Saturday, January 26, 2013

Surah Takwir : Amaran melalui keindahan

Assalam.

Nak masuk minggu kedua cuti winter. Sibuk dengan kelas Quran di Markaz Hafsah. Setiap hari , pkul 9 pagi hingga 11 pagi. Dan saat ini, tengah mengulang-ulang Juzu' Amma kerana pagi esok, akan tasmi' di hadapan syeikhah.

Menjadi kebiasaanlah apabila kita menghafaz , harus baca maknanya agar senang untuk hafal. ( untuk sayalah..). Mungkin orang lain boleh sahaja menghafal tanpa mengetahui maknanya tapi saya secara peribadi, memang kena hafaz surah dengan mengetahui maknanya. Susah kot kalau tak hafal makna. Dan sebenarnya, menghafaz Quran sambil memahami maknanya sebenarnya tersangatlah indah!
 ( sambil menganggukkan kepala dengan sekuat hati )

Sedang saya membelek-belek surah yang hendak dihafal, mata tertancap pada terjemahan Surah Takwir. Entah kenapa, hati terasa mahu menelitinya.Sangat menarik hati bait ayat Allah di dalam surah itu.Sungguh Al Quran itu punya mukjizat dan keistimewaan sendiri dengan keindahan bahasanya yang mampu memikat hati sesiapa sahaja yang menghayati .Sebenarnya Surah Takwir yang berjumlah 29 ayat in menceritakan keadaan pada hari Qiamat nanti.Hari Qiamat di mana semuanya kacau bilau.

Jom baca terjemahan surah ini!

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Apabila matahari digulungkan

Dan apabila bintang-bintang berjatuhan

Dan apabila unta-unta yang bunting ditinggalkan

Dan apabila binatang-binatang liar dikumpulkan

Dan apabila lautan dipanaskan

Dan apabila ruh-ruh dipertemukan (dengan tubuh )

Dan apabila bayi -bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya

Kerana dosa apakah dia dibunuh?

Dan apabila lembaran-lembaran ( catatan amal )  telah dibuka lebar-lebar

Dan apabila langit dilenyapkan

Dan apabila neraka Jahim dinyalakan

Dan apabila syurga didekatkan

Setiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakannya 

Aku bersumpah demi bintang-bintang

Yang beredar dan terbenam

Demi malam apabila telah larut

Dan demi subuh apabila fajar yang menyingsing

Sesungguhnya ( Al Quran ) itu benar-benar firman ( Allah yang dibawa oleh ) utusan mulia ( Jibril )

Yang memiliki kekuatan , memiliki kedudukan tinggi di sisi ( Allah ) yang memiliki Arasy

Yang di sana ( di alam malaikat ) ditaati dan dipercaya

Dan temanmu ( Muhammad ) bukanlah orang gila

Dan sungguh , dia ( Muhammad ) telah melihatnya ( Jibril ) di ufuk terang

Dan dia ( Muhammad ) bukanlah seorang yang kikir ( enggan ) menerangkan ghaib

Dan ( Al Quran ) itu bukanlah perkataan syaitan yang terkutuk

Maka ke manakah kamu akan pergi ?

(Al Quran ) itu tidak lain adalah peringatan seluruh alam

( iaitu ) bagi siapa di antara kamu yang menghendaki jalan yang lurus

Dan kamu tidak dapat menghendaki ( menempuh jalan itu ) kecuali apabila dikehendaki Allah , Tuhan seluruh Alam


Mendalam maknanya. 
Menyentuh jiwa. 
Dalam keindahan bahasa
Memberi amaran pada kita. 
Akibat derhaka padaNYA.

Moga kita termasuk dalam golongan yang memiliki syurga. Amin.



bicarajiwa: Muka surat Quran kat atas tu mengingatkan quran yang dimiliki masa kecil-kecil dulu. Sungguh nostalgia! Kenangan belajar mengaji dengan nenek.

Hauri Islam
Irbid, Jordan

No comments:

Post a Comment