Sunday, April 21, 2019

MENCARI KEBERKATAN DALAM PERKAHWINAN



Tahniah dan semoga berbahagia buat semua sahabat yang mendirikan rumahtangga. Moga dilimpahi keberkatan dan diiringi keredhaan Allah hendaknya.

Tahniah yang tidak terhingga juga buat mereka yang berjaya menjaga keberkatan sebelum dan semasa perkahwinan berlangsung.

Ada ramai yang menggunakan alasan menjadi raja sehari untuk melakukan perkara yang syubhah dan berlebihan.

Jadi berbahagialah mereka yang bersederhana dan melestari makna sebenar walimatul urus diadakan.
Kerana sederhana itu lebih baik.

Kenapa Islam sangat galakkan walimatul urus ni diadakan sebenarnya ?
Untuk menghebahkan penyatuan dua jiwa agar terhindar dari fitnah.
Untuk berkongsi kegembiraan dan mendamba doa daripada mereka yang berkunjung.

Dari Anas r.a beliau menjelaskan:

“‘Abdurrahman berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku baru sahaja bernikah dengan seorang wanita dengan mahar satu nawat emas (emas sebesar biji kurma)”. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Semoga Allah memberkatimu, adakanlah walimah walau pun hanya dengan menyembelih seekor kambing”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5169)

Walimah sangat digalakkan untuk diadakan meskipun dengan hanya seekor kambing. Yakni mengikut kemampuan.
Hukumnya sunat muakkad.

Suka melihat sahabat-sahabat yang bersederhana memilih busana pengantin.
Cukup sekadar membezakan pengantin dan mereka yang berkunjung.
Tidak berlebihan dalam berhias dan bermake up sehingga melambatkan dan menyukarkan nak solat.

Suka melihat sahabat-sahabat yang lebih mementingkan dan meraikan tetamu daripada bimbang make up cair atau sukar nak turun menyapa tetamu dek busana yang menyukarkan pergerakan.

Suka melihat sahabat-sahabat meraikan tetamu yang ingin bergambar kenangan sehingga ke petang daripada bergegas meninggalkan majlis dek photoshoot outdoor pula. Sehingga tetamu yang datang sedikit lewat kecewa tidak dapat bertemu pengantin.

Suka melihat sahabat-sahabat berkongsi gambar perkahwinan yang sederhana, yang  bukanlah gambar terlebih mesra yang patut dijadikan tatapan suami isteri saja.

Suka melihat sahabat-sahabat yang rela mencari sini dan sana jurugambar muslimah untuk bergambar outdoor, dek segan nak bergambar berdua yang mesra depan jurugambar lelaki. Tidaklah salah memilih jurugambar lelaki jika ingin bergambar ramai-ramai ,yang jauh dari posing yang kurang elok di depan ajnabi.

Suka melihat suasana majlis yang dihiasi dengan kemreriahan gurau senda dan keriuhan tetamu bertegur sapa daripada keriuhan majlis dengan muzik dan karaoke sehingga nak bertegur sapa pun terpaksa menjerit jadinya.

Suka melihat pengantin yang sopan meminta diri untuk mendahulukan solat daripada mementingkan make up di muka sehingga berlambat dalam melaksanakan tanggungjawab solat.

Tak kiralah bagaimana atur cara dan gaya majlis kita, moga mendapat berkah dan iringan redha Tuhan perjalanannya, kerana tiada manual tetap untuk sambutan majlis walimatul urus. Harus begitu, dan begini.

Tapi Islam menetapkan panduan.
Jangan membazir dan berlebihan.
Biar mencapai tujuan walimatul urus diadakan.
Jangan diniat untuk menunjuk dan riya'.
Jangan didekatkan majlis kita dengan perkara syubhah apatah lagi yang haram.
Sederhana itu lebih baik untuk diamalkan.

Renungi perjalanan dan persiapan majlis.
Jika ada yang kurang elok, perbetulkan.
Tidak semestianya ramai yang buat, itulah yang betul.
Biasakan yang betul, betulkan yang biasa.

Sama-sama beringat dan berusaha menjadi lebih baik.

Moga perkahwinan sahabat-sahabat dilimpahi sakinah, mawaddah dan rahmat.
Moga proses sebelum, semasa dan selepas berkahwin sentiasa diiringi keberkatan dan rahmat kasih sayang Allah.

#catatansyakira

Wan Nur Syakira

No comments:

Post a Comment