebentar. Perlahan nafas ditarik sedalam-dalamnya lalu dilepaskan perlahan-lahan.

“ Aku ok, aku ok,” ucap Rayyan perlahan sambil tangannya berulang kali menepuk lembut dadanya. Tepukan yang diharapkan mampu menenangkan jiwa yang bergelora.

Lantas pintu rumah ditutupnya. Sebelum masuk ke biliknya, Rayyan menoleh melihat bilik ibu dan ayahnya. Pasti ayahnya sudah tidur. Letih seharian bekerja.

“ Selamat malam, ayah. Rayyan sayang ayah , “ bisik Rayyan perlahan. Berharap agar bisikannya itu tiba di ruangan hati ayahnya dan tersemat di sana. Berharap satu hari , ayahnya juga akan membalas kasih sayangnya. Dia pasti saat itu akan tiba, cuma dia harus bersabar sikit lagi. Sabar Rayyan! Allah bersama orang-orang yang sabar. Hatinya berkata-kata.


Rayyan sibuk menolong ibunya menghidangkan sarapan pagi di dapur. Bekas yang berisi mihun goreng diletak cermat di atas meja. Hari ni, kali pertama , dia memasak sarapan pagi untuk keluarganya. Dia tersenyum puas seolah-olah ianya satu kejayaan yang besar. Tanpa Rayyan sedari , ibunya, Mak Saadiah memerhatinya samil mengeleng-geleng kepala.

“ Masak mihun goreng, gembira sampai macam tu sekali, “ tegur Mak Saadiah. Tersentak Rayyan dek teguran ibunya. Mak Saadiah tergelak melihat telatah anaknya yang padanya melucukan .

“ Ala ummi ni, ingat senang ke nak masak mihun goreng ni. Bukan main lagi Rayyan berlatih masa kat Jordan masak ni tahu tak. Tapi kat sana , guna spageti sebab takde mihun, “ berkobar-kobar Rayyan bermegah. Niatnya ingin bergurau dengan ibunya.

“ Apa dia ? Pa.. ge.. ti , “ tergagap-gagap Mak Saadiah ketika cuba menyebutnya. Telatah Mak Saadiah menggeletek hati  Rayyan. Terkekek-kekek Rayyan ketawa.

“ Spageti. Ummi ni kelakarlah,” ujar Rayyan dengan ketawa yang masih tersisa. Mak Saadiah tersenyum lebar. Gembira sekali mendengar ketawa Rayyan. Hampir setahun dia menanti kepulangan Rayyan dari Jordan. Sungguh dia rindu dengan anak sulongnya itu. Melihat Rayyan di hadapannya dengan telatahnya itu membuat hatinya cukup berbunga bahagia.

“ Tapi kan ummi…, “ Rayyan memandang ibunya.

“Tapi apa ?, “ tanya Mak Saadiah lalu duduk melabuhkan punggungnya di kerusi meja makan. Rayyan mengambil tempat di sebelah ibunya.

“Agak-agak ayah suka tak mihun goreng yang kak long masak ni ? Yelah, ummi pun tahu, ayah kan cerewet pasal makan, “ ucap Rayyan sambil menongkat dagunya. Matanya melihat mihun goreng yang dimasaknya.

“Mestilah dia suka, sebab kak long yang masak , “ Mak Saadiah cuba menenangkan anaknya walaupun dia tak pasti  dengan jawapannya.

Rayyan tersenyum mendengar kata-kata ibunya. 

“ Tapi kan ummi,semua benda yang kak long buatlah, selalunya abah tak suka, “ hati kecil Rayyan berbicara.

Rayyan tahu ibunya cuba menenangkan hatinya. Dari dulu pabila ayahnya memberi layanan dingin padanya , pasti ibunyalah yang menjadi insan yang menggembirakan hatinya. Ibunya sedaya upaya melimpahkan kasih sayang supaya tiada kurangnya meskipun ayahnya seakan melupai kasih sayang yang harus diberikan padanya. Namun, hati Rayyan tak mampu menafikan kasih sayang ayahnya menjadi dambaannya sekian lama. Bukanlah menjadi insan yang tamak, mungkin boleh dikatakan insan yang mendambakan haknya dipenuhi. Hak untuk diberi kasih sayang. Hak kasih sayang yang sama sepertimana yang ayahnya berikan pada adiknya , Raihana.

Lamunan Rayyan terhenti pabila terdengar suara ayahnya. Sedar-sedar, Pak Abdullah sudah berada di meja makan. Sudah mula menyuapkan ke mulut mihun goreng yang dimasaknya. Rayyan memerhatikan reaksi ayahnya.Selalunya kalau tidak kena seleranya, pasti separuh sahaja dihabiskan ayahnya.
Suapan demi suapan dihabiskan ayahnya. Senyuman Rayyan melebar. Pantas dia berpaling pada ibunya. Mak Saadiah rupanya turut memerhatikan Pak Abdullah. Mak Saadiah mengangkat-angkat keningnya pada Rayyan seraya tersenyum. Dia tahu Rayyan pasti sangat gembira melihatkan betapa berselera suaminya itu makan.

“ Sedap pula mihun goreng hari ini. Lain daripada biasa.Kamu masak ni Diah ?,” tanya Pak Abdullah setelah selesai suapan terakhir. Tangannya mencapai cawan teh untuk diminum.

“ Kak long yang masak ! , “ segera Rayyan menjawab soalan ayahnya. Suaranya kedengaran sungguh ceria sekali.

Pak Abdullah terkejut sebentar mendengarkan suara anaknya itu. Tangan Pak Abdullah terhenti. Tak sempat meminum tehnya.

“ Kak long… yang masak…., ayah, “ kali ini suara Rayyan mengendur namun jelas bernada bahagia. Wajah Rayyan menunduk ke bawah. Senyumannya sukar lagi ditahan. Ya Allah, gembiranya!

Pak Abdullah terdiam.Hatinya terasa menyesal kerna memuji masakan Rayyan. Tak sepatutnya dia beria-ia makan dengan selera. Sangkanya isterinya yang memasak. Tak sangka anaknya itu begitu pandai memasak.

Pak Abdullah berdehem lalu meminum teh sehingga habis. Berlagak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Mak Saadiah menjadi pemerhati setia babak antara anak sulongnya itu dan suaminya. Mak Saadiah menggeleng-gelengkan kepala melihat tingkah suaminya itu. Ego sungguh!

“Diah, abang nak keluar. Nak ke rumah Mail, ada kerja sikit, “ ucap Pak Abdullah .Belum sempat Mak Saadiah mengangguk, Pak Abdullah beredar. Malas dia berlama-lama di situ. Masih lagi menyesal memuji masakan Rayyan.

Mak Saadiah membawa pinggan yang ditinggal Pak Abdullah  ke singki untuk dibasuh.

Setelah kelibat ayahnya menghilang, Rayyan segera bangun lalu memeluk ibunya daripada belakang. Mak Saadiah terkejut.

“Ummi, tengah basuh pinggan ni, “ ujar Mak Saadiah. Tangannya penuh dengan sabun.

“ Ayah puji masakan Rayyan! Yuhuu!, “ ujar Rayyan gembira. Mak Saadiah tersenyum. Lega dia melihat anaknya yang ternyata sangat gembira .

“Yelah, yelah. Nanti bulan puasa, kak long saja yang masak. Ummi goyang kaki, boleh ? ,” kata Mak Saadiah. Rayyan melepaskan rangkulannya. Berdiri di sebelah ibunya itu. Mak Saadiah terus dengan kerjanya , mencuci pinggan.

“ Aahlah, minggu depan, dah nak puasa. Sekejap je kan, masa berlalu. Tup tup dah tiba bulan puasa, “ ucap Rayyan. Dia betul-betul merasakan masa sungguh pantas berlalu. Tahun lepas, dia menyambut 1 Ramadhannya di Jordan. Tahun ini, dia nyata gembira dapat berpuasa bersama keluarganya.

“ Tulah, sekejap je masa berlalu. Allah bagi nikmat bertemu lagi dengan Ramadhan. Alhamdulillah, “ sambung Mak Saadiah sambil menyudahkan bilasan terakhir. Dia mengeringkan tangannya dengan menggunakan tuala yang tersangkut di tepi singki.

Rayyan termenung. Bulan Ramadhan menyimpan sebuah memori yang ingin sekali dilupakan. Memori yang menyakitkan.Memori itu punca kedinginan ayahnya.

Namun, tak Rayyan nafikan , Ramadhan adalah bulan yang paling dia tunggu. Hadiah yang paling berharga untuk orang-orang yang beriman. Pintu rahmat dibuka, pintu syurga dibuka luas, ditutupkan pintu-pintu neraka, dibelenggu syaitan-syaitan. Anugerah lailatul qadar yang bersamaan 1000 bulan. Solat terawih yang hanya ditunaikan dalam bulan ini. Bulan di mana turunnya Al Quran. Begitu banyak keistimewaannya.

“Apalah sangat kenangan pahit tu, berbanding keistimewaan yang Allah bagi dalam bulan ini, “ Rayyan menenangkan dirinya. Memori itu akan cuba dia lupakan. Dia pasti boleh lupakan. Cuma dia tak mampu pastikan sama ada ayahnya boleh melupakan atau tidak.


Amar merebahkan dirinya di atas katil empuknya. Siling biliknya itu direnung kosong. Hari ini, merupakan hari terakhir dia berada di universiti. Esok sudah bermula cuti semester. Baru sebentar tadi, kertas peperiksaan terakhirnya untuk semester ini berjaya dijawab dengan jayanya.

Pandangannya dialihkan pada katil sebelah. Katil kepunyaan rakan sebiliknya, Wafi. Kelihatan beg pakaian yang sudah siap diisi pakaian , hanya tunggu untuk dibawa pulang ke kampong. Sejak minggu lepas, Wafi sudah berbicara keterujaannya untuk pulang ke kampung. Wafi masih lagi tidak pulang ke rumah. Amar melihat jam tangannya. Sepatutnya Wafi sudah pulang waktu ini. Mungkin pergi ke mana-mana, bergembira kerna peperiksaan sudah tamat.

Amar melepaskan keluhan yang berat. Fikirannya kusut. Dia amat benci bila harus pulang ke kampung. Lebih-lebih lagi minggu depan sudah tiba Ramadhan.

“ Argh! Tension aku macam ni, “ jerit Amar sepuas hati. Nasib baik semua rakan serumahnya belum pulang. Kalau tak,pasti semua terkejut mendengar jeritan Amar.

Dia mengimbas perbualan telefon  bersama kakaknya malam tadi. Perbualan itulah yang menjadi punca tekanannya sekarang.

SEMALAM.

“ Kakak nak kau balik juga ! Puasa kat rumah, kakak tak kira,” Aina hilang sabar berbicara dengan adiknya itu. Pada mulanya, dia memujuk dengan lembut tetapi melihatkan pada kedegilan Amar, nada suaranya terpaksa ditinggikan.

“ Kakak, kakak tak faham ke ? Ke buat-buat tak faham ? Kakak  tahu kan, Amar benci puasa kat rumah. Yang kakak nak Amar balik sangat ni kenapa ? Sebelum ni, ok jer, Amar tak balik puasa kat rumah, “ balas Amar. 

Nadanya juga tinggi, geram dengan desakan Aina.Entah kenapa kakaknya itu begitu mendesaknya supaya pulang. Macamlah kakaknya itu tidak tahu sebab dia tak mahu pulang berpuasa di rumah.

“  Kakak faham.Sebab kakak faham lah, tiga tahun, kakak ikutkan sahaja kehendak kamu. Tiga tahun, kakak biarkan saja kamu puasa kat lain walaupun kamu cuti .Akak biarkan saja kamu balik sehari sebelum raya. Cukuplah tu, Amar. Hentikan semua ini. Sampai bila kau nak terus macam ni ?,” balas Aina. Tiga tahun yang diberikan, belum pulih lagikah luka di hati Amar.

Amar diam. Sampai bila pun dia sendiri tak tahu. Yang pasti, tiga tahun masih tidak cukup.

Melihatkan kebisuaan Amar, Aina menghela perlahan.

“Kesianlah kat ayah. Kesianlah dekat ibu. Sampai bila kau nak macam ni ?,” Aina memujuk lagi. Dia harap kali ini adiknya itu mengalah.

" Jangan sebut pasal ibu, "

"Kenapa ? Sampai bila nak lari ?,"

“ Kakak memang tak faham, “ balas Amar.

“ Kau tu yang tak faham,”

“Apa yang kakak faham ?,”

“Amar,kenapa nak seksa diri sendiri ?,” Aina jadi marah. Sukar betul mahu melembutkan hati Amar.

“ Kalau Amar balik, Amar lagi terseksa! Kakak faham tak ?!,” Amar hilang sabar. Intonasinya sukar dikawal lagi. Dadanya berombak menahan marah.

“ Ok, baik. Duit biasiswa kau dah habis kan. Kakak takkan masukkan satu sen pun dalam akaun . Pandai-pandailah kamu hidup sendiri. Kunci rumah teres tu pun kakak takkan bagi kat kau. Kalau kau tak nak balik sangat, merempatlah kat mana-mana, “ ugut  Aina. Dia tahu tanpa duit dan rumah teres kepunyaan ayah mereka yang biasa menjadi destinasi Amar ketika Ramadhan, Amar takkan mampu ke mana-mana.

“Apa ?! Mana boleh macam tu ?,” Amar berang. Tanpa duit dan rumah, sah-sah dia akan merempat. Nak menumpang di rumah kawan, dia memang tak mempunyai teman rapat disebabkan sikapnya yang dingin. Hanya Wafi. Tapi Wafi tinggal di Sabah.

“ Kau tak nak balik sangat. Rasalah. Kalau tak nak merempat, balik puasa kat rumah. Muktamad, “ Aina memberi amaran terakhir lalu talian diputuskan.

“Ish, geramnya aku.Argh!,” Amar meraup mukanya.



Perbualan semalam berlegar di fikiran Amar. Dia memang tidak punya pilihan. Selama ini, kakaknya yang menanggung segalanya ketika dia cuti. Duit biasiswanya pula sudah habis di penghujung semester. Semester ini banyak menuntut dia menggunakan duit.

Amar bangun dari katilnya. Mundar mandir memikirkan ke mana dia mahu pergi. Ah! Semuanya tampak mustahil tanpa duit. Duit yang ada di tangannya hanya cukup untuk makan sahaja. Habis perancangannya, kalau diikutkan, hari ini,dia akan pulang ke kampung dan mengambil kunci rumah daripada kakaknya. Dia duduk kembali di katilnya. Dia buntu. Matanya dipejam, berharap ada idea yang mendatang.

Perlahan kenangan pahit mengunjungi ruang ingatannya. Kenangan Ramadhan yang dibencinya. Satu persatu peristiwa yang memedihkan terpapar di kotak fikirannya. Umpama sebuah filem berkualiti tinggi. Dadanya berombak . Anak matanya bergerak dalam pejaman.Terasa nafas tersekat. Terasa sesak sekali. Bunyi perempuan menjerit terngiang-ngiang di telinganya. Jeritan yang menyeksanya.

Emosi Amar hangat. Dahinya berpeluh.

“Ibu!,” tiba-tiba dia menjerit. Pantas dia membuka matanya. Dia tercungap-cungap. Seperti orang yang baru selesai berlari berpuluh-puluh kilometer. Dia menelan air liurnya.

“ Ibu…

“ Ibu….,” suaranya mengendur. Air mata mula bergenang. Luka lama berdarah kembali. Sakit sekali.

“ Ibu…,” Pipi Amar sudah basah dengan air mata. Sudah terlalu lama air mata ini tersembunyi. Hari ini, air mata muncul kembali. Amar hanyut seketika dalam kesedihannya.

“Amar benci ibu! Amar benci bulan puasa! Argh!, “ jerit Amar. 

Hari ini sudah beberapa kali dia menjerit. Bantal dicapai lalu dilempar ke arah dinding. Dia bangun, meluru ke arah meja belajarnya.Dia menjatuhkan semua barang di atas mejanya. Buku, pen, dan barang lain berselerak di atas lantai. Beg belajarnya turut dilempar. Hiba, kebencian menjadi satu.  Hiba dan kebencian yang ingin dilupakan kini kembali. Seakan tidak mahu pergi.

bersambung...

Salam Ramadhan semua! Moga taqwa yang didamba menjadi milik kita. InsyaAllah.

bebelanjiwa: Cubaan pertama nak buat novel bersiri. Moga bermanfaat dan menghiburkan. 



 Hauri Islam
Terengganu

Saturday, July 6, 2013

Babak Drama Yang Paling Real!

Kehidupan.

Kita adalah hidupan yang hidup dalam sebuah kehidupan.

Kehidupan bukan senang. Ia adalah realiti yang terbentang. Bukanlah imaginasi yang akan hilang jika kita hapuskan.

Entah kenapa aku selalu terfikir tentang kehidupan. Mungkin kerna ku sudah mula mengerti nilai serta makna kehidupan. Mungkin kerna ku sudah bukan lagi kanak-kanak yang hanya memerhati tanpa memahami. Mungkin aku sudah dewasa. Dewasakah aku ? Matangkah aku ?

Ku jadi lebih sensitif pada insan. Setiap kali,ku perhatikan seseorang , pastiku ku cuba membayangkan kehidupannya. Bagaimanakah kehidupannya ? Bahagia atau tidak ?

Pertamanya, minggu lepas , aku ke pusat membeli belah. Tika itu, sudah malam. Ummiku mahu membelikan adik bongsuku seluar. Kami ke ruang menjual pakaian. Sementara ibuku memilih, ku terlihat seorang pekerja di situ. Lamaku memerhatikannya. Dia kelihatan sungguh letih. Beberapa kali dia menguap. Mungkin sudah bekerja daripada tengahari tadi. Ku jadi kasihan melihatnya. Pasti dia letih berdiri sepanjang dia berkerja ,letih melayan pelanggan yang tak putus-putus . Belum lagi dikira kerenah dan ragamnya.

Ku lihat dia melipat kembali pakaian yang dibelek-belek pelanggan. Tanpa merungut, tapi di hati siapa yang tahu. Berulang kali melakukan benda yang sama. Ya, itu memang menjadi tanggungjawabnya, kerana itulah aku kagum dengan kesabaran dan semangatnya. Bekerja untuk mencari rezeki. Padaku dia insan yang cukup hebat.

 Peristiwa kedua, tika itu , aku berada dalam kereta. Kereta yang dipandu ummiku meredah kesesakan jalan raya. Waktu itu, waktu di mana ibu bapa sibuk mengambil anak-anak mereka pulang dari sekolah. Ku melemparkan pandangan ke luar tingkap. Tiba-tiba, sebuah motosikal melepasi kereta kami perlahan-lahan. Motosikal yang dilengkapi bekas air. Kelihatannya seperti pak cik ini menjual air sebagai punca rezekinya. Pak cik itu kelihatan tua. Kasihan menyerang jiwaku. Menjual air di tengah-tengah kepanasan tengahari yang menyingga ini.

MasyaAllah, beruntung anak-anak pak cik ini kerna memiliki ayah yang sangat penyayang. Pastinya pahala dicatat setimpal peluh yang mengalir. Biarpun memenatkan , asalkan rezeki yang halal , pasti mendapat ganjaranNYA. Setiap kali air yang dijual pak cik itu menghilangkan dahaga , pasti mendapat ganjaranNYA juga. MasyaAllah. Ku mengharapkan anaknya menghargai ayah mereka yang sangat baik ini.


Peristiwa ketiga, hari itu, ku menonton kaca televisyen. Paparan berita menghiasi televisyen pada waktu itu. Kelihatan seorang ibu yang ku kira berumur 30 an sedang ditemu ramah wartawan. Pantas mataku tertancap pada tulisan yang terpapar. " Pembunuh **** dihukum gantung ". Hatiku beristighfar pabila kronologi kisah pembunuhan disebut pemberita. Seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 4 tahun dibunuh dan dibakar dan dijumpai di ladang kelapa sawit pada tahun lepas. Sungguh kejam! Serta merta ingatanku terarah pada ibunya yang ditemu ramah sebentar tadi.

Ku membayangkan bagaimanakah dia ketika kali pertama melihat mayat anaknya ? Mengetahui anaknya dibunuh dengan kejam. Bagaimanakah perasaannnya ketika melihat wajah penjenayah yang membunuh anak kesayangannya ? Ya Allah, sungguh berat ujian yang menimpanya. Memiliki sebuah kenangan yang sangat menyakitkan. Kenangan yang pasti mengunjungi kotak ingatan selamanya meskipun cuba untuk dilupakan.

Ku terfikir bagaimanakah insan itu sanggup membunuh ? Ke manakah perginya perasaan kasih sayangnya ? Belas kasihannya ? Bukankah pabila kita melihat seorang kanak-kanak , kita akan rasa ingin menyayanginya ? Wajah mereka yang comel dan mulus itu.. Ahh...

Ku harapkan semoga ibu kanak-kanak itu tabah dan cekal menghadapi ujiannya ini. Orang yang imannya hebat, pasti ujiannya hebat. Ku harapkan juga pembunuh itu mendapat keampunan daripada ibu itu dan paling penting , keampunan Allah.


Itu hanyalah 3 kisah daripada jutaan kisah kehidupan. Hanya beberapa titik air daripada lautan kehidupan.

Tak dinafikan, pabila ku memerhatikan mereka, ku selalu terfikir apakah mereka tahu mengapa dan kerana apa mereka membuat semua itu ?  Bersusah payah mencari rezeki . Tahukah mereka akan tujuan sebuah kehidupan ?

Dan kenapa ada yang sanggup membunuh ? Lupakah akan tujuan sebuah kehidupan ?


Hidup tanpa tujuan ibarat belayar tanpa destinasi.

Bersusah payah tanpa mengetahui hujungnya.

Mendengar sebuah lagu tanpa mengetahui maknanya.

Mengarang cerita tanpa mengetahui pengakhirannya.

Tujuan yang memberi makna kehidupan , dan kita hidup untuk mengejar makna itu.

Jika kita mengetahui kita diberi kehidupan untuk mengejar redha Tuhan, pasti apa sahaja yang kita lakukan berada di atas titian yang tepat.

Redha Allah lah merupakan tujuan kehidupan. Kita adalah hamba yang tugasnya mengabdikan kepada Allah.

Adz-Dzaariyaat (51 ayat 56) :
dan tidak aku jadikan jin dan manusia kecuali hanya untuk beribadah
kepada-Ku.

Berada di dunia ini untuk menjadi khalifah atau pemimpin , memakmurkan dunia.




Bila jelas akan tujuan kehidupan, apa jua yang mendatang pasti dapat dilalui dengan tenang. Tenang dalam kepayahan. Tetap yakin Allah memerhatikan. MasyaAllah, pasti hidup akan terasa mudah!


Merasa kehadiran Allah di mana jua kita berada, melakukan semuanya kerna Dia.
Ihsan! Itulah nikmat yang akan dicapai. Kemanisan iman mengalir dan membuat kita tak mampu menjauh daripada Tuhan. MasyaAllah, mampukah kita merasai semua itu ?



Manusia tidak dijadikan untuk diri sendiri. Manusia tidak dijadikan hanya untuk hidup di dunia yang kecil ini , tetapi dijadikan kehidupan yang kekal abadi, manusia dijadikan untuk selama-lamanya.

Ingatlah, kehidupan dunia bukanlah segalanya, ianya persinggahan sebelum kita menuju ke destinasi yang takkan fana, yang mana akan dihuni untuk selama-lamanya. AKHIRAT.



Mencari bekalan taqwa untuk dibawa ke sana.


Life is worth living when you know what life is about, why you have to live and how to live it.                                      


Percayalah, hidup dengan mencintaiNYA akan membuat hidup kita bahagia.

Belajarlah untuk mencintaiNYA.

MencintaiNYA memberi makna.


Bebelanjiwa: Ramadhan just around the corner! 

Hauri Islam 
Terengganu








Sunday, June 30, 2013

TMH : One litre of tears

One litre of tears.

Drama kekeluargaan Jepun ini sangat menusuk hatiku. Kisahnya seakan dekat dengan hidupku. Menontonnya bagaikan menyaksikan kehidupan keluargaku sendiri. Cuma yang penyakit yang berbeza. Bila mereka menangis, ku turut menangis bersama. Kesedihan mereka cukup ku fahami. Air mata pasti menjadi teman setia sekiranya hiba tak mampu ditahan.



Buat mereka yang belum pernah menyaksikan drama ini, ku berikan synopsis ringkas. Drama ini mengisahkan seorang remaja ceria, Aya disahkan  menghidap penyakit SPINOCEREBELLAR DEGENERATION. Penyakit yang belum ditemui penawarnya dan bias membawa kematian.  Antara symptom penyakit ini ialah ketidakseimbangan ketika berjalan yang kelamaan membawa kepada tidak boleh berjalan sepenuhnya, tidak boleh mengukur jarak dengan sempurna . Penyakit yang menyebabkan anggota badan tak boleh berfungsi dengan sempurna. Lama kelamaan tak boleh menulis, tak boleh berjalan dan juga tak boleh bercakap.

Keluarga Aya cukup sempurna, ibu bapa yang penyayang. Dia mempunyai seorang adik lelaki dan dua orang adik perempuan. Dia merupakan anak sulong yang sangat disayangi. Perjalanan hidup mereka digarap cukup sempurna . Daripada awal mereka sekeluarga mengetahui tentang penyakit Aya sehinggalah Aya menghembuskan nafas terakhir. Kisah  ini diangkat daripada sebuah kisah benar.




Sungguh ku terkesan melihat perjuangan mereka menerima takdir Tuhan. Ketabahan, kecekalan, kesedihan. Pendek kata , sebuah reality kehidupan.  Kesukaran untuk menerima kenyataan pada mulanya , dapat ku lihat melalui watak ayah Aya. Ketika ibunya mencadangkan untuk mendaftarkan Aya sebagai orang kurang upaya , ayahnya tidak bersetuju. Konflik untuk mengakui anaknya seorang kurang upaya.

Kenapa ku rasakan suasana keluarga sungguh dekat diriku ? 

Kerana melihatkan susunan keluarga mereka yang cukup sama dengan keluargaku. Anak sulong perempuan, anak kedua adik lelakiku dan di bawah adik lelakiku, ada dua adik perempuan. Perjuangan kami sama, perjuangan menerima sebuah takdir. Kisah kami sama, kisah ketabahan, harapan dan air mata. Cuma yang berbeza, penyakit yang dihidapi. Ku boleh katakana kisah Aya lagi tragis daripada kisahku kerana penyakitnya membawa maut . Dan yang menghidapi penyakit dalam keluargaku  atau lebih sesuai untuk ku katakan kurang upaya , adalah adik perempuan bongsuku. Dia mempunyai masalah pendengaran daripada kecil dan tidak bias bercakap daripada kecil lagi. Namun , dia telah menjalani pembedahan memasukkan alat pendengaran dalam kepalanya pada usia 5 tahun, dan alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, dia sudah boleh mendengar. Tetapi sehingga kini, dia masih lagi tidak mampu berbicara.




Doktor-doktornya sudah berusaha sehabis-habisnya. Mereka jadi buntu kerna setiap kali terapi, result adikku sangat baik. Respon yang diberikan memang membuktikan dia mendengar. Mereka pelik mengapa adikku masih tidak mampu bertutur. Mereka memberitahu mungkin ada masalah pada pemprosesan maklumat yang adikku dengar. Sungguh aku jadi kagum dengan doktor-doktor ini . Bekerja keras merawat pesakit mereka. 

Pabila ku menyaksikan tekanan yang dialami doktor Mizuno yang merawat Aya berusaha dan melakukan kajian untk mencari penawar buat penyakit Aya, pantas mindaku teringatkan doktor yang merawat adikku , pasti tekanannya sama. Menjadi tempat disandarkan harapan. Ku sangat suka memerhati pabila adikku menjalani terapi bersama doktornya.

Moga Allah merahmati dan memberi kekuatan pada doktor-doktor ini. Ku juga teringatkan sahabat-sahabatku di Jordan yang mengambil bidang perubatan. Keadaan mereka ketika menjelang exam, pasti berhibernasi di rumah atau ke mana-mana sahaja bersama nota di tangan. Yelah, profesion pilihan mereka bukanlah main-main, profesion yang berkaitan dengan nyawa manusia. 




Dr. Mizuno

Ketika menonton drama ini, ku jadi kagum dengan ketabahan yang ditunjukkan Aya dan keluarganya terutamanya ayah dan ibunya. Tak dapatku bayangkan perasaan mereka menghadapi dugaan sebesar ini, menyaksikan penderitaan anaknya yang kehilangan upaya sedikit demi sedikit. Pasti memerlukan hati yang cukup cekal. Alangkah bahagianya jika mereka muslim, pasti segala yang mereka alami makin menguatkan iman kepada Allah. Redha dan sabar menghadapi semuanya.




Ku akui kadangkala ku sendiri putus asa daripada mengharap dan kadangkala hilang sabar bila berhadapan adikku ini. Iyalah, kanak-kana istimewa sebegini kebanyakan agresif dan tidak mendengar kata , kerana mereka tidak memahami apa yang kita katakan walaupun kita marah dan menakutkan mereka.Berbeza dengan kanak-kanak biasa. 

Tidak dapat ku nafikam kadangkala hilang sabar dan putus asa. Tika inilah, aku suka bersendirian dan mengambil semangat baru. Ya, ini ujian daripada Allah. Ujian yang mencurahkan pahala dan menguatkan iman jika ku berjaya hadapinya dengan sabar dan cekal. 

 “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” (”I am full of faith to Allah”) sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta.” 
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3 


 “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” 
- Surah Al-Baqarah ayat 286 


Ayat inilah yang menjadi peganganku. Sebagai manusia biasa, pastinya kadangkala terdetik beratnya ujian ini. Bila terkenangkan ayat cinta ini, hatiku jadi segar. Yakin dengan diri sendiri. Yakin akan janji Allah .

Cabaran paling besar, apabila kita berputus asa daripada mengharap. Menghidupkan harapan yang seakan mati , bukan senang. Harapan yang kelihatan mustahil pada manusia biasa, namun bisa terjadi dengan kuasaNYA. Mengharap  kadangkala ramai yang terkandas dalam perjuangan. Mungkin sudah letih berharap. Ku selalu berdoa , agar menjadikan aku hamba yang takkan berhenti berharap. Berharap akan pertolongan. Berharap sambil berusaha.


Apa pun, drama One Litre of Tears amatlah wajar ditonton. Bukanlah ku mempromosi pelakonnya , tapi mempromosi ketabahan, kecekalan yang terkandung dalam kisah itu.

sinopsis lebih mendalam :http://ms.wikipedia.org/wiki/1_Litre_of_Tears





Antara scene favouriteku.



Ujian yang datang kepada kita berbeda, mengikut kemampuan kita. Bersabarlah dalam menghadapinya.

Kadangkala ujian yang hadir ingin memberi kita sesuatu yang sering kita kehilangan iaitu , SABAR.

Dan bersyukurlah, mungkin ada insan lain yang lagi teruk ujiannya daripada kita.

Kepada semua yang mungkin mempunyai ahli keluarga seperti adik saya, jangan berputus asa. Berdoalah dan berusahalah. Bukan mudah tapi kita cuba sama-sama. Semuanya takkan sia-sia , Allah kira. :)

p/s : siapa yang mungkin ingin berkongsi kisah,bolehlah komen.:) kita sama-sama share. Hanya berkongsi untuk manfaat semua.

bebelanjiwa : sebulan sudah bercuti. tinggal dua bulan lagi.


Hauri Islam 
Terengganu


Wednesday, June 26, 2013

Mereka berdua.

Dalam tidak kita sedari , kadangkala kehadiran kita sangat bermakna untuk seseorang. Hanya memiliki kita di sisi, sudah mencukupi bagi mereka.




Melihat wajah kita membuat nafas mereka sentiasa segar.

 Melihat senyuman kita membuat mereka gembira tak terhingga.

Melihat kesusahan kita membuat mereka resah gelisah.

 Melihat air mata kita membuat hati mereka bergelora.

Mereka memahami diri kita lebih daripada kita sendiri. Mengenali kita sehingga ke dalamnya. Tanpa mereka , mungkin kita tidak menjadi seperti mana kita sekarang. Tanpa mereka , ramai yang hilang arah, tertekan atas kehilangan mereka. Memiliki mereka anugerah yang terindah yang kadangkala kita lupa akan kewujudannya.

Mereka sanggup bersusah demi kita. Tak pernah mengenal lelah dalam memberi keselesaan kita. Mengharap mereka mampu memberi kebahagiaan pada kita. Mengharap senyuman akan sentiasa menghiasi bibir kita. Mereka sanggup berbagi segalanya dengan kita.

Bercerita tentang kebaikan mereka, takkan tiba ke penghujungnya. Mereka tidak mengharapkan lebih , Cuma ingin kita sentiasa mengingati mereka sehingga akhir hayat. Melayan mereka dengan baik. Ingin kita sentiasa berada di sisi mereka.

Jika tidak mampu berada di sisi mereka selamanya, cukuplah dengan mengingati mereka dan berbuat baik pada mereka .

Siapa mereka ?

Mereka adalah IBU BAPA kita.

Hati ibu jika diselami dalamnya, mungkin kita takkan bertemu penghujungnya. Terlalu banyak rahsia yang tersimpan daripada kita dan mungkin terlalu banyak kasih sayang yang tersimpan untuk kita.

Hati ayah jika diselami dalamnya, mungkin kita akan sesat. Terlalu banyak perkara yang dia fikirkan untuk kita selaku ketua keluarga. Mungkin jarang mencurahkan kasih sayangnya pada kita sepertimana ibu melakukannya, namun kehangatan kasih sayangnya membuat kita rasa selamat. Kehadirannya memberi satu rasa yang melindungi kita.

Tidak dinafikan inilah yang ku jumpa setelah hampir sebulan berada bersama ibu bapaku. Ku semakin memahami mereka sedikit demi sedikit. Iyalah, semenjak tingkatan satu , ku tinggal di asrama. Dan bila masuk ke universiti, belajar di luar negara yang memerlukan ku berjauhan dengan mereka. Bukanlah aku tidak pernah memahami mereka, tapi mungkin kerna kematangan yang ku peroleh sejak ku tinggal di luar negara membuatku lebih memahami mereka.

Kerinduan, kasih sayang, ketabahan , kecekalan, kesabaran, semakin ku faham rasanya dan ertinya.

Ibu bapa takkan pernah ingin membuat anaknya merasa susah kecuali jika terpaksa.  Buat anak-anak, fahamilah , selamilah, dan cuba berkongsi suka duka ibu bapa kita.

Mungkin mereka tampak tenang seolah-olah tiada duka, namun setenang air di lautan, bila kita merasanya, masin tak terhingga. Wajah tenang, di hati siapa yang tahu.

Semakin ku faham hikmahnya , mengapa Islam itu begitu menyuruh kita memuliakan ibu bapa. Menghormati,mengasihi mereka.

Firman Allah yang bermaksud: Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibu bapa. (Surah an-Nisaa, ayat 36).


Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku ketika aku kecil. (Surah al-Isra, ayat 24).


Sedih sekali bila zaman sekarang , terbaca di akhbar , kisah anak yang mengabaikan ibunya. Moga kita menjadi anak yang membahagiakan ibu bapa kita.

Ya, jadi anak yang membahagiakan ibu bapa kita di dunia dan juga di akhirat.


AMIN.

Sayang umi dan abah!


Bebelanjiwa: menjadi anak sulung kadangkala serabut kena jaga adik. Mandikan adik, bersih bilik dia, n banyak lagi. Tapi bila semua dah pergi asrama,sepi juga rasanya. Mungkin ini yang umi dan abah rasa saatku di Jordan dan semua adikku ada di asrama. Hmmm..


Saturday, June 15, 2013

Awak OK ?

Hanis mengeluh berat. Emosinya bergelora. Entah kenapa jiwanya kacau. Dia benci berkeadaan begini. Puas dicari sebab perasaannya tidak tenang, namun tidak dia temui.
Terdengar pintu biliknya dibuka. Muncul Iman dengan raut wajah ceria. Hanis hanya berwajah kosong. Gambaran rasa yang dihuni hatinya sekarang. Iman sedar dengan riak wajah Hanis yang lain daripada biasa.

" Are you ok ?,"

" You think ?," tanya Hanis malas.

"Ok, I get it. Saya keluar dulu, " balas Iman. Dia faham benar yang sahabatnya itu tidak mahu diganggu. Dia ingin berseorangan.
Dia masak  dengan tingkah Hanis. Dia menangguhkan hasrat untuk bertanya sesuatu pada Hanis.

“Malam nantilah aku tanya, “ hati Iman berbicara.

MALAMNYA...

Iman tekun menghadap laptop di meja belajarnya. Khusyuk membaca blog.
Hanis mengetuk pintu bilik Iman.

“Masuklah, “ ucap Iman tanpa berpaling.

Hanis masuk.

“Nah, air. “ kata Hanis sambil meletakkan segelas air di atas meja Iman. Iman tersenyum lebar.

“Terima kasih ! ,” jerit Iman . Pantas dia mencapai gelas lalu minum.

Hanis ketawa melihat telatah sahabatnya itu. Dia melabuhkan punggungnya di atas katil Iman yang hanya bersebelahan meja belajar.

“ Iman.., “ panggil Hanis.

“ Ya! , “ jerit Iman. Terangkat bahu Hanis mendengar jeritan Iman.

“ Ya Allah, kot ye pon, perlahan boleh tak, “ ucap Hanis sambil mengurut dadanya.

Iman tersengih.

“ Ada apa ?,”

“ Petang tadi, emosi saya tak stabil. Maaflah, “ kata Hanis perlahan. Tiba-tiba, dia rasa bersalah dengan layanan hambarnya pada Iman petang tadi.

“ Sebab tulah, awak buat air ini untuk saya. Nak pujuk sayalah ni, “ balas Iman lalu berpaling ke arah Hanis.

Giliran Hanis pula yang tersengih.

“ Tak de papelah, saya tak ambil hati pun. Saya tahu awak tengah dilanda taufan. Tengok muka pun dah tahu, “

“ Mesti awak takut dengan saya, sebab tu awak keluar kan , “ ujar Hanis.

“ Instead awak fikir saya keluar sebab saya takut dengan awak, kenapa awak tak fikir yang saya keluar sebab saya FAHAM awak. Saya bukan takut, tapi saya faham, “

Entah kenapa kata-kata itu begitu menusuk hati Hanis. Tiba-tiba, rasa terharu dengan jawapan Iman. Iman tersenyum.

“ Takut antara satu sama lain hanya membuat kita rasa jauh , memahami antara satu sama lain akan membuat kita rasa dekat, “ ujar Iman. Hanis diam memahami kata-kata Iman.

“ Cara kita pandang sesuatu akan membuat kita positif atau negatif. Kalau awak fikir saya takut dengan awak, perasaannya lain. Negatif. Tapi kalau awak fikir saya faham awak, perasaannya sangat best sebab ada orang faham kita. Positif kan ?,” kata Iman.

Hanis mengangguk tanda bersetuju. Dia mengiakan dalam hati. Tak pernah dia terfikir begitu. Iman membuatkan dia melihat sesuatu dengan sudut pandang yang baru.

“ Betullah cakap awak, tak terfikir pula,” 

Hanis tersenyum.

“ Mesti awak senyum sebab faham kan apa yang saya cakap, “ kata Iman.

“ Instead awak fikir saya senyum sebab saya faham, kenapa awak tak fikir yang senyum sebab saya gembira ada kawan yang baik,” ucap Hanis sambil mengangkat-angkat keningnya.

Mereka tertawa bersama.

Inspirasi daripada kisah benar.

Pengajarannya, sama-sama kita fikirkan yer. J

Always positive!



Bebelanjiwa: asyik termenung beberapa hari ini.


 Hauri Islam 
Terengganu


Sunday, June 9, 2013

Hope.

Sabar.

Sabar.

Sabar.


Percayalah, amal tak semudah mengeja.

Saat diiuji, mata ditutup, perlahan menelan air liur sendiri.

Menarik nafas, berharap nafas yang ditarik datang bersama kekuatan yang akan mencekalkan hati.

Sabar. Tidak putus harap. Perjuangan yang menuntut ketabahan yang tak berpenghujung.

Sabar dalam mengharap.

Ketika apa yang diimpikan dilihat seperti mustahil, dalam dunia, sesuatu yang abstrak digelar " HARAPAN " yang memberikan nafas pada sebuah impian yang dianggap satu fantasi yang tak mungkin berlaku.




Namun tak dinafikan, dalam meniti pelangi harapan, tak semudah yang dibayangkan.

PUTUS ASA parasit utama. Lumrah manusia, pasti satu saat , terasa ingin putus asa ketika impian seakan kelihatan jauh dari pandangan. AKU sendiri pernah merasakan itu. Ya, saat ku menulis ini, ku juga merasakannya.

Namun aku tahu, Tuhan ada. Allah.

Selagi Allah ada dalam hati, selagi itu harapan masih bernyawa. Impian itu akan terus hidup.

Allah, pemilik haranpan insan.

Takkan ku ragu dengan kuasanya.

Wahai insan yang mengharap, jangan berhenti! Allah ada. Allah tahu.




 Smile and never lose hope! we can do it together!


Ku takkan pernah berhenti berharap suatu hari nanti adikku bisa berbicara seperti insan biasa... :)



bebelanjiwa: Esok nak hantar adikku itu ke asrama. Dia dah bagi isyarat tak nak pergi. hmmmm...

Hauri Islam
Terengganu


Saturday, June 8, 2013

Cerpen : Teruslah menyulam harapan


Assalam. Currently in Malaysia. Dah dua minggu berada di rumah.

Dah lama nak kongsikan cerpen pertama ni tapi teragak-agak dan tak sempat dan selalu lupa .Banyak pula alasannya.

Inilah cerpen pertama yang lengkap aku buat. Yang lain separuh jalan. Cerpen ini dibuat semasa menyertai bengkel penulisan di Jordan tahun lepas, masa first year. Dihantar kepada Hilal Asyraf yang merupakan penceramah untuk bengkel itu. So, enjoy.!




TERUSLAH MENYULAM HARAPAN
By Hauri Islam


Darah merah mengalir perlahan dari luka pada hidungku.Abah panik. Segera dia berkejar untuk mendapatkan ubat gamat. Aku baring untuk menghalang darah daripada menitik.Tanganku penuh dengan darah. Mataku berair dek kepedihan yang dirasakan.

“Adik , kenapa baling pembaris ni kat kakak? Tengok habis berdarah hidung kakak,” marah Syahid sambil memegang pembaris tebal yang digunakan ibuku untuk menjahit.

Adik kecilku itu hanya tertawa lalu mendapatkan kereta mainannya tanpa melihat ke arahku.Sementara itu, abah datang lalu meletakkan sedikit ubat gamat pada lukaku.

”Tak payahlah marah dia.Dia tak tahu ,” bergetar suaraku menahan kesakitan.

Syahid senyap.Aku menangis.Terasa pedih sangat.Tak mampu aku tahan.

” Jangan nangis, kakak. Nanti makin sakit ,” abah cuba menenangkan aku.

Namun, apa dayaku menahan tangisan ini, luka ini terasa sangat pedih.Tak bisa digambarkan dengan kata-kata. Aku mengesat darah di tanganku dengan tuala yang dibawa Syahid, adik lelakiku yang kelihatan sangat bersimpati dengan kakaknya ini.

Aku memandang adik bongsuku yang khusyuk bermain dengan alat mainannya tanpa mengetahui dia telah mencederakan kakaknya ini.Bukan salah dia, salahku kerana tak memahami apa yang dimahukannya.Dia inginkan telur goreng, aku bawakan ikan goreng.Dia marah dan spontan , melemparkan apa yang berada di tangannya.

Aku mengeluh perlahan.Ingin aku memarahinya, tapi aku tak boleh.Ingin aku meluahkan betapa aku sakitnya luka ini, tapi aku tak boleh.Sebab? Sebabnya dia takkan faham apa aku cakap, dia tak boleh mendengar apa yang aku cakap.Ya, adik bongsuku itu insan istimewa.Tidak berupaya untuk mendengar sejak kecil lagi.

Masihku ingat nasihat doctor Amni,doctor yang menguruskan keadaan adikku ini,” Kita kena bersabar dengan kerenah dia, dia tak mampu nak luahkan perasaan  dengan kata-kata.Jadi, sebab itulah dia akan menjadi agresif.Dia zahirkan perasaan dia dengan kelakuan.Memang melayan kanak-kanak istimewa memerlukan kesabaran yang tinggi.Ingatlah, dia tak sesmpurna kita.Meskipun kita dah masukkan alat pendengaran ke dalam otaknya dan ditambah pula alat pendengaran external, kita kena biasakan mereka dengan bunyi dan kata-kata, jangan berkomunikasi dengannya dalam bahasa isyarat.Kita nak dia berlatih mendengar,”

"Dengan alat yang ada sekarang, berapa jangka masa untuk Aliya boleh mendengar?, tanya ibuku.

” 5 atau 4 tahun. Kita kena ingat yang alat dalam otaknya itu hanyalah ciptaan manusia, tidak akan sesempurna telinga kita.Jadi,mungkin cara dia mendengar dan kita mendengar berbeza.InsyaAllah, dengan terapi dan usaha kita, Aliya akan boleh bercakap.Jangan lupa mengharap pada Allah yang memberi nikmat pendengaran,” 

Terngiang-ngiang kata-kata itu di fikiranku.Kebetulan minggu lepas, aku berpeluang menemani ibuku ke hospital kerana aku masih menunggu tawaran universiti.

“Sabar, Anis.Dia bukan seperti kau,” hatiku berkata.
…………………………………………………………………………………………………

“Kakak, tolong mandikan adik,” Aku memimpin tangan Aliya. Namun, dia ingin didukung.Aku tersenyum.”Nak bermanja dengan kakaklah ni? Umur 6 tahun, nak suruh kakak dukung lagi,” kataku sambil mendukungnya.Dia tersengih-sengih.

Tanda gembira keinginannya dituruti.Aku bercerita itu ini padanya sambil menuju ke bilik air.Biarpun dia tak memahami, aku ingin biasakan dirinya dengan percakapan.

”Nanti kakak dah masuk uni,dah takde orang nak dukung dan mandikan adik macam ni,”ngomelku sambil menjirus air pada badannya. 

Seperti kanak-kanak lain, Aliya sangat suka bermain air.Tanpa ku sedar, dia membuka pili air lalu menghalakan padaku.

Aku terkejut.Habis basah kuyup bajuku.

Dia ketawa sambil mengangkat tangannya tanda kemenangan. Aku turut sama ketawa.Lalu aku membalasnya dengan jirusan air.Namun, dia pandai mengelak.Berlakulah “perang air “ antaraku dengannya.Kakak berumur 18 tahun sedang berperang air dengan adik perempuan yang umurnya 6 tahun. Begitulah aku dengan Aliya setiap hari.

Sementara menunggu tawaran universiti, aku ditugaskan oleh ibuku untuk menjaga Aliya.Akulah yang mengejutkannya daripada tidur, memandikannya,  memakaikan pakaian , menyikat rambutnya, menyuapkan makanan dan juga semestinya bermain dengannya.

“Adik, kakak nak sikat rambut ni,” kataku sambil mendekatinya.

Dia memandang sikat yang ada di tanganku lalu melarikan diri.Begitulah reaksinya setiap kali aku ingin menyikat rambutnya.Sengaja dia ingin bergurau dan ingin aku mengejarnya

.Jadi, bertukarlah aku menjadi kanak-kanak kecil bermain “kejar-kejar”.Aku mengejarnya sehingga ke ruang tamu.Aku memeluk belakangnya dan dia tertawa.

Aku mengangkat sebelah tanganku tanda kemenangan.Aku turut sama tertawa. Aku menyikat rambutnya.Dia cuba memberitahuku dengan isyarat tangannya, dia ingin makan.

“Aliya nak makan ye. Nanti lpas sikat rambut dan pakai alat telinga, kakak ambilkan makanan.Ok,” kataku sambil mengenyitkan mata.

Dia masih lagi menggerakkan tangannya dan menunjukkan perutnya,tanda lapar. Entah kenapa,tiba-tiba, aku rasa sebak.Sebak melihatkan ketidakupayaannya untuk mengatakan “Kakak,Aliya nak makan”.Mataku bergenang dengan air mata.Aku terlalu ingin dia memanggilku, “Kakak”.

Aku terlalu ingin dia berpaling apabila aku memanggil namanya.Terlalu ingin! Air mataku mengalir laju. Ya Allah, permudahkanlah untuk adikku mendengar.. Hatiku mengharap.

”Nanti bila Aliya dah boleh dengar, Aliya panggil kakak ea.Kakak nak sangat dengar,”  tersekat-sekat aku meluahkan kata sambil menahan sebak.

Aliya memerhatikan pipiku yang basah dengan air mata.Redup matanya menambahkan kepiluan di hatiku.Air mata terus membanjiri kelopak mataku.Aliya mengesat air mataku dengan tangannya.Seakan memahami perasaanku.Perbuatannya itu menambahkan gelora sedih di jiwa.

“Dah siap pakai baju? Ibu dah siapkan makanan,” tegur ibuku. Aku segera membelakangi ibuku.Tak mahu dia melihat tangisanku ini.

”Dah, nak siap dah,” aku pura-pura membetulkan baju Aliya.

Tanganku pantas menyeka air mata.Ibuku berlalu ke dapur.Aku lega.Aku mengesat air mata yang bersisa lalu menuju ke dapur.Aliya pula berada di hadapan televisyen, menonton kartun kegemarannya, Upin Ipin.

“Kakak nangis ke?,” Tanya ibuku sambil membasuh pinggan di singki.

Membelakangiku.Aku terpana.Macam mana ibuku boleh tahu?

“Taklah,mata masuk habuk tadi,” helah yang cukup lapuk.

Tapi itu sahaja yang terlintas di fikiranku.Aku juga dapat merasakan ibuku menangis.

” Ibu nangis ke?,” ku lontarkan kembali soalan yang sama.

”Taklah,tadi ibu potong bawang.Jadi, berairlah mata,” kata ibuku.

Ah, masing-masing cuba melindungi perasaan.Menipu diri sendiri.Namun aku dan ibu tahu benar kami berdua menangis.Rupanya ibu telah lama memerhatikan gelagat aku dan Aliya sebelum menegurku.
…………………………………………………………………………………………………


Ibu mengejutkan aku dari tidur.”Kakak, bangun.Dah pukul 5.30 pagi.Nanti lambat nak hantar adik ke sekolah,” Ibu menarik selimutku.

Rasa mengantuk masih kuat mencengkamku.Namun, ku memaksa diriku bangun dan bergerak ke bilik air.Inilah juga rutinku setiap pagi.Menemani ibu menghantar Aliya ke sekolahnya, Sekolah Pendidikan Khas Kuala Terengganu.Rumah kami terletak di daerah Setiu.Masa yang diambil untuk tiba di sekolah Aliya, satu jam setengah.

Oleh sebab itu, ibu mengejutkanku seawal 5.30 pagi.Ibuku enggan meletakkan Aliya di asrama sekolah itu.Aliya hanya berumur 6 tahun.Yang tak tahu nak menguruskan diri sendiri dengan sempurna.Sememangnya pihak sekolah ada menempatkan beberapa penjaga untuk mengawasi penghuni asrama.

Naluri ibu masih tidak sanggup melepaskan Aliya tinggal di asrama.Dia masih kecil! Jadi, setiap hari, 5 hari seminggu, ibuku akan berulang alik dari Setiu ke Kuala Terengganu.Begitu sekali pengorbanan seorang ibu yang ingin anaknya yang istimewa ini mampu belajar seperti kanak-kanak lain.Keletihan dan kepayahan dihadapi dengan tabah.Selalu juga dia menyuruhku mengurut badannya yang lenguh kerana terlalu kerap memandu kereta.

“Anis, cepat.Tolong dukung Aliya ni,” pinta ibuku.

Kelam kabut aku membetulkan tudung labuhku lalu mendapatkan begku.Segera menuju ke arah ibuku.Aliya masih lagi mengantuk walaupun sudah dimandikan dan dipakaikan baju sekolah.Aku tersenyum melihat telatahnya.

”Aliya mengantuk lagi ye,” kataku lalu mendukungnya.

Aliya menggeliat dalam rangkulanku lalu melentokkan kepalanya di bahuku.Masih mengantuk.

“Ibu, dah ambil beg dan kasut adik?,”tanyaku sambil meletakkan Aliya dalam kereta.

Aku membaringkannya dia atas bantal di tempat duduk belakang.

”Dah,semua dah ibu ambil,”ibuku sudah berada di tempat memandu.Aku mengambil tempat sebelah pemandu.


Tiba di sekolahnya, aku dan ibu memimpin Aliya sehinggga ke kelas pranya.Aku suka melihat kelasnya yang sangat ceria.Kami bersalam dengan cikgu Aliya.Lalu kami meminta diri.Tengahari nanti, kami akan kembali untuk mengambil Aliya.Smentara menunggu tengahari, kami ke flat yang berdekatan dengan sekolah Aliya .Rumah ini dibeli semata-mata untuk dijadikan tempat menunggu sementara Aliya pulang dari sekolahnya.

Ibu mengorbankan duit yang disimpannya untuk menunaikan haji untuk membeli rumah ini.Aku mengetahui tentang hal ini ketika terdengar perbualannya dengan bapa saudaraku di telefon.Ibuku menangis ketika itu.

Tangisan ibu sangat meruntun jiwaku.Air mataku turut sama mengalir.Ibuku juga sepertiku.Sangat menantikan kalimah keluar daripada mulut adik.Sangat menantikan panggilan “ibu”. Terasa sesak di dada menahan air mata yang ingin mengalir selari dengan  perasaan yang menekan jiwa ini.Tika itu, aku berlari ke bilik tidurku lalu menghamburkan tangisanku.

Ya Allah,kuatkanlah hati kami untuk terus mengharap dan tidah berhenti mengharap.Hanya padaMu kami sandarkan harapan.

……………………………………………………………………………………………………



Aku mengemaskan barang-barangku.Lusa, aku akan berangkat ke Jordan.Menyambung pelajaranku dalam bidang perubatan.Aku akan menaiki kapal terbang di KLIA.Jadi,esok kami akan bertolak ke Kuala Lumpur dan akan tidur di rumah bapa saudaraku.Keesokannya,kami akan ke KLIA.Ibuku masuk ke bilik.

“Banyak lagi barang tak kemas? Semua dah ada?,” Tanya ibuku.Begitu prihatin dengan anaknya yang bakal berjauhan dengannya.

“Sikit lagi.Nak masukkan baju pastu selesailah,”

“Anak ibu dah nak pergi jauh dah.Nanti dengan siapalah umi nak bermanja ni?,” ucap ibu sambil tersenyum.

“Ala,ibu ni.Bila masa ibu manja dengan Anis.Tempat brmanja ibu dengan abah, bukan dengan Anis,” aku tertawa sambil mencuit bahu ibuku.

Dia turut sama ketawa.Keadaan menjadi senyap seketika.

“Siapa nak teman ibu hantar adik? Siapa nak tolong ibu jaga adik? Siapa nak bagi semangat kat ibu kalu ibu nangis?,” ibu memecahkan kesunyian yang baru tercipta.Bergetar nada suaranya.

Aku berpaling.Matanya bergenang lagi.Ah, ibu.Kenapa kau hadirkan hiba di saat ini? Lantas , aku gapai tangannya.Memegang dengan kemas.Pipi ibu sudah basah dengan air mata.Aku jua begitu.

“Ibu, janganlah sedih macam ni.Kalau ibu sedih,Anis lagi sedih,”kesedihan makin mencengkam jiwaku.

”Ibu kena kuat.InsyaAllah, berkat doa,usaha dan terapi, adik akan dapat dengar.Ibu kena tabah.Nanti bila kakak kat Jordan, hari-hari ,kakak telefon umi ye.Jangan risau,”kataku sambil menyeka air matanya.Ibu turut melakukan perbuatan yang sama padaku.

“Nanti mesti ibu rindu kakak,”

“Ibu….,”aku tenggelam dalam pelukan ibu.Kami berdua menangis sepuas-puasnya.Hari ini, kami jujur pada diri sendiri.Tidak lagi menyembunyikan air mata.Tidak lagi melindungi rasa.Sungguh,tangisan ini tidak mampu ku tahan.Mengalirlah selaju nya wahai air mata… Hari ini, aku biarkan tanpa sekatan.Hari ini,kami berdua zahirkan duka lara.Menangislah….

Namun aku berjanji,esok aku tidak akan menitiskan air mata walau setitis pun.Aku berjanji!

……………………………………………………………………………………………………

Panggilan terakhir flight ke Jordan telah diumumkan.Tiba saatnya untuk aku berpisah dengan keluarga..Dengan ibu, abah, Syahid dan Aliya..Ku bersalam dengan ibu dan abah.Mereka merangkulku dengan kemas. Ku cuba membina kekuatan sepenuh jiwa sewaktu melihat mata abah dan umi jernih dengan air mata. 

Sekuat hati aku ukirkan senyuman buat mereka berdua.Aku ingin pergi dengan senyuman agar mereka tahu aku tabah.

”Belajar elok-elok.Jangan lupa agama.Jangan lupa jaga akhlak.Jangan lupa kami,”kata ibu.Ya Allah,takkan aku lupakan mereka semua.

”Ya ibu, abah.Kakak janji kakak akn belajar bersungguh-sungguh.Doakan ye,” ujarku.

Aku masih kuat.Senyuman masih lagi menguntum di wajahku.Kuat, Anis! Sedikit pesanan kuhulurkan buat Syahid yang bakal menghadapi peperiksaan PMR pada tahun ini.Sekeras-keras adik lelakiku ini, menangis jua tatkalaku titipkan pesanan buatnya.

”Syahid, apa menangis ni?Tak macholah,”ku tertawa.

Dia mengesat airmatanya.Kuat,Anis! Aku memeluk Syahid lalu ku gosokkan belakangnya.

Tiba-tiba,ku terasa bajuku ditarik.Kelihatan Aliya tersengih-sengih.Dia membuat isyarat yang dia mahu makan,.Dia meletakkan tangannya di perutnya.Dia cuba mengheret tanganku.Ingin membawaku ke kedai yang ada dilapangan terbang.

Aku merendahkan badanku.Lalu ku selakkan rambutnya.

”Aliya, kakak dah nak pergi.Nanti makan dengan ibu ya.Kapalterbang dah panggil kakak,” kataku lembut lalu ku hadiahkan senyuman.

Perasaan hiba datang lagi.Kuat, Anis! Ibu dan abah sudah banjir dengan air mata.

Sebak melihat gelagat Aliya yang tak mengerti yang aku harus pergi.Tak mengerti aku tak mampu lagi nak mnyuapkannya makanan.Tak mampu lagi nak memandikannya.Menyikat rambutnya.

Aliya marah.Dia menarik-narik tanganku.Aku menggeleng.

”Aliya,tak boleh ,sayang,” aku cuba memujuknya.

Dia menangis.Anis,kuat! Melihatkan tangisannya, aku jadi lemah.Kekuatan yang ku bina tadi sekelip mata hilang ditiup angin.Ketabahan yang cipta tampak begitu rapuh sekali tatkala melihat tangisannya.Akhirnya, air mataku jatuh jua.Abah mengambil Aliya lalu didukungnya.Aliya meronta.Tangannya ingin menggapai diriku.

“Kakak, pergilah.Nanti lambat.Aliya tu lambat lagi berhenti menangis.Kawan-kawan kakak dah masuk,”ibu mengingatkanku.

Ya Allah,berat sungguh aku ingin meninggalkan Aliya.Langkah yang diatur menuju ke balai berlepas terasa amat payah.Tangisan Aliya masih kedengaran.Ketika aku ingin melangkah masuk ke balai berlepas, ku berpaling untuk kali terakhir.

Kelihatan ibu dan Syahid melambai-lambai ke arahku.Manakala abah sibuk melayan Aliya yang tidak henti-henti menangis. Aku meneruskan langkahku masuk ke balai berlepas.Aku kesat air mata yang bersisa.Aku kalah juga akhirnya.Kerana Aliya.

“ Aku janji aku akan belajar bersungguh-sungguh.Bila aku dah jadi doctor nanti, aku nak jadi macam doctor Amni.Aku ingin menguruskan kes kanak-kanak yang seperti adikku.Aku ingin membantu mereka mendengar.Aku ingin menyuntik harapan buat mereka untuk terus berusaha dan berharap .Aliya, kakak harap sangat , bila kakak balik nanti, Aliya boleh panggil kakak “kakak”.

Kakak akan terus mengharap dan takkan berputus asa.Kakak sentiasa doakan Aliya dapat mendengar dan bercakap.Aliya boleh cakap kat kakak, Aliya nak makan, Aliya nak mandi,Aliya tak nak sikat rambut.Aliya….kakak nak pergi ini.Nanti kakak balik ye,” hatiku berkata-kata.

Aku akan terus mengharap.Putus harapan itu bagai membunuh impian tanpa cuba merealisasikannya.



Aku akan terus menyulam harapan.Aku akan terus menunggu panggilan itu.”Kakak”…



“ Katakanlah,” Dialah yang menciptakan kamu dan menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati nurani bagi kamu.( Tetapi ) sedikit sekali kamu bersyukur “  67:23


Inspirasi sebuah realiti kehidupan.

Kehidupanku.

* rekaan 15 %
Hauri Islam
Terengganu