Thursday, February 7, 2019

TIPS RUMAHTANGGA BAHAGIA




Alhamdulillah, hari ini tepat usia 3 tahun akad nikah saya dan suami. Majlis perkahwinan kami dulu pun ketika cuti raya Cina.  Ramai sahabat mendirikan rumahtangga raya cina ni. Antara perkara yang saya buat sebelum bernikah dulu, meminta nasihat daripada mereka yang sudah berkahwin.

Tips dan nasihat yang diberi sangatlah berguna dan menjejak realiti. 😁 Membuatkan kita lebih bersedia menghadapi kehidupan berkeluarga.

Sempena ulangtahun yang ketiga , nak share nasihat dan tips untuk semua ( hasil perkongsian family dan sahabat, pembacaan, dan belajar dari suami ).

1- Kena sentiasa sabar, sabar dan sabar. Ini pastinya sifat yang wajib ada. Sebagaimana pasangan bersabar dengan kerenah kita, kita perlulah juga bersabar dengan kerenah dia.

2- Jangan meletakkan expectation yang terlalu tinggi. Jangan gambarkan kehidupan kahwin itu seperti drama yang kita selalu tengok itu. Jangan expect pasangan kita akan buat itu dan buat ini, bagi itu dan bagi ini. Nanti kita akan kecewa jika expectation kita tidak kesampaian, terima apa jua mengikut kemampuan bersama. Bila kurang expectation, kita akan tetap bahagia dan bersyukur walaupun pasangan kita memberi atau buat benda yang kecil dan simple.  Banyakkan memberi, insyaAllah ada masa kita akan menerima. Lalui hidup dengan sederhana. Sama-sama bina hidup sedikit demi sedikit.

3-  Toleransi yang maha besar. Masing-masing punya karakter dan perangai. Jadi, bersedialah untuk bertolak ansur. Jangan terlalu fikir diri sendiri sahaja, kerana perkahwinan itu bukan hanya tentang aku, tetapi ia tentang kita tapi tanpa dilupa juga hak pasangan sebagai individu.

Rasulullah SAW bersabda: "Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya." (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

4-  Jadilah insan yang pemaaf dan jangan sesekali mengungkit kisah lama yang telah dibincang dan dimaafkan. Jangan ungkit! Itu bahaya. Boleh jadi barah dalam diam. Maafkanlah dan lepaskanlah. Kita dan pasangan tak sempurna, ada cacat cela, saling memaafkan.  Bila buat salah, minta maaf dan rendahkan ego serta berani menghadapi kesalahan. Kadangkala ada situasi yang memerlukan kita meminta maaf meskipun kita rasa kita tak salah, sebab ianya adalah tindakan yang sesuai pada waktu itu, untuk meredakan keadaan dan bukan pada waktu lain.

Apologizing does not always mean you're wrong and the other person is right. It just means you value your relationship more than your ego.- Mark Matthews



5- Selalu berkomunikasi. Jangan selalu dipendam masalah dan perkara yang perlu diselesaikan. Bila pasangan bercakap, diam dan dengar begitulah juga sebaliknya. Bagi ruang sesama sendiri untuk beri pendapat. Jangan cepat memintas. Sentiasalah menggunakan bahasa yang baik , bukan bahasa yang kasar dan mencarut. Mulakan dari awal perkahwinan, supaya jadi budaya. Walaupun dalam keadaan marah, bahasa tetap terjaga.

6- Kalau pasangan kita tengah marah , sebaiknya kita diam dan dengar. Tolak ke tepi, dia salah atau kita salah. Jikalau kita turut sama marah dan meninggi suara, keadaan akan jadi bertambah teruk dan luar kawalan , mungkin ada yang terluka kerana terlepas perkataan yang kurang elok disebabkan marah dan geram. Tak mudah nak buat tips ni, ya saya tahu. 😁 tapi ianya sangatlah membantu untuk menghalang pergaduhan menjadi lebih besar dan besar. Bila dah sejuk, baru bincang lagi sekali.

7- Ilmu sangat penting! Ilmu merangkumi semua benda. Tahu tanggungjawab dan hak  sebagai seorang isteri dan suami secara mendalam, bukan tahu acuh tak acuh sahaja.Hukum hakam berkaitan perkahwinan, hubungan suami isteri, hubungan kaum kerabat dan sebagainya. Ambil tahu ganjaran menjadi suami dan  isteri yang bertanggungjawab dan soleh solehah supaya lebih bermotivasi untuk jadi pasangan yang baik. Seeloknya tambahkan ilmu mengenai cara komunikasi antara lelaki dan perempuan, psikologi lelaki dan perempuan. Oleh sebab itu, kalau ada apa- apa, saya cuba untuk terus terang, malas nak berkias, hasil baca buku Men from Mars, Women from Venus. Sangatlah membantu, barulah hidup tak emo sepanjang masa sebab kita dah tahu nature pasangan dan kita tahu apa nak buat.

8- Bersedia untuk meraikan dua keluarga. Kini, kita sudah mempunyai keluarga mentua. Kita sudah punya dua ibu dan dua ayah. Alangkah indahnya nikmat ini.  Bergaullah dengan baik semampunya. Bersedia menerima keadaan keluarga pasangan dan berusaha menyesuaikan diri. Mempunyai ipar duai yang baik dan best adalah salah satu nikmat juga! 😊 Alhamdulillah, saya dikurniakan nikmat ini. Hehe.

8- Doa jangan lupa. Selalu berdoa agar cinta antara suami isteri diikat dengan cinta Allah. Bercinta kerana Allah. Berdoa agar diberi kekuatan untuk mencintai kelebihan mahupun kekurangan pasangan dan menerima seadanya. Dijauhkan dari panahan mata syaitan dan manusia. Dikurniakan zuriat yang soleh solehah.  Dilimpahi sakinah ,mawaddah dan rahmah.

Solat jemaah bersama jadikan budaya. Paling kurang, sekali sehari solat jemaah. Lagi power, kalau boleh, masa gaduh pun, boleh solat sekali. Hehe. Saling mengingati sesama pasangan. Adakan sesi berkongsi peringatan seminggu sekali.

Moga terpelihara keluarga kita dari azab api neraka.

Firman-Nya yang bermaksud: "Hai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka." (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Sama-sama memberi layanan terbaik pada pasangan, ibu bapa dan keluarga, insyaAllah bahagia rumahtangga.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sembahlah Allah SWT dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, ahli keluarga, anak yatim, orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri. Sebelum kita melakukan kebaikan kepada orang lain, perlu dilihat adakah kebaikan atau ihsan kita sampai kepada kedua-dua ibu bapa dan ahli keluarga kita terlebih dahulu." (Surah an-Nisaa', ayat 36)

Semua tips ini saya belajar dari keluarga, ,kawan-kawan, orang sekeliling, pembacaan, ceramah dan pengalaman perkahwinan setahun jagung. Saya dan suami juga masih belajar dan belajar untuk mangharmonikan rumahtangga. Saya sendiri pun masih banyak kelemahan. Lain orang ,lain pendapat dan pengalaman ,tak sama perjalanannya. Namun, matlamat tetap sama ,kita mahu kita dan keluarga bukan saja bertemu di dunia, tapi berbahagia juga di syurga. 😊

Moga Allah mudahkan segala urusan sahabat semua yang bakal mendirikan rumah tangga. 🤗

Moga dilimpahi sakinah, mawaddah dan rahmah seperti mana yang firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya (sakinah) dan dijadikan-Nya di antaramu mawaddah dan rahmah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir." (Surah ar-Ruum, ayat 21)

Doakan juga perkahwinan kami kekal hingga ke syurga Firdaus! 😊

#tipsmensyurgairumahtangga
#thirdannivesary

No comments:

Post a Comment